apo nak dikato

Hukum Solat Jumaat Pada Hari Raya

Posted on: November 26, 2009

Diolah daripada artikel asal (pengantar Indonesia – Konsultasi Islam ‘Hukum Sholat Jum’at Pada Hari Raya (Idul Fitri /Adha’ )

Hukum Solat Jumaat Pada Hari Raya

Soalan: Apakah hukumnya menunaikan solat Jumaat sekiranya Hari Raya jatuh pada hari tersebut (i.e. hari Jumaat)?

Jawapan:

Para ulama berbeza pendapat tentang hukum solat Jumaat yang jatuh bertepatan dengan hari raya, sama ada Idul Fitri mahupun Idul Adha. Dalam kitab Rahmatul Ummah fi Ikhtilaf al-A’immah karya Imam Ad-Dimasyqi, dinyatakan bahawa:

“Apabila hari raya jatuh pada hari Jumaat, maka menurut pendapat Imam asy-Shafie yang sahih, dinyatakan bahawa tuntutan solat Jumaat tidak gugur daripada penduduk kampung (pemastautin) yang mengerjakan solat Jumaat. Adapun bagi mereka yang datang dari kampung lain, tuntutan tersebut digugurkan. Demikianlah menurut pendapat Imam Shafie yang sahih. Sekiranya mereka telah menunaikat solat hari raya, dibenarkan bagi mereka untuk terus pulang, tanpa mengikuti solat Jumaat. Menurut pendapat Imam Abu Hanifah, bagi penduduk kampung mereka wajib menunaikan solat Jumaat. Menurut Imam Ahmad pula tidak wajib solat Jumaat sama ada penduduk tetap ataupun tidak. Kewajipan solat Jumaat gugur setelah mengerjakan solat hari raya. Tetapi mereka wajib solat Zohor. Menurut ‘Atha’, solat Zohor dan solat Jumaat gugur bersama-sama pada hari tersebut. Maka tidak ada solat sesudah solat hari raya selain daripada solat Asar.”

Ad-Dimasyqi tidak menampilkan pendapat Imam Malik. Ibnu Rusyd dalam kitabnya Bidayatul Mujtahid menyatakan bahawa pendapat Imam Malik selari dengan pendapat Imam Abu Hanifah. Dinukilkan bahawa, “Imam Malik dan Abu Hanifah bersependapat, ‘Jika hari raya jatuh pada hari Jumaat, maka mukallaf dituntut untuk melaksanakan kedua-duanya’.”

Berdasarkan keterangan-keterangan yang telah diberikan, ternyata bahawa dalam hal ini terdapat empat pendapat:

Pertama, solat Jumaat tidak gugur terhadap penduduk kota (ahlul amshaar / ahlul madinah) yang di tempat mereka ada dilaksanakan solat Jumaat. Bagi mereka yang datang dari kampung atau gurun (ahlil badaawi / ahlul ‘aaliyah), yang di kawasan mereka tidak dilaksanakan solat Jumaat, kewajipannya digugurkan. Maka sekiranya mereka – iaitu mereka yang datang dari kampung – telah menunaikan solat hari raya, mereka boleh terus pulang, tanpa mengikuti solat Jumaat. Inilah pendapat Imam Shafie. Pendapat ini juga merupakan pendapat Uthman dan Umar bin Abdul Aziz.

Kedua, solat Jumaat tetap wajib ditunaikan, sama ada penduduk kota di kawasan yang dilaksanakan solat Jumaat mahupun bagi penduduk luar. Pendapat inilah yang dipegang oleh Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. Maka, solat Jumaat tetap wajib dan tidak gugur biarpun sesudah menunaikan solat hari raya.

Ketiga, tidak wajib solat Jumaat, tetapi mereka wajib solat Zohor. Demikianlah pendapat Imam Ahmad.

Keempat, solat Zohor dan Jumaat gugur kewajipannya pada hari tersebut. Tiada solat sesudah solat hari raya melainkan solat Asar. Demikianlah pendapat ‘Atha’ bin Abi Rabbah. Turut dikatakan bahawa demikian juga pendapat Ibu Zubayr dan ‘Ali.

Pendapat yang Rajih

Setelah diteliti, didapati bahawa pendapat yang paling rajih adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal, rahimahullah. Huraian lanjut mengenai hukumnya adalah seperti berikut:

Hukum pertama, jika seseorang itu telah menunaikan solat hari raya – yang jatuh pada hari Jumaat – maka gugurlah kewajipan ke atasnya untuk menunaikan solat Jumaat. Ia boleh memilih sama ada hendak menunaikan solat Jumaat ataupun tidak.

Dalil-dalilnya merujuk kepada hadis-hadis Nabi SAW yang sahih, antaranya yang diriwayatkan daripada Zayd bin Arqam r.a., katanya: “Nabi SAW melaksanakan solat ‘Eid (pada suatu hari Jumaat) kemudian baginda memberikan rukhsah (kemudahan.keringanan) dalam solat Jumaat. Kemudian baginda bersabda, ‘Barangsiapa yang berkehendak (solat Jumaat), hendaklah ia solat.” [HR Al-Khamsah, kecuali At-Tirmidzi. Hadis ini sahih menurut Ibnu Khuzaimah)].

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda: “Sungguh telah berkumpul pada hari kalian dua hari raya. Maka barangsiapa berkehendak (solat hari raya), cukuplah baginya solat hari raya itu, tidak perlu baginya solat Jumaat lagi. Dan sesungguhnya kami akan mengerjakan solat Jumaat”. [HR Abu Daud, Ibnu Majah dan al-Hakim juga meriwayatkan hadis ini dari sanad Abu Salih, dan dalam isnadnya terdapat Baqiyah bin Walid, yand diperselisihkan ulama’. Imam ad-Daruquthni menilai hadis ini sebagai sahih. Ulama hadis lain menilainya sebagai hadis mursal].

Menurut Syaikh Taqiuddin an-Nabhani, rukhsah adalah hukum yang disyariatkan untuk meringankan hukum azimah (hukum asal) kerana terdapat sesuatu keuzuran (halangan), disertai tetapnya hukum azimah namun hamba tidak diharuskan mengerjakan rukhsah itu.

Maka solat Jumaat pada hari raya menjadi rukhsah, kerana terdapat uzur iaitu pelaksanaan solat hari raya. Namun disebabkan rukhsah itu tidak menghilangkan azimah sama sekali, maka solat Jumaat masih tetap disyariatkan, sehingga boleh ditunaikan dan boleh juga ditinggalkan. Hal ini dikukuhkan lagi dengan sabda Nabi SAW yang terkandung dalam hadis Zayd bin Arqam “..barangsiapa yang berkehendak (solat Jumaat), hendaklah ia solat…”. Inilah manthuq (ungkapan tersurat) hadis, manakala mafhum mukhalafah (ungkapan tersirat)  bagi hadis tersebut – dalam hal ini berupa mafhum syarat, kerana terdapat lafaz ‘man’ sebagai syarat – adalah : “barangsiapa yang tidak berkehendak solat Jumaat, maka tidak perlu baginya menunaikan solat Jumaat”.

Kesimpulannya, orang yang telah melaksanakan solat hari raya, gugurlah kewajipan ke atasnya untuk menunaikan solat Jumaat. Lafaz ‘man’ (barangsiapa) mengandungi pengertian umum, tanpa mengira sama ada penduduk kampung mahupun penduduk kota. Adapun lafaz umum akan tetap dalam keumumannya selagimana tiada dalil yang mengkhususkannya. Dalam hal ini tidak ada dalil yang mengkhususkan (takhsis) keumumannya.

Hukum kedua, bagi mereka yang telah menunaikan solat hari raya, tetap disunnahkan dan diutamakan untuk melaksanakan solat Jumaat.

Secara dasarnya, kedudukan antara azimah dan rukhsah adalah setara, tiada yang lebih utama melainkan terdapat nas yang menjelaskan keutamaan salah satunya, sama ada azimah mahupun rukhsah.

Namun dalam hal ini terdapat nas yang menunjukkan keutamaan solat Jumaat berbanding meninggalkannya. Dalam hadis Abu Hurairah r.a. yang telah dinyatakan sebelum ini terdapat sabda Nabi SAW “…Dan sesungguhnya kami akan mengerjakan solat Jumaat”. Ini menunjukkan bahawa meskipun baginda SAW menjadikan solat Jumaat sebagai rukhsah, akan tetapi Nabi Muhammad SAW tetap mengerjakan solat Jumaat. Sungguhpun demikian, perbuatan Nabi SAW ini tidak wajib, kerana baginda sendiri mengizinkan sama ada hendak menunaikannya ataupun tidak. Maka, perbuatan tersebut sifatnya sunnah, dan bukanlah wajib.

Hukum ketiga, jika seseorang yang telah menunaikan solat hari raya memilih untuk tidak menunaikan solat Jumaat, maka wajib ke atasnya untuk menunaikan solat Zohor.

Solat Zohor tetap wajib ditunaikan kerana nas-nas hadis yang telah dinyatakan hanyalah terhadap solat Jumaat dan tidak mencakupi solat Zohor.  Kewajipan solat Zohor adalah kewajipan asal (al fardhu al asli), sedangkan solat Jumaat adalah hukum pengganti (badal) bagi solat Zohor. Maka jika hukum pengganti (badal) – iaitu solat Jumaat – tidak dilaksanakan, maka kembalilah tuntutan syarak kepada hukum asalnya, iaitu solat Zohor. Hal demikian adalah dalam mengamalkan “istish-hab”, iaitu kaedah hukum untuk menetapkan berlakunya hukum asal, selama tidak terdapat dalil yang mengecualikan atau mengubah berlakunya hukum asal.

Hukum keempat, mereka yang tidak menunaikan solat hari raya pada pagi harinya, wajib ke atasnya untuk menunaikan solat Jumaat.

Rukhsah untuk meninggalkan solat Jumaat ini khusus bagi mereka yang sudah melaksanakan solat hari raya. Mereka yang tidak melaksanakan solat hari raya, tidak mendapat rukhsah, dan mereka tetap wajib menunaikan solat Jumaat.

Dalilnya merujuk kepada hadis Abu Hurairah (iaitu hadis kedua) di mana Nabi SAW bersabda, “Barangsiapa yang berkehendak (solat hari raya), cukuplah baginya solat hari raya itu, tidak perlu solat Jumaat lagi.”. Ini merupakan manthuq hadis, manakala mafhum mukhalafah-nya pula orang yang tidak melaksanakan solat hari raya, maka ia tetap dituntut untuk menunaikan solat Jumaat.

Imam ash-Shan’ani dalam Subulus Salam ketika memberi syarah terhadap hadis tersebut berkata: “Hadis tersebut adalah dalil bahawa solat Jumaat – setelah ditunaikan solat hari raya – menjadi rukhsah. Boleh dikerjakan dan boleh pula ditinggalkan. Tetapi (rukhsah) itu khusus bagi mereka yang menunaikan solat ‘Eid, tidak mencakupi orang yang tidak mengerjakan solat ‘Eid”.

Oleh itu, orang yang tidak melaksanakan solat hari raya, tidak termasuk dalam pengecualian dari keumuman nas yang mewajibkan solat Jumaat. Mereka yang tidak menunaikan solat hari raya, wajib baginya menunaikan solat Jumaat.

Meninjau Pendapat Lain

Pendapat Imam Shafie

Secara dasarnya, Imam Shafie tetap mewajibkan solat Jumaat yang jatuh pada hari raya. Namun beliau menetapkan kewajipan tersebut terhadap penduduk kota (ahlul madinah / ahlul amshaar). Bagi penduduk desa atau padang pasir (ahlul badawi) yang berkunjung ke kota untuk solat ‘Eid (dan solat Jumaat), dan di tempatnya tidak dilaksanakan solat Jumaat, maka mereka dibenarkan untuk tidak mengerjakan solat Jumaat.

Imam Shafie berpendapat sedemikian kerana menurut beliau, hadis-hadis yang menerangkan gugurnya kewajipan solat Jumaat pada hari raya bukanlah hadis-hadis yang sahih dan beliau tidak beramal dengannya. Berkenaan pendapat Imam Shafie itu, Imam ash-Shan’ani dalam Subulus Salam berkata: “Asy-Shafie dan segolongan ulama; berpendapat bahawa solat Jumaat tidak menjadi rukhsah. Mereka berhujah bahawa dalil kewajipan solat Jumaat bersifat umum untuk semua hari (termasuklah pada hari raya). Hadis-hadis dan atsar-atsar (yang menjadikan solat Jumaat sebagai rukhsah) tidak cukup kuat untuk menjadi takhsis (pengkhususan) kewajipan solat Jumaat, kerana sanad-sanad hadis tersebut telah diperselisihkan ileh ulama’. Saya (ash-Shan’ani) berkata, “Hadis Zayd bin Arqam telah dinilai sahih oleh Ibnu Khuzaimah. Maka hadis tersebut boleh menjadi takhsis…”

Oleh demikian, jelaslah bahawa Imam Shafie tidak menilai hadis Zayd bin Arqam tersebut sebagai hadis sahih, sehingga beliau tidak menjadikannya sebagai takhsis yang menggugurkan kewajipan solat Jumaat. Beliau kemudian berpegang kepada keumuman nas yang mewajibkan solat Jumat pada semua hari (ayat 9 surah al-Jumu’ah). Namun, Imam ash-Shan’ani menyatakan bahawa hadis Zayd bin Arqam adalah sahih menurut Ibnu Khuzaimah.

Dalam hal ini perlu ditegaskan bahawa penolakan Imam Shafie terhadap hadis Zaiyd bin Arqam tidaklah mencegah kita daripada menerima hadis tersebut. Penolakan Imam Shafie terhadap hadis Zayd bin Arqam tidak bererti bahawa hadis tersebut – secara mutlak – tertolak (mardud) kerana sudah menjadi suatu kewajaran dalam penilaian hadis, bahawa sesebuah hadis boleh diterima oleh sebahagian muhaddis tatkala muhaddis lain menolaknya. Dalam soal ini, Taqiuddin an-Nabhani dalam Asy-Syakhsiyah al-Islamiyah Juz 1 menukilkan: “…(kita tidak boleh sewenang-wenangnya menolak suatu hadis) hanya kerana seorang ahli hadis tidak menerimanya, kerana ada kemungkinan hadis itu diterima oleh ahli hadis yang lain. Kita juga tidak boleh menolak sesebuah hadis kerana ahli hadis menolaknya, kerana ada kemungkinan hadis itu digunakan sebagai hujah oleh para Imam atau para fuqaha…”

Oleh itu, walaupun hadis Zayd bin Arqam ditolak oleh Imam Shafie, tidak bererti kita tidak boleh menggunakan hadis tersebut sebagai dalil syarie. Hal ini kerana terdapat ahli hadis lain yang menilainya sebagai hadis sahih, iaitu Imam Ibnu Khuzaimah, sebagaimana penjelasan Imam Ash-Shan’ani. Maka, beristidlal dengan hadis Zayd bin Arqam itu tetap dibenarkan, dan hukum yang disandarkan pada hadis tersebut tetap berstatus hukum syarie.

Pendapat Imam Malik dan Abu Hanifah

Ibnu Rusyd menjelaskan hujah kedua-dua Imam tersebut; “Imam Malik dan Abu Hanifah berkata, ‘Solat hari raya adalah sunnah, sedang solat Jumaat adalah fardhu, dan salah satunya tidak dapat menggantikan yang lainnya. Inilah yang menjadi prinsip asal (al-aslu) dalam masalah ini, kecuali jika terdapat ketetapan syara’, maka wajib merujuk kepadanya…’

Berdasarkan keterangan tersebut, ternyata bahawa Imam Malik dan Abu Hanifah juga tidak menerima hadis-hadis yang menerangkan gugurnya solat Jumaat pada hari raya. Dengan itu, mereka berpegang pada hukum asal, iaitu solat hari raya sebagai sunnah dan kewajipan solat Jumaat. Asas kepada pendapat mereka sebenarnya sama dengan pendapat Imam Shafie. Namun demikian, mereka memberikan pengecualian, bahawa hukum asal tersebut boleh berubah sekiranya terdapat dalil syarie yang menerangkannya.

Atas dasar itu, memandangkan terdapat hadis Zayd bin Arqam (yang dinilai sahih menurut Ibnu Khuzaimah) atau hadis Abu Hurairah r.a. (yang sahih menurut ad-Daruquthni), maka sesungguhnya hadis-hadis tersebut dapat dijadikan takhsis hukum asal solat Jumaat, iaitu yang pada asalnya wajib kemudian menjadi rukhsah (tidak wajib). Dengan demikian, hukum yang diterima adalah hukum yang telah di-takhsis – solat Jumaat menjadi rukhsah bagi mereka yang menunaikan solat hari raya, dan statusnya tidak wajib. Inilah pendapat yang lebih tepat.

Pendapat ‘Atha bin Abi Rabah

Imam Ash’ani menjelaskan bahawa pendapat ‘Atha’ tersebut didasarkan kepada tiga alasan, iaitu:

Pertama, berdasarkan perbuatan Ibnu Zubayr r.a. sebagaimana yang diriwayatkan oleh  Imam Abu Daud, bahawa: “Dua hari raya (hari raya dan hari Jumaat) telah berkumpul pada satu hari yang sama. Lalu dia (Ibnu Zubayr) mengumpulkan kedua-duanya dan melakukan solat untuk kedua-duanya sebanyak dua rakaat pada pagi hari. Dia tidak menambah atas dua rakaat itu sampai dia mengerjakan solat Asar”.

Kedua, solat Jumaat adalah hukum asal (al-asl) pada hari Jumaat, sedangkan solat Zohor adalah hukum pengganti (al-badal) bagi solat Jumaat. Maka, jika hukum asal telah gugur, maka secara automatiknya gugurlah hukum penggantinya.

Ketiga, pada zahirnya dari hadis Zayd bin Arqam, Rasulullah SAW telah memberi rukhsah pada solat Jumaat. Namun baginda SAW tidak memerintahkan untuk solat Zohor bagi orang yang tidak melaksanakan solat Jumaat.

Demikianlah alasan yang digunakan. Imam ash-Shan’ani tidak menerima pendapat tersebut dan telah membantahnya. Menurutnya, setelah solat hari raya Ibnu Zubayr tidak keluar dari rumahnya untuk solat Jumaat di masjid, maka tidaklah dapat dipastikan sama ada Ibnu Zubayr menunaikan solat Zohor ataupun tidak. Berkemungkinan (ihtimal) bahawa Ibnu Zubayr solat Zohor di rumahnya. Apa yang pasti, menurut Imam ash-Shan’ani, Ibnu Zubayr tidak mengerjakan solat Jumaat.

Bagi alasan kedua dan ketiga, Imam ash-Shan’ani membantah bahawa solat Jumaat adalah hukum asal (al asl) manakala solat Zohor sebagai hukum pengganti (al-badal). Sebaliknya, solat Zohor adalah al-asl manakala solat Jumaat merupakan penggantinya. Hal ini kerana kewajipan solat Zohor ditetapkan terlebih dahulu berbanding solat Jumaat. Solat Zohor disyariatkan kewajipannya pada malam Isra’ da Mikraj, manakala solat Jumaat disyariatkan kemudian. Oleh demikian, sekiranya solat Jumaat tidak dilaksanakan, maka wajiblah kembali kepada hukum asal, iaitu mengerjakan solat Zohor.

Kesimpulan

Berdasarkan huraian yang telah diberikan, dapatlah disimpulkan bahawa sekiranya hari raya jatuh pada hari Jumaat, maka hukumnya adalah seperti berikut:

Pertama, jika seseorang telah menunaikan solat hari raya (‘eid), gugurlah kewajipan solat Jumaat ke atasnya. Dia boleh memilih sama ada untuk menunaikan solat Jumaat atau tidak. Namun, disunnahkan baginya untuk tetap melaksanakan solat Jumaat.

Kedua, jika orang yang telah menunaikan solat hari raya memilih untuk tidak menunaikan solat Jumaat, wajib baginya untuk melaksanakan solat Zohor.

Ketiga, bagi mereka yang tidak menunaikan solat hari raya pada hari tersebut, wajib baginya untuk solat Jumaat. Dia tidak boleh meninggalkan solat Jumaat lalu menunaikan solat Zohor sebagai ganti.

Demikianlah hasil pentarjihan bagi masalah ini berdasarkan dalil-dalil syarie yang ada. Wallahua’lam.

Rujukan

Abdullah, Muhammad Husain. 1995. Al Wadhih fi Ushul Al Fiqh. Cetakan Kedua. Beirut : Darul Bayariq. 417 hal.

Ad Dimasyqi, Muhammad bin Abdurrahman Asy Syafi’i. 1993. Rohmatul Ummah (Rahmatul Ummah Fi Ikhtilafil A`immah). Terjemahan oleh Sarmin Syukur dan Luluk Rodliyah. Cetakan Pertama. Surabaya : Al Ikhlas. 554 hal.

Ash Shan’ani, Muhammad bin Ismail Al Kahlani. Tanpa Tahun. Subulus Salam. Juz II. Bandung : Maktabah Dahlan. 224 hal.

Ash Shiddieqi, T.M. Hasbi. 1981. Koleksi Hadits Hukum (Al Ahkamun Nabawiyah). Jilid IV. Cetakan Kedua. Bandung : PT. Alma’arif. 379 hal.

An Nabhani, Taqiyuddin. 1953. Asy Syakhshiyah Al Islamiyah. Juz Ketiga (Ushul Fiqh). Cetakan Kedua. Al Quds : Min Mansyurat Hizb Al Tahrir. 492 hal.

———-. 1994. Asy Syakhshiyah Al Islamiyah. Juz Pertama. Cetakan Keempat. Beirut : Darul Ummah. 407 hal.

Ibnu Khalil, ‘Atha`. 2000. Taisir Al Wushul Ila Al Ushul. Cetakan Ketiga. Beirut : Darul Ummah. 310 hal.

Ibnu Rusyd. 1995. Bidayatul Mujtahid wa Nihayatul Muqtashid. Juz I. Beirut : Daarul Fikr. 399 hal.

Raghib, Ali. 1991. Ahkamush Shalat. Cetakan Pertama. Beirut : Daar An Nahdhah Al Islamiyah.132 hal.

Sabiq, Sayyid. 1987. Fikih Sunnah (Fiqhus Sunnah). Jilid 2. Cetakan Ketujuhbelas. Terjemahan oleh Mahyuddin Syaf. Bandung : PT. Al Ma’arif. 229 hal

Syirbasyi, Ahmad. 1987. Himpunan Fatwa (Yas`alunaka fi Ad Din wa Al Hayah). Terjemahan oleh Husein Bahreisj. Cetakan Pertama. Surabaya : Al Ikhlas. 598 hal.

KH. M. Shiddiq Al-Jawi

Sumber: www.khilafah1924.org

11 Respons to "Hukum Solat Jumaat Pada Hari Raya"

hmm..raya aidiladha tahun ni sy nmpk ramai yg xsolat jumaat sebab masing2 sibuk dengan penyembelihan dan tidak sempat menyucikan diri..

Terima kasih…

Em… berdasarkan pendapat yang di-tarjih, insya Allah tiada masalah sekiranya mereka tak menunaikan solat Jumaat asalkan mereka sudah menunaikan solat eid di pagi harinya. Memadai bagi mereka menunaikan solat Zohor. Namun seperti yang telah dihuraikan dalam artikel di atas, disunnahkan bagi mereka untuk turut menunaikan solat Jumaat. =)

Wallahua’lam…

rasanya aneh jika shalat Jum’at yang diwajibkan berdasarkan dalil qath’i Alqur’an surah al-Jumu’ah digugurkan dengan dalil hadits dhaif, kemudian dikatakan sebagai pendapat yang rajih.

Terima kasih. Kita perlu jelas bahawa Ibnu Khuzaimah menerima hadis ini sebagai sahih. Sekiranya saudara berpegang bahawa hadis tersebut dhaif, maka dipersilakan untuk beramal dengan pendapat yang saudara yakini. Bukankah hal ini termasuk dalam ruang lingkup khilaf fiqhi?

Wallahua’lam…

terimah kasih

[…] Alhamdulillah saya pernah memaparkan pembahasan ringkas berkenaan isu tersebut (sila klik di SINI). Saya berpegang bahawa tidak wajib untuk menunaikan solat Jumaat sekiranya sudah menunaikan solat […]

saya mintak izin untuk berkongsi dengan yang lain ya..

Assalamualaikum, para pembaca sekalian dialu-alukan untuk
menyebarkan artikel ini demi kebaikan bersama. Semoga sumbangan kecil ini berhasil menambahkan pemahaman umat Islam terhadap khazanah ilmiah Islam yang kaya di samping membimbing kita semua dalam menjalani kehidupan seharian, insya Allah.

Salam Aidilfitri…

lebih baik sembahyang daripada tak sembahyang

Benar. Disunnahkan untuk turut menunaikan solat Jumaat biarpun sudah menunaikan solat sunat eid. Wallahua’lam

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Calendar

November 2009
F S S M T W T
« Oct   Dec »
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
27282930  

Archive

Sudahkah anda membaca al-Quran pada hari ini?

Bilakah kali terakhir kita membaca al-Quran?

Truth About Democracy – Click to Read the Article

Democracy is not compatible with Islam

Truth About Democracy

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 12 other followers

Sikap Kita Terhadap Sesama Daie

Sikap Hizbut Tahrir sendiri terhadap gerakan-gerakan Islam lainnya setidaknya tercermin dari pernyataan Amin Nayaf , salah seorang tokoh Hizbut Tahrir –ketika beliau memberikan jawaban atas tuduhan terhadap beliau yang telah menyebarkan pemikiran Mu’tazilah: “Janganlah kalian mencoba untuk mencari permusuhan atau mengarah pada permusuhan terhadap gerakan-gerakan Islam lainnya. Kita harus waspada terhadap pihak-pihak yang mencoba untuk memecah-belah gerakan-gerakan Islam. Kepada merekalah seharusnya serangan itu dilancarkan.

Persoalan tentang Baiah al-Inah

Blog Stats

  • 107,623 visits

Top Rated

Reminder to All Muslims around the World

“Say: If it be that your fathers, your sons, your brothers, your mates, or your kindred; the wealth that ye have gained; the commerce in which ye fear a decline: or the dwellings in which ye delight – are dearer to you than Allah, or His Messenger, or the striving in His cause;- then wait until Allah brings about His decision (ie. Torment): and Allah guides not the rebellious.” [TMQ Surah At-Tawbah: 24]
%d bloggers like this: