apo nak dikato

Posts Tagged ‘muhasabah

Assalamualaikum, sudah lama juga saya tak menulis. Kata orang, sampai berhabuk blog ni dibuatnya. =)

Alhamdulillah, saya masih lagi dikurniakan lagi kesempatan untuk menghirup udara segar dan menikmati segala rezeki yang telah tertulis menjadi milik saya.  Masa berlalu, tanpa disedari usia saya sudah meningkat kepada suku abad menjelang tahun 2011 ini. Hari-hari yang berlalu tidak akan dapat diputar kembali. Sejauh manakah sudah kita manfaatkan setiap detik yang berlalu demi mencapai keredhaan-Nya?

Saya berazam untuk istiqamah dalam meng‘update’ blog ini biarpun dihimpit bebanan kerja dan tuntutan tanggungjawab serta peranan hidup. Semoga blog ini bermanfaat kepada para pembaca dan juga kepada diri saya sendiri. Insya Allah, saya akan usahakan untuk menulis pada setiap minggu walaupun sekadar sepanjang satu perenggan. Mudah-mudahan usaha kecil saya ini diterima di sisi Allah sebagai amal kebajikan. Ameen.

Tuntutan kerja saya telah mengehadkan pergerakan saya sekaligus mengakibatkan saya tidak begitu berkesempatan untuk “turun padang” di medan dakwah. Tidak seperti dulu, saya sudah semakin sukar meluangkan masa ke lokasi untuk menyampaikan seruan, menyuntik kesedaran, bertukar pandangan dan berkongsi ilmu. Justeru, saya terpaksa mengadaptasi dengan perkembangan sebegini.

Biarpun jasad tidak dapat terjun ke dalam masyarakat, saya akan tetap berusaha untuk terus berdakwah melalui medium penulisan. Sekiranya pembaca mempunyai sebarang pandangan, cadangan, ataupun teguran, sudilah kiranya berkongsi melalui ruangan komen yang tersedia… Saya dahulukan dengan sekalung penghargaan, semoga Allah memberkati kalian…

Ada yang mengkritik pendekatan sebegini, katanya pendekatan sebegini tidak mencontohi dakwah cara Nabi. Maksudnya, tidak seperti apa yang Nabi dan para sahabat radhiallahu ‘anhum lakukan iaitu dengan bersemuka dan mengetuk dari pintu ke pintu. Saya tetap menghormati pemahaman sebegini, namun kita perlu jelas bahawa uslub berdakwah adalah luas dan tidak semestinya terhad kepada pendekatan dari pintu ke pintu. Apa yang penting adalah mesej yang disampaikan serta niat yang tersimpan di hati.

Selagimana uslub yang digunakan itu tidak bercanggah dengan syarak, maka selagi itulah kita boleh memanfaatkannya. Saya memohon supaya kita tak disibukkan dengan tindakan memperlekeh usaha orang lain. Lebih baik jika kita fokus kepada usaha kita sendiri, dan sentiasa memikirkan yang terbaik dalam mencapai maksud hidup kita. Jika ada kelemahan atau kesalahan, muhasabah dan teruskan memuhasabah. Namun jika tiada apa yang salah, maka cukuplah, jangan disibukkan lagi mengulang-ulang perkara yang tiada salahnya. Wallahua’lam…

Insya Allah, setiap ruang dan kesempatan yang ada akan saya gunakan demi mencapai keredhaan-Nya. Di celah kesibukan, saya akan tetap berusaha menjalankan peranan saya sebagai seorang daie. Dalam masa yang sama, saya akan turut berusaha untuk memperbaik diri. Doakanlah supaya saya mampu istiqamah di jalan ini. Semoga Allah memberkati kita semua… Ameen…

P.s. Selaku manusia biasa, saya juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan tatkala lalai dibuai dugaan dan nikmat duniawi. Mudah-mudahan Allah mengampunkan saya… Justeru, marilah kita sama-sama meluangkan sedikit masa pada setiap hari untuk memuhasabah diri kita… Muhasabah tidak semestinya harus ditujukan kepada orang lain, bahkan dalam masa yang sama kita dituntut melakukan muhasabah diri…

Advertisements

Assalamualaikum, rasanya dah beberapa kali juga saya menulis segmen “Di Celah Kesibukan” sepanjang saya berkecimpung dalam dunia blogging. Sejujurnya, kehidupan saya sedikit terganggu dengan perubahan suasana di sekeliling saya, memandangkan saya sudah melangkah setapak lagi dalam fasa kehidupan saya.  Mohon didoakan supaya saya mampu untuk istiqamah dalam beramal dan menyebarkan risalah kebenaran – demi mencari keredhaan-Nya.

Semenjak tempoh sebulan saya mula bekerja ini, kehidupan saya menjadi agak terganggu. Namun Alhamdulillah saya berupaya menyesuaikan diri dengan suasana kerja yang serba mencabar ini. Tidak dinafikan, banyak masalah dan dugaan yang timbul. Jadual hidup seharian juga sudah tidak seperti dahulu lagi. Ada kalanya, saya duduk termenung mengenangkan dugaan yang saya hadapi ini. Hampir-hampir saya mengalirkan air mata dek kesukaran yang saya hadapi. Ditambah lagi dengan bebanan kerja yang berat serta waktu bekerja yang tidak menentu (dan bukannya seperti pekerjaan “office hour”), semua ini menyebabkan saya hampir-hampir berputus asa.

Namun Alhamdulillah, Allah masih memberikan kekuatan kepada saya untuk meneruskan kehidupan saya dalam ‘dunia’ baru ini. Dengan izin-Nya juga saya masih mampu bertahan hingga ke saat ini. Dan mudah-mudahan saya mampu melalui kehidupan sebegini sehingga ke peringkat seterusnya.

Penulisan kali ini bukanlah medan untuk merungut dan menulis tentang apa yang saya lalui sehari-hari secara mendalam. Sebaliknya sekadar cetusan rasa bagi meredakan ketegangan yang sedang saya hadapi. Alhamdulillah, saya memperoleh sokongan dan bimbingan yang baik daripada bos dan juga rakan sekerja. Sedikit-sebanyak saya mampu menyesuaikan diri saya setelah menerima nasihat dan bimbingan mereka – yang adakalanya dihidangkan bersama kata-kata sindiran pedas dan juga amarah. Semua ini menjadikan saya lebih tabah dan berhati-hati supaya tidak melakukan kesilapan yang membahayakan ‘pelanggan’.

Blog

Maafkan saya kerana saya sudah tidak lagi mampu untuk menyumbang penulisan dalam blog ini sekerap dahulu. Walau bagaimanapun, insya Allah saya akan cuba meluangkan sedikit masa untuk ‘mengimarahkan’ blog ini. Mudah-mudahan blog ini mampu memberikan manfaat kepada pembaca, serta menjadi sebahagian daripada medium dalam menyebarkan fikrah Islam demi kebaikan bersama – termasuklah kepada tuan empunya jari-jemari yang sedang ligat menaip ini. Moga-moga usaha saya yang tak seberapa ini dikira sebagai amal kebajikan serta diberkati Allah swt. Tiadalah saya menulis melainkan untuk mencari keredhaan-Nya.

Rejab, Syaaban, dan Ramadhan

Rejab sudah menghampiri penghujungnya. Kemudian akan disusuli oleh Syabaan – sebelum Ramadhan yang dirindui kembali menjenguk kita semua. Marilah kita bersama-sama mempersiapkan diri kita untuk menggiatkan lagi amal kita serta berusaha meningkatkan prestasi kita bersempena dengan Ramadhan yang semakin hampir. Bukanlah maksud saya untuk mengatakan bahawa kita mesti meningkatkan kegiatan-kegiatan kerohanian hanya pada bulan-bulan tertentu. Sebaliknya saya berharap agar kita semua menjadikan kehadiran Ramadhan kelak sebagai batu loncatan dalam memperbaik keimanan kita serta amal kita semua. Mudah-mudahan melalu madrasah Ramadhan yang bakal tiba ini menjadi pendorong untuk kita lebih giat dalam mengerah seluruh upaya kita dalam mencari redha-Nya.

Sesungguhnya tidak cukup sekadar berusaha untuk diri kita semata-mata. Janganlah kita abaikan insan di sekeliling kita. Jangan pula kita lupakan masyarakat di sekeliling kita. Jangan sesekali kita alpa terhadap nasib yang sedang melanda umat pada hari ini. Jangan pernah kita lupa akan penderitaan yang dilalui sepanjang ketiadaan “perisai” yang melindungi umat daripada ancaman dan penindasan.

Janganlah disebabkan sihir World Cup yang melalaikan, terus menyebabkan kita terlupa akan penderitaan yang sedang dialami oleh saudara kita di Gaza. Jangan kita lupa pada sikap pengecut angkatan tentera Muslimin yang enggan mengambil sebarang tindakan terhadap kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap masyarakat Palestin khasnya di Gaza. Ingatlah pada tentera Turki yang langsung tidak mengambil sebarang tindakan terhadap tentera Zionis yang sewenang-wenangnya menyerang Flotilla yang menggunakan kapal Turki. Sebaliknya mereka bertindak tegas terhadap puak Kurdish yang majoritinya merupakan umat Islam. Inilah salah satu daripada contoh perpecahan yang sedang melanda umat Islam. Rasanya tidak perlulah saya mengulas lebih lanjut kerana kita semua sudah sedia maklum akan penderitaan yang sedang melanda umat Islam di Iraq, Afghanistan dan di beberapa tempat lain.

Persoalannya, sampai bila?

Sama-samalah kita memuhasabah diri kita. Mudah-mudahan coretan saya yang tak seberapa ini mampu mengetuk pintu hati kalian untuk berhenti seketika dan memikirkannya. Segalanya bermula dengan diri kita sendiri. Ingatlah pada mafhum ayat 11 surah ar-Ra’du. Hayatilah asbabun nuzul dan juga pengajaran daripadanya.

Semua ini akan hanya menjadi tidak lebih daripada sekadar retorik sekiranya tiada tindakan susulan diambil. Bangkitlah wahai saudaraku! Laksanakan kewajipan kita terhadap Islam. Mungkin ada yang berbeza dari segi pendekatan, namun tidak bererti kita perlu berpatah arang serta memilih haluan masing-masing. Masih ada ruang untuk dialog dan penambahbaikan. Masih ada kesempatan untuk persefahaman serta percambahan idea. Janganlah kita membina tembok penghalang hanya kerana perbezaan pendapat.

Semoga Allah membuka pintu hati kita serta mengurniakan hidayah kepada kita semua, terutamanya kepada diri saya sendiri.

Ameen.


Em, setakat ini sahaja dahulu buat masa ini. Saya tak pasti bila lagi saya akan berkesempatan untuk menulis. Maka dengan itu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan kepada seluruh kaum Muslimin “selamat menghayati madrasah Ramadhan” dan semoga Ramadhan kali ini menjadi titik tolak kepada perubahan dalam diri kita dan dalam umat keseluruhannya… Insya Allah.

Ameen, Ya Allah…

Wassalam…


Alhamdulillah, post ini merupakan post yang ke-100 dalam blog peribadi saya ini. Agak lama juga saya menyepi daripada menulis dalam blog ini. Bukannya kerana malas, tetapi disebabkan oleh kekangan masa dan juga kesibukan menyiapkan tugasan yang diberikan di alam nyata. Alhamdulillah kerana saya diberikan kesempatan oleh Allah swt di celah-celah kesibukan untuk menulis pada kali ini. Berikut merupakan muhasabah bagi diri saya, dan juga untuk dikongsikan kepada para pembaca sekalian. Baca baki entri ini »

Manusia tidak pernah lari daripada berbuat kesilapan. Tiada manusia yang sempurna. Ada kalanya terleka, ada kalanya terpesona, ada kalanya terpedaya. Tidak kurang juga yang hanyut dibuai kesenangan hidup di dunia. Ada juga yang terpengaruh dek anasir-anasir yang membinasakan.

Dan para pejuang Islam yang ikhlas berjuang di jalan-Nya juga tidak terkecuali daripada hakikat ini… Atas dasar inilah, proses saling memuhasabah sewajarnya dimekarkan di kalangan pejuang Islam itu sendiri khasnya dan dalam masyarakat amnya. Di samping itu, seharusnya para pejuang Islam itu tidak merasakan bahawa dirinya beserta kelompoknya itu bersifat eksklusif dan ‘pantang dicabar’. Sikap sebegini bukan sahaja merugikan dan membantutkan proses pembinaan, bahkan bisa merosakkan serta mendatangkan fitnah kepada gerakan Islam itu sendiri.

Terkadang, proses muhasabah ini acapkali disalah erti sebagai satu usaha menjatuhkan dan memburuk-burukkan individu dan juga jemaahnya. Sedangkan saling menasihati itu merupakan sebahagian daripada tuntutan Islam. Dan berikanlah peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu baik bagi orang-orang mukmin…

Dalam al-Quran mahupun hadis tidak pernah ditemui sebarang pengecualian kepada mana-mana individu Muslim, dari sebaik-baik mukmin sehinggalah kepada sang Muslim yang hanya beramal secara ‘suam-suam kuku’ saja dalam memberi dan menerima peringatan. Janganlah kerana kita merasakan bahawa diri kita ini berperanan sebagai sang daie (pendakwah), kita telah terlepas daripada menjadi seorang mad’u (orang yang didakwah). Jangan kerana terlalu izzah dan sayangnya kita terhadap jemaah kita, maka sesiapa saja yang cuba mengkritik (walaupun ia ikhlas dan bersifat membina), terus kita memarahinya dan bersikap dingin terhadap teguran yang disampaikan.

Jangan pula kerana terlalu memandang tinggi kepada ketokohan dan peribadi pemimpin kita, langsung kita tak mengkaji sejauh mana kebenaran sebarang perkara yang disampaikan oleh pemimpin tersebut. Namun, dalam mengkaji dan mengkritiknya, perlulah ada adabnya, jangan sampai kita memperlekehkan dan bersikap kurang ajar pula. Mungkin bangsa Melayu khususnya, dan orang Islam di rantau ini tidak biasa dengan budaya mengkritik. Bahkan ada segelintir yang menganggap kritikan terhadap pemimpin itu merupakan suatu yang bersifat taboo dan terlarang. Sedangkan kritikan itu ada kalanya perlu bagi menjamin keberlangsungan perjuangan yang didokong, serta mengelakkan kita daripada dipergunakan oleh orang-orang yang berkepentingan peribadi. Apatah lagi jika gerakan itu mendokong aspirasi perjuangan Islam. Bukan ketokohan itu yang menjadi ukuran, sebaliknya nilailah kebenaran yang dibawanya.

Sewajarnya kita membuang jauh-jauh sikap taksub kepada kelompok kita sendiri sehinggakan kita terlepas pandang akan kesilapan yang terjadi dan juga kelemahan yang berlaku. Di samping itu, keterbukaan dalam bermuzakarah juga merupakan sikap yang terpuji demi mengelakkan pertelingkahan yang sia-sia. Yang menegur tak semestinya lebih pandai daripada yang ditegur. Yang ditegur pula tak bermakna lebih hina ataupun bodoh berbanding yang menegur. Boleh jadi juga yang menegur itu sebenarnya yang tersilap. Sekiranya ini yang terjadi, maka sudah menjadi kewajipan bagi orang yang ditegur itu memperbetul kesilapan yang ada pada si penegur.

Janganlah kita menilai sesuatu dengan hanya berbekalkan emosi ataupun semangat sahaja tanpa disatukan dengan fikrah yang terlahir daripada akidah Islam. Penyatuan antara fikrah dan ruhiyah Islam itu merupakan suatu yang penting bagi memastikan bahawa setiap tindak-tanduk kita ini benar-benar berlandaskan bimbingan wahyu, dan bukannya lahir daripada sumber-sumber yang lari daripada panduan Ilahi. Ingatlah bahawa syaitan itu sentiasa mencari ruang bagi memecahbelah dan menyesatkan manusia. Sesungguhnya syaitan itu musuh kita yang nyata…

Jangan sesekali kita melabelkan seseorang sebagai musuh ataupun ‘proksi kepada musuh’ dengan begitu mudah; hanya kerana pandangan mereka tidak sama dengan pendapat yang kita pegang selama ini. Boleh jadi pendapat mereka itu ada benarnya, dan pandangan kita pula terdapat kekurangan.

Ada sesetengah pihak pula mengambil pendekatan yang berbeza. Mereka berpegang kepada sikap ‘berlapang dada’ atas perkara yang tidak disepakati lalu langsung mengelak daripada membincangkannya. Sudahnya, sebarang kesilapan dan juga kekurangan yang cuba ditegur itu tidak sampai kepada pihak yang ingin ditegurnya. Ini bukan sikap ‘berlapang dada’ yang sebenarnya. Berlapang dada tak bermakna kita mengabaikan apa saja pandangan yang berbeza dengan pegangan kita. Berlapang dada ini sepatutnya terjadi setelah kita memahami pendapat yang berbeza itu, lalu kita menerimanya sekiranya ia benar, dan menegur sekiranya pendapat tersebut tidak tepat. Namun dalam masa yang sama, kita tidak memaksa pihak tersebut menerima pendapat kita. Inilah yang dimaksudkan sebagai berlapang dada pada hemah saya yang serba kekurangan ini. Betulkan saya sekiranya saya tersilap…

Tuntasnya, proses muhasabah sewajarnya dihidupkan di kalangan masyarakat terutamanya sesama umat Islam, termasuklah di kalangan pemimpin yang diamanahkan untuk menguruskan negara. Jangan pula disekat teguran-teguran yang diberikan dengan hukuman-hukuman dan denda. Jika dibiarkan berterusan begini, maka pemimpin tersebut merupakan pemimpin yang ‘syok sendiri’.

Jadi, bilamana sistem hidup yang diterapkan itu tidak menepati syariat Islam, maka wajib bagi setiap individu Muslim untuk menjalankan muhasabah supaya diubah menjadi selari dengan panduan wahyu mengikut kapasiti masing-masing.

Di kalangan jemaah-jemaah pula, hendaklah diwujudkan kerjasama yang utuh bagi mencapai matlamat kita yang sama, iaitu mardhatillah… Dalam menjalin kerjasama ini, bukan sahaja titik pertemuan sahaja yang dicari, bahkan segala perbezaan itu hendaklah dimuzakarahkan secara berhemah demi mencapai kesepakatan dalam kebenaran. Mudah-mudahan melalui usaha sebegini, ikatan yang lebih utuh akan terjalin lalu memudahkan lagi gerak kerja ke arah mencapai kemuliaan Islam.

Sesungguhnya, tiada ikatan yang lebih tinggi berbanding ikatan ukhwah Islamiyah. Jangan pula disebabkan ‘baiah’ ataupun ‘qasam’ kita kepada pimpinan menjadi punca perpecahan di kalangan kita. Kewujudan berbilang jemaah ini bukanlah bertujuan untuk memecah-belahkan umat Islam.

Dan sesungguhnya penyatuan yang hakiki itu bukanlah sekadar ikatan persaudaraan dan ruhiyah semata-mata. Sebaliknya ia termasuklah penyatuan secara politik di bawah satu kepimpinan iaitu khilafah yang memayungi seluruh umat Islam.

P/s:Menegur itu tanda kasih sesama Muslim…


Calendar

Disember 2017
J S A I S R K
« Jun    
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
293031  

Archive

Sudahkah anda membaca al-Quran pada hari ini?

Bilakah kali terakhir kita membaca al-Quran?

Truth About Democracy – Click to Read the Article

Democracy is not compatible with Islam

Truth About Democracy

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 13 other followers

Sikap Kita Terhadap Sesama Daie

Sikap Hizbut Tahrir sendiri terhadap gerakan-gerakan Islam lainnya setidaknya tercermin dari pernyataan Amin Nayaf , salah seorang tokoh Hizbut Tahrir –ketika beliau memberikan jawaban atas tuduhan terhadap beliau yang telah menyebarkan pemikiran Mu’tazilah: “Janganlah kalian mencoba untuk mencari permusuhan atau mengarah pada permusuhan terhadap gerakan-gerakan Islam lainnya. Kita harus waspada terhadap pihak-pihak yang mencoba untuk memecah-belah gerakan-gerakan Islam. Kepada merekalah seharusnya serangan itu dilancarkan.

Persoalan tentang Baiah al-Inah

Blog Stats

  • 112,743 visits

Top Rated

Reminder to All Muslims around the World

“Say: If it be that your fathers, your sons, your brothers, your mates, or your kindred; the wealth that ye have gained; the commerce in which ye fear a decline: or the dwellings in which ye delight – are dearer to you than Allah, or His Messenger, or the striving in His cause;- then wait until Allah brings about His decision (ie. Torment): and Allah guides not the rebellious.” [TMQ Surah At-Tawbah: 24]
%d bloggers like this: