apo nak dikato

Archive for the ‘santai’ Category

Assalamualaikum, maaf kerana sudah agak lama tidak menulis di laman blog ini. Kudrat dan masa saya terpaksa disalurkan kepada kewajipan di dunia nyata yang lebih mendesak sehingga menyebabkan saya tidak lagi berkesempatan untuk menulis di sini sekerap dahulu…

Terima kasih kepada para pengunjung yang sudi membaca penulisan dan juga perkongsian saya di sini. Maaf kerana lewat memberikan respon.

Khas kepada Sdr Wan Solehah, maaf kerana lambat memberikan respon. Insya Allah saya akan berusaha mencari kesempatan untuk mengarang respon saya… Bukan atas kapasiti mewakili HT, sebaliknya atas kapasiti selaku seorang insan yang bersetuju dengan pandangannya. Saya tergerak untuk memberikan respon kerana dakwaan yang dilontarkan oleh sdr Wan Solehah keterlaluan serta tidak benar. Sdr menghukum HT kafir kerana dikatakan HT menerima demokrasi. Sedangkan sebaliknya, HT menolak demokrasi.

Adapun berkenaan isu jihad, pandangan HT adalah jelas… Jihad berterusan sepanjang zaman. Hanya sahaja jihad futuhat tidak mampu dijalankan pada waktu ini kerana umat Islam sudahpun kehilangan kekuatan. Bahkan terpaksa bergantung harap dengan kuasa kuffar dalam memastikan survival mereka. Inilah nasib yang menimpa umat Islam semenjak ketiadaan khilafah yang memayungi mereka…

Insya Allah saya akan menyambung bahagian kedua sebaik sahaja dikurniakan kesempatan… Minta diri dahulu, insya Allah jika dipanjangkan umur saya akan kembali menyambung bicara…

Wassalam…

Label:

Assalamualaikum, sudah lama juga saya tak menulis. Kata orang, sampai berhabuk blog ni dibuatnya. =)

Alhamdulillah, saya masih lagi dikurniakan lagi kesempatan untuk menghirup udara segar dan menikmati segala rezeki yang telah tertulis menjadi milik saya.  Masa berlalu, tanpa disedari usia saya sudah meningkat kepada suku abad menjelang tahun 2011 ini. Hari-hari yang berlalu tidak akan dapat diputar kembali. Sejauh manakah sudah kita manfaatkan setiap detik yang berlalu demi mencapai keredhaan-Nya?

Saya berazam untuk istiqamah dalam meng‘update’ blog ini biarpun dihimpit bebanan kerja dan tuntutan tanggungjawab serta peranan hidup. Semoga blog ini bermanfaat kepada para pembaca dan juga kepada diri saya sendiri. Insya Allah, saya akan usahakan untuk menulis pada setiap minggu walaupun sekadar sepanjang satu perenggan. Mudah-mudahan usaha kecil saya ini diterima di sisi Allah sebagai amal kebajikan. Ameen.

Tuntutan kerja saya telah mengehadkan pergerakan saya sekaligus mengakibatkan saya tidak begitu berkesempatan untuk “turun padang” di medan dakwah. Tidak seperti dulu, saya sudah semakin sukar meluangkan masa ke lokasi untuk menyampaikan seruan, menyuntik kesedaran, bertukar pandangan dan berkongsi ilmu. Justeru, saya terpaksa mengadaptasi dengan perkembangan sebegini.

Biarpun jasad tidak dapat terjun ke dalam masyarakat, saya akan tetap berusaha untuk terus berdakwah melalui medium penulisan. Sekiranya pembaca mempunyai sebarang pandangan, cadangan, ataupun teguran, sudilah kiranya berkongsi melalui ruangan komen yang tersedia… Saya dahulukan dengan sekalung penghargaan, semoga Allah memberkati kalian…

Ada yang mengkritik pendekatan sebegini, katanya pendekatan sebegini tidak mencontohi dakwah cara Nabi. Maksudnya, tidak seperti apa yang Nabi dan para sahabat radhiallahu ‘anhum lakukan iaitu dengan bersemuka dan mengetuk dari pintu ke pintu. Saya tetap menghormati pemahaman sebegini, namun kita perlu jelas bahawa uslub berdakwah adalah luas dan tidak semestinya terhad kepada pendekatan dari pintu ke pintu. Apa yang penting adalah mesej yang disampaikan serta niat yang tersimpan di hati.

Selagimana uslub yang digunakan itu tidak bercanggah dengan syarak, maka selagi itulah kita boleh memanfaatkannya. Saya memohon supaya kita tak disibukkan dengan tindakan memperlekeh usaha orang lain. Lebih baik jika kita fokus kepada usaha kita sendiri, dan sentiasa memikirkan yang terbaik dalam mencapai maksud hidup kita. Jika ada kelemahan atau kesalahan, muhasabah dan teruskan memuhasabah. Namun jika tiada apa yang salah, maka cukuplah, jangan disibukkan lagi mengulang-ulang perkara yang tiada salahnya. Wallahua’lam…

Insya Allah, setiap ruang dan kesempatan yang ada akan saya gunakan demi mencapai keredhaan-Nya. Di celah kesibukan, saya akan tetap berusaha menjalankan peranan saya sebagai seorang daie. Dalam masa yang sama, saya akan turut berusaha untuk memperbaik diri. Doakanlah supaya saya mampu istiqamah di jalan ini. Semoga Allah memberkati kita semua… Ameen…

P.s. Selaku manusia biasa, saya juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan tatkala lalai dibuai dugaan dan nikmat duniawi. Mudah-mudahan Allah mengampunkan saya… Justeru, marilah kita sama-sama meluangkan sedikit masa pada setiap hari untuk memuhasabah diri kita… Muhasabah tidak semestinya harus ditujukan kepada orang lain, bahkan dalam masa yang sama kita dituntut melakukan muhasabah diri…

Assalamualaikum, Alhamdulillah blog ini telahpun menjalani sedikit pembaharuan dari segi paparan setelah sekian lama menggunakan paparan lama. Namun agak menyedihkan kerana sebahagian daripada links asal yang terdapat dalam blog ini telah hilang sewaktu proses mengubah paparan ini (maaf kerana saya tidak begitu mahir dalam bidang IT ni). Sekiranya para pembaca ingin berkongsi link kalian di sini, dipersilakan untuk meninggalkan link tersebut pada ruangan komen post ini. Insya Allah akan saya paparkan pada blog saya selagimana isi kandungan blog kalian tidak bercanggah dengan garis panduan syarak… Saya dahulukan dengan sekalung penghargaan… Terima kasih…


Label:

Assalamualaikum

1) Iman dan Dugaan:

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” [TMQ al-Ankabut: 2]

Banyak benar dugaan sepanjang berada di sini. Benarlah kata-kata seorang kenalan saya (saya olah semula berdasarkan memori), “Bila dah kerja nanti lagi banyak dugaannya. Sebab itulah tak hairan kalau ada yang futur daripada medan dakwah. Tidak kurang juga yang menjadi lebih teruk berbanding sebelumnya”.

Banyak benar dugaan yang dihadapi. Banyak perkara yang menuntut keimanan yang tinggi.  Apabila kerja banyak sehingga melewati waktu makan tengahari. Tinggal 10 minit je lagi sebelum masuk bekerja semula. Nak pergi makan ke atau solat Zuhur? Apabila hendak menunaikan solat Jumaat, keluar lewat kerana merawat pesakit. Kawan dah pergi ke masjid yang terletak 2km daripada tempat kerja. Nak pergi naik bas atau tidur sahaja di bilik? Apabila on call, bilik rehat cuma ada satu, dan kita berkongsi dengan seorang lagi doktor perempuan.  Macam-macam boleh terjadi. (Jangan terkejut jika saya katakan pernah terjadi kes yang “tak diingini” di sini). Adakah kita hendak duduk sama, atau pergi keluar dan tidur di wad? Apabila keluarga pesakit yang meracau mula mengamalkan jampi khurafat kerana menganggap terdapat rasukan – adakah kita hendak membiarkannya atau menegur?

Semua ini menuntut daya tahan keimanan yang tinggi. Tanpa bekal iman, tak mustahil kita akan tewas dan akur dengan kemaksiatan. Alhamdulillah, Allah memelihara saya. Terima kasih kepada ibu bapa, keluarga, rakan taulan dan juga asatizah yang mendidik saya selama ini. Saya bukanlah yang terbaik, jauh sekali hendak mendabik dada mengatakan sayalah yang paling alim. Tujuan saya menulis ini hanyalah sebagai peringatan ikhlas kepada pembaca. dan juga diri saya sendiri Mungkin ada yang memandang remeh perkara-perkara sebegini. Namun kita perlu sedar bahawa sekecil-kecil perbuatan kita pun akan dihisab. Inikan pula perkara yang menyentuh soal halal-haram. Wallahua’lam.

2) Khilafah

Alhamdulillah, beberapa hari lepas telah berlangsung Persidangan Media Antarabangsa Hizbut Tahrir pada hari Ahad (18 Julai) yang lalu. Terdahulu, Hizbut Tahrir telah menganjurkan masirah dan juga seminar bagi mengingatkan umat Islam terhadap keruntuhan daulah khilafah serta kewajipan mengembalikannya semula di seluruh dunia pada 28 Rejab. Alhamdulillah, respon daripada umat semakin hari semakin meluas. Biarpun berdepan dengan pelbagai halangan daripada agen-agen Barat dan musuh Islam, namun semua itu tidak akan sesekali melemahkan keazaman para syabab dan juga umat yang beriman dalam menggerakkan segenap upaya untuk menunaikan kewajipan yang telah tertangguh sejak sekian lama ini.

Wahai kaum Muslimin, sahutlah seruan ini. Kewajipan ini bukanlah hak milik ekslusif Hizbut Tahrir, sebaliknya ia merupakan kewajipan bagi kita semua. Khilafah merupakan hak dan kewajipan kita semua.

Pihak-pihak yang skeptik terhadap perjuangan ini pernah membangkitkan persoalan ini, “Jika benar kamu (Hizbut Tahrir)  ingin mengembalikan khilafah atas manhaj kenabian, mengapa pula kamu menangisi kematian Uthmaniyah yang mengamalkan sistem raja warisan?”

Maka saya lontarkan kembali persoalan berikut, “Kamu pula merujuk kepada siapa dalam berpegang kepada sistem demokrasi pada hari ini?”

Sedarlah bahawa biarpun terdapat kelemahan dan kesilapan, khilafah Umayyah, Abbasiyah dan Uthmaniyah tetap merupakan kesinambungan daripada khulafa’ ar-Rasyidin dan juga warisan Nubuwwah. Hukum Islam masih dominan dan mekanisme muhasabah tetap berlangsung. Wallahua’lam…

Setakat ini sahajalah dahulu. Mudah-mudahan perkongsian saya ini bermanfaat. Maaf sekiranya terdapat kekurangan. Sudilah kiranya menegur andainya terdapat kesalahan padanya. Di kesempatan ini, saya ingin mengingatkan kepada kita semua supaya meneguhkan iltizam dan berusaha sedaya upaya untuk istiqamah dalam beramal – biarpun sedikit. Dalam masa yang sama, kita teruskan berdoa kepada Allah supaya menjadikan kita Mukmin yang lebih baik berbanding semalam. Ameen…

Assalamualaikum, rasanya dah beberapa kali juga saya menulis segmen “Di Celah Kesibukan” sepanjang saya berkecimpung dalam dunia blogging. Sejujurnya, kehidupan saya sedikit terganggu dengan perubahan suasana di sekeliling saya, memandangkan saya sudah melangkah setapak lagi dalam fasa kehidupan saya.  Mohon didoakan supaya saya mampu untuk istiqamah dalam beramal dan menyebarkan risalah kebenaran – demi mencari keredhaan-Nya.

Semenjak tempoh sebulan saya mula bekerja ini, kehidupan saya menjadi agak terganggu. Namun Alhamdulillah saya berupaya menyesuaikan diri dengan suasana kerja yang serba mencabar ini. Tidak dinafikan, banyak masalah dan dugaan yang timbul. Jadual hidup seharian juga sudah tidak seperti dahulu lagi. Ada kalanya, saya duduk termenung mengenangkan dugaan yang saya hadapi ini. Hampir-hampir saya mengalirkan air mata dek kesukaran yang saya hadapi. Ditambah lagi dengan bebanan kerja yang berat serta waktu bekerja yang tidak menentu (dan bukannya seperti pekerjaan “office hour”), semua ini menyebabkan saya hampir-hampir berputus asa.

Namun Alhamdulillah, Allah masih memberikan kekuatan kepada saya untuk meneruskan kehidupan saya dalam ‘dunia’ baru ini. Dengan izin-Nya juga saya masih mampu bertahan hingga ke saat ini. Dan mudah-mudahan saya mampu melalui kehidupan sebegini sehingga ke peringkat seterusnya.

Penulisan kali ini bukanlah medan untuk merungut dan menulis tentang apa yang saya lalui sehari-hari secara mendalam. Sebaliknya sekadar cetusan rasa bagi meredakan ketegangan yang sedang saya hadapi. Alhamdulillah, saya memperoleh sokongan dan bimbingan yang baik daripada bos dan juga rakan sekerja. Sedikit-sebanyak saya mampu menyesuaikan diri saya setelah menerima nasihat dan bimbingan mereka – yang adakalanya dihidangkan bersama kata-kata sindiran pedas dan juga amarah. Semua ini menjadikan saya lebih tabah dan berhati-hati supaya tidak melakukan kesilapan yang membahayakan ‘pelanggan’.

Blog

Maafkan saya kerana saya sudah tidak lagi mampu untuk menyumbang penulisan dalam blog ini sekerap dahulu. Walau bagaimanapun, insya Allah saya akan cuba meluangkan sedikit masa untuk ‘mengimarahkan’ blog ini. Mudah-mudahan blog ini mampu memberikan manfaat kepada pembaca, serta menjadi sebahagian daripada medium dalam menyebarkan fikrah Islam demi kebaikan bersama – termasuklah kepada tuan empunya jari-jemari yang sedang ligat menaip ini. Moga-moga usaha saya yang tak seberapa ini dikira sebagai amal kebajikan serta diberkati Allah swt. Tiadalah saya menulis melainkan untuk mencari keredhaan-Nya.

Rejab, Syaaban, dan Ramadhan

Rejab sudah menghampiri penghujungnya. Kemudian akan disusuli oleh Syabaan – sebelum Ramadhan yang dirindui kembali menjenguk kita semua. Marilah kita bersama-sama mempersiapkan diri kita untuk menggiatkan lagi amal kita serta berusaha meningkatkan prestasi kita bersempena dengan Ramadhan yang semakin hampir. Bukanlah maksud saya untuk mengatakan bahawa kita mesti meningkatkan kegiatan-kegiatan kerohanian hanya pada bulan-bulan tertentu. Sebaliknya saya berharap agar kita semua menjadikan kehadiran Ramadhan kelak sebagai batu loncatan dalam memperbaik keimanan kita serta amal kita semua. Mudah-mudahan melalu madrasah Ramadhan yang bakal tiba ini menjadi pendorong untuk kita lebih giat dalam mengerah seluruh upaya kita dalam mencari redha-Nya.

Sesungguhnya tidak cukup sekadar berusaha untuk diri kita semata-mata. Janganlah kita abaikan insan di sekeliling kita. Jangan pula kita lupakan masyarakat di sekeliling kita. Jangan sesekali kita alpa terhadap nasib yang sedang melanda umat pada hari ini. Jangan pernah kita lupa akan penderitaan yang dilalui sepanjang ketiadaan “perisai” yang melindungi umat daripada ancaman dan penindasan.

Janganlah disebabkan sihir World Cup yang melalaikan, terus menyebabkan kita terlupa akan penderitaan yang sedang dialami oleh saudara kita di Gaza. Jangan kita lupa pada sikap pengecut angkatan tentera Muslimin yang enggan mengambil sebarang tindakan terhadap kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap masyarakat Palestin khasnya di Gaza. Ingatlah pada tentera Turki yang langsung tidak mengambil sebarang tindakan terhadap tentera Zionis yang sewenang-wenangnya menyerang Flotilla yang menggunakan kapal Turki. Sebaliknya mereka bertindak tegas terhadap puak Kurdish yang majoritinya merupakan umat Islam. Inilah salah satu daripada contoh perpecahan yang sedang melanda umat Islam. Rasanya tidak perlulah saya mengulas lebih lanjut kerana kita semua sudah sedia maklum akan penderitaan yang sedang melanda umat Islam di Iraq, Afghanistan dan di beberapa tempat lain.

Persoalannya, sampai bila?

Sama-samalah kita memuhasabah diri kita. Mudah-mudahan coretan saya yang tak seberapa ini mampu mengetuk pintu hati kalian untuk berhenti seketika dan memikirkannya. Segalanya bermula dengan diri kita sendiri. Ingatlah pada mafhum ayat 11 surah ar-Ra’du. Hayatilah asbabun nuzul dan juga pengajaran daripadanya.

Semua ini akan hanya menjadi tidak lebih daripada sekadar retorik sekiranya tiada tindakan susulan diambil. Bangkitlah wahai saudaraku! Laksanakan kewajipan kita terhadap Islam. Mungkin ada yang berbeza dari segi pendekatan, namun tidak bererti kita perlu berpatah arang serta memilih haluan masing-masing. Masih ada ruang untuk dialog dan penambahbaikan. Masih ada kesempatan untuk persefahaman serta percambahan idea. Janganlah kita membina tembok penghalang hanya kerana perbezaan pendapat.

Semoga Allah membuka pintu hati kita serta mengurniakan hidayah kepada kita semua, terutamanya kepada diri saya sendiri.

Ameen.


Em, setakat ini sahaja dahulu buat masa ini. Saya tak pasti bila lagi saya akan berkesempatan untuk menulis. Maka dengan itu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan kepada seluruh kaum Muslimin “selamat menghayati madrasah Ramadhan” dan semoga Ramadhan kali ini menjadi titik tolak kepada perubahan dalam diri kita dan dalam umat keseluruhannya… Insya Allah.

Ameen, Ya Allah…

Wassalam…


Assalamualaikum, insya Allah dalam tempoh sebulan ini (berkuatkuasa mulai hari ini) blog ‘apo nak dikato’ akan berada dalam mode ‘autopilot’ bagi memberi laluan kepada penulis untuk berhadapan dengan peperiksaan akhir yang bakal berlangsung dalam tempoh 11 hari lagi. Dalam ertikata lain, penulis akan berada dalam mode “pertapaan” sepanjang tempoh tersebut. Sungguhpun demikian, sebarang komen yang diberikan dalam mana-mana post akan diluluskan dari masa ke masa mengikut kelapangan penulis.

Di kesempatan ini, saya (i.e. penulis) juga ingin menyusun jari memohon kemaafan seandainya saya ada terkasar bahasa atau tersilap kata sepanjang saya menulis di blog ini. Sekiranya terdapat sebarang kesilapan dari segi fakta mahupun dari sudut ilmiah, mohon jasa baik pembaca sekalian untuk menegurnya.

Insya Allah saya akan menyambung semula curahan pemikiran dan perasaan saya di blog ini sesudah tamat peperiksaan kelak. Mohon didoakan supaya saya berjaya menghadapi peperiksaan tersebut dengan baik dan dalam masa yang sama tidak terleka daripada melaksanakan tanggungjawab saya yang lebih besar iaitu sebagai seorang Muslim serta sebagai seorang daie.

Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para pengunjung dan juga pemberi komen yang telah banyak membantu saya dalam membentuk keperibadian saya serta meningkatkan lagi kematangan saya dalam berfikir. Saya masih lagi teringat sewaktu di awal-awal kelahiran blog ini, saya tidak pernah menyangka bahawa blogging ini berupaya memberikan kesan yang agak mendalam kepada kehidupan saya. Sebaliknya dahulu saya beranggapan bahawa blogging ini cumalah aktiviti sampingan, sekadar tempat meluah perasaan dan juga berkongsi fikrah. Namun, Alhamdulillah, melalui blogging, sedikit-sebanyak saya telah menjadi lebih matang dan terbuka kepada teguran, komen, dan juga kritikan.

Terima kasih yang tak terhingga khasnya kepada akhi FM, akhi wuzara, sdr amir,  sdr sulaiman akhlaaken (hehe, unik  benar ‘nickname’ tersebut), ukht Insyirah dan juga individu-individu yang banyak membimbing serta memberikan nasihat berguna kepada saya. Maaf sekiranya saya tidak menyebut nama kalian yang lain di sini, namun tidak bererti segala sumbangan kalian dipinggirkan. Semoga Allah membalas jasa baik kalian dengan kebaikan di dunia dan juga di akhirat. Ameen.

Insya Allah, saya akan kembali semula kelak dengan membawa sedikit pembaharuan kepada blog ini. Saya berazam untuk terus menulis dari masa ke masa dan menjadikan medan blogging ini sebagai salah satu uslub dalam menyebarkan dakwah Islam di samping pendekatan lain. Semoga Allah menerima sumbangan kecil saya ini serta membalasnya dengan kebaikan di dunia dan akhirat… Ameen. Saya juga berdoa supaya diberikan petunjuk untuk terus kekal di jalan-Nya. Ameen ya Allah…

Sekian dahulu, sehingga “bertemu” lagi di kemudian hari. Buat masa ini, dengan rasminya saya mengisytiharkan bahawa blog “apo nak dikato” akan berada dalam mode ‘autopilot’ sepanjang tempoh sebulan akan datang.

Wassalam.

Tercicirkah aku?

Di keheningan malam, terjaga aku dari tidur yang lena

Mengenangkan peristiwa semalam, merencana agenda hari ini,

dan menduga esok yang bakal berkunjung tiba.

Bara yang digenggam, masih terasa keperitannya,

Namun hampir sahaja ku lepaskan.

Dek kepedihan yang menusuk dan memamah telapakku.


Di saat aku berputus harap,

dan mulai terpesona dek keindahan yang menipu,

Di saat aku menghitung detik perpisahan,

dan semangat di dada yang mulai pudar.

Di saat aku dihimpit kesibukan,

dan terjerat dek permainan dan keasyikan yang tak berkesudahan.


Nah! Tercetusnya peristiwa yang menjentik kesedaranku

Mengimbau kembali semangat yang telah hilang,

Menyedarkan daku kembali akan ikrar dan janjiku,

Untuk berbakti jiwa dan raga demi perjuangan ini.

Perjuangan mendaulatkan kembali agama-Mu.

Perjuangan mengembalikan perisai yang melindungi,

dan panji-panji yang menaungi.


Tersedar aku dari lamunan,

Ya Allah, aku sudah terlalu jauh dari jalan-Mu.

Tercicirkah aku?

Masih belum terlambat…


Semoga aku tidak tergolong dalam kelompok insan yang gugur di pertengahan jalan. Wa iyazubillah…

Seribu kemaafan dipohon kepada pihak yang mendapat kesusahan akibat tindakan saya yang dikira keterlaluan selama ini. Juga kepada mereka yang terguris akibat perbuatan saya yang mengasingkan diri daripada tanggungjawab yang sewajarnya saya penuhi. Bukanlah niat saya sengaja hendak berbuat demikian. Maafkan saya kerana saya tidak dapat menyatakan sebabnya, dan saya percaya inilah yang terbaik dalam keadaan sebegini.Mohon didoakan supaya saya berupaya menghadapinya dan dipermudahkan Allah dalam menangani kemelut yang melanda diri ini. Ameen.

p.s. Maaf sekiranya puisi ini tidak menepati tatacara dan lenggok bahasa yang sebenarnya. Buat makluman, puisi ini merupakan nukilan ketiga saya sepanjang hayat saya ini. Namun apa yang pasti, puisi ini lahir terus dari hati nurani saya. Wallahua’lam…


Calendar

Ogos 2017
J S A I S R K
« Jun    
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
25262728293031

Archive

Sudahkah anda membaca al-Quran pada hari ini?

Bilakah kali terakhir kita membaca al-Quran?

Truth About Democracy – Click to Read the Article

Democracy is not compatible with Islam

Truth About Democracy

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 13 other followers

Sikap Kita Terhadap Sesama Daie

Sikap Hizbut Tahrir sendiri terhadap gerakan-gerakan Islam lainnya setidaknya tercermin dari pernyataan Amin Nayaf , salah seorang tokoh Hizbut Tahrir –ketika beliau memberikan jawaban atas tuduhan terhadap beliau yang telah menyebarkan pemikiran Mu’tazilah: “Janganlah kalian mencoba untuk mencari permusuhan atau mengarah pada permusuhan terhadap gerakan-gerakan Islam lainnya. Kita harus waspada terhadap pihak-pihak yang mencoba untuk memecah-belah gerakan-gerakan Islam. Kepada merekalah seharusnya serangan itu dilancarkan.

Persoalan tentang Baiah al-Inah

Blog Stats

  • 111,160 visits

Top Rated

Reminder to All Muslims around the World

“Say: If it be that your fathers, your sons, your brothers, your mates, or your kindred; the wealth that ye have gained; the commerce in which ye fear a decline: or the dwellings in which ye delight – are dearer to you than Allah, or His Messenger, or the striving in His cause;- then wait until Allah brings about His decision (ie. Torment): and Allah guides not the rebellious.” [TMQ Surah At-Tawbah: 24]
%d bloggers like this: