Demo Masjid Negara 4 Februari 2010 – Seruan Khilafah bergema!
Posted by: muhammadghazi on: Februari 4, 2011
- Dalam: events | issues | tsaqafah
- Tinggalkan Komen
Assalamualaikum, Alhamdulillah pada hari Jumaat yang mulia ini kita masih lagi dikurniakan kesempatan untuk menghirup udara segar dan menikmati limpahan rezeki kurniaan Allah yang Maha Pemberi Rezeki.
Pada tengahari tadi, saya telah menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara. Sudah agak lama juga saya tidak mengunjungi masjid tersebut. Pada kali ini, sengaja saya memilih untuk solat Jumaat di masjid tersebut bagi mengisi kekosongan waktu cuti yang amat jarang diperoleh ini. Selalunya saya hanya menunaikan solat di dalam kariah saya sahaja. Seusai solat, kedengaran pengumuman daripada luar yang meminta para jemaah untuk tunggu sebentar bagi mendengar seruan yang ingin disampaikan. Suara tersebut sayup kedengaran, lalu menyukarkan saya untuk mengenalpasti siapakah sebenarnya yang membuat pengumuman tersebut.
Saya pun mengambil keputusan untuk menghampiri kawasan di mana suara tersebut berpunca. Senyuman lebar terukir di wajah saya apabila melihat wajah-wajah yang dikenali berhimpun dengan sepanduk dan kibaran bendera ar-Rayah dan al-Liwa’, berdiri megah melaungkan takbir. Ya, merekalah para syabab Hizbut Tahrir Malaysia.
Saya mengambil keputusan untuk berdiri dalam kelompok hadirin yang mendengar seruan tersebut. Pembukaan bicara disampaikan oleh Ustaz Umar, Naib Presiden HTM. Penyampainya pula merupakan seorang kenalan lama saya. Kami berkenalan sewaktu menghadiri sebuah seminar anjuran Khilafah Centre dan Hizbut Tahrir Malaysia. Masya Allah, seruan yang disampaikan begitu bersemangat dan menjentik jiwa para pendengar.
Seruan tersebut menyentuh mengenai peristiwa kebangkitan umat di Tunisia, Mesir dan beberapa negara kaum Muslimin yang lain. Beliau menyatakan bahawa revolusi tidak sewajarnya berkisar mengenai menumbangkan rejim semata-mata, hanya untuk digantikan dengan rejim yang lain. Di samping itu, beliau juga menegaskan bahawa hanya dengan mengembalikan syariah dan khilafah sahajalah umat Islam akan kembali bangkit.
Cuaca yang panas terik tidak menghalang sebilangan hadirin daripada terus kekal mendengar seruan yang disampaikan itu. Dalam pada itu, beberapa orang syabab HTM turut mengedarkan risalah rasmi mereka iaitu Soutun Nahdhah keluaran ke-247 “MESIR – BANGKITLAH MENUJU PERUBAHAN HAKIKI DENGAN KHILAFAH!” kepada hadirin yang berada di sekitar perkarangan masjid.
Sebaik sahaja seruan selesai dibacakan, Ustaz Umar menyampaikan kata dua serta mengingatkan umat Islam supaya bersama-sama Hizbut Tahrir Malaysia menumbangkan rejim zalim yang sekular serta menegakkan kembali Khilafah atas Minhaj Kenabian. Seruan tersebut disahut dengan laungan takbir oleh hadirin.
Saya tampil bersalaman dengan para syabab sekalian sebaik sahaja majlis bersurai. Ada antara mereka yang tidak saya kenali. Merekalah generasi baru pelapis yang bakal meneruskan lagi kesinambungan dakwah yang didokong. Ada juga syabab senior yang menyahut mesra salam yang diberikan. Demikianlah eratnya ukhuwwah antara kami. Biarpun berasal dari latarbelakang yang berbeza, namun itu tidak menjadi penghalang antara kami dalam menjalin ukhuwwah Islamiyah. Kerana kami mendokong aspirasi yang sama, iaitu ingin mengembalikan Islam dalam kehidupan. Ikatan fikrah Islamiyah yang terbina mengukuhkan lagi hubungan sesama kami biarpun berjauhan. Alhamdulillah.
Update: Laporan daripada MyKhilafah.com – Mesir: Hizbut Tahrir Malaysia Menyeru Kebangkitan Hakiki
*Lewat petang tadi, saya mendapat makluman bahawa demonstrasi berasingan juga telah diadakan bermula di Masjid Asy-Syakirin KLCC. Demo tersebut dianjurkan sebagai tanda solidariti umat Islam di Malaysia terhadap rakyat Mesir yang berdepan dengan rejim zalim Hosni Mubarak. Saya dikhabarkan bahawa demonstrasi tersebut berjalan lancar sehinggalah sewaktu mereka hendak bersurai, apabila pihak FRU menyerbu mereka yang sedang beransur pulang.
Tinggalkan Jawapan