apo nak dikato

Status Golongan yang Tidak Berhukum dengan Hukum Allah

Posted on: September 4, 2009

Assalamualaikum, maaf kerana sudah agak lama tidak menulis dalam blog ini. Agak sibuk dengan sedikit urusan pembelajaran, di samping itu sedang berusaha mengejar peluang yang hanya hadir dalam bulan Ramadhan serta kewajipan lainnya. Berikut merupakan artikel soal-jawab yang saya terjemahkan daripada sebuah laman blog soal-jawab Islam iaitu Konsultasi Islam (link terdapat pada bahagian links “For Islam” pada bahagian kiri blog ini). Untuk membaca artikel asal (pengantar Indonesia), sila klik di SINI.

Status Golongan yang Tidak Berhukum dengan Hukum Allah

Soalan:

Dalam al-Quran terdapat celaan yang amat keras terhadap mereka yang tidak menerapkan hukum berdasarkan hukum yang diturunkan Allah swt. Dalam ayat 44 surah al-Maidah, mereka dicela sebagai orang kafir. Dalam ayat seterusnya, disebut sebagai orang yang zalim, dan dalam ayat ke-47 surah al-Maidah pula mereka dicela sebagai orang fasik. Bagaimanakah kedudukan status ketiga-tiga sifat tersebut?

Jawapan:

Memang benar, terdapat celaan yang keras bagi mereka yang tidak menerapkan hukum selari dengan hukum Allah swt. Allah swt telah berfirman:

وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ

“Dan barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang kafir” (TMQ al-Maidah [5]: 44)

وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

“Dan barangsiapa yang tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim”. (TMQ al-Maidah [5]: 45)

وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

“Dan barangsiapa yang tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik”. (TMQ al-Maidah [5]: 47)

Ayat-ayat tersebut, meskipun diturunkan berkenaan kaum Yahudi dan Nasrani, namun tidak terhad ke atas mereka semata-mata kerana ungkapan ayat tersebut bersifat umum. Perkataan ‘man’ menunjukkan bahawa ia makna umum, dan tidak dikhususkan kepada kelompok tertentu. Sedangkan dalam kaedah yang rajih ada dinyatakan:

الْعِبْرَةُ بِعُمُومِ اللَّفْظِ لَا بِخُصُوصِ السَّبَبِ

Berlakunya hukum dilihat dari umumnya lafaz, bukan khususnya sebab.

Oleh kerana itu ketiga-tiga ayat tersebut bersifat umum, merangkumi kesemua golongan yang tidak berhukum dengan hukum Allah swt. Kesimpulan ini juga dinyatakan oleh Ibnu Mas’ud, al-Nakhai, Ibnu Abbas, Ibrahim, al-Hasan, al-Sudi, Fakhruddin al-Razi, Ibnu ‘Athiyyah, al-Qinuji, al-Samarqandi, dan Mahmud Hijazi.

Sungguhpun bersifat umum, namun tidak bererti semua orang yang tidak memutuskan perkara dengan hukum Allah itu tergolong sebagai kafir. Penilaian secara lebih teliti wajar dilakukan agar tidak termasuk dalam perbuatan takfir (mengkafirkan) yang tidak kena pada tempatnya.

Perbuatan “berhukum dengan hukum Allah” terangkum dalam wilayah syariah. Secara syarie, perbuatan tersebut termasuk dalam hukum wajib. Ketetapan hukum ini didasarkan kepada dalil-dalil qatie (pasti, tanpa membawa sebarang maksud lain), baik qatie tsubut (sumbernya yang pasti) mahupun qatie al-dalalah (pasti penunjukannya). Dalil-dalil sedemikian banyak dinukilkan dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Dalil-dalil yang membawa kepada kesimpulan hukum wajib antara lain: adanya perintah tegas untuk memutuskan perkara dengan apa yang diturunkan-Nya dan larangan mengikuti hawa nafsu kaum kuffar (TMQ al-Maidah [5]: 48,49); kewajipan mentaati Allah SWT dan Rasulullah SAW serta mengembalikan semua perkara yang diperselisihkan kepada kedua-duanya (TMQ an-Nisa’ [4]: 59); penafian iman orang yang enggan berhukum dengan ketetapan Rasulullah SAW (TMQ an-Nisa’ [4]: 65) ; ancaman ditimpakan fitnah atau azab pedih bagi mereka yang menyimpang daripada perintah Rasulullah SAW (TMQ an-Nur [24]: 63) ; celaan terhadap orang yang membuat keputusan dengan berhukum kepada taghut (TMQ an-Nisa’ [4]: 60) ; dan sebahagian besar dalil-dalil yang lain. Maka tidak menghairankan jika hakikat kewajipan berhukum dengan hukum Allah SWT ini termasuk dalam kategori “ma’lum min al-din bi al-dharurah” (perkara yang sedia maklum sebagai sebahagian daripada agama kerana keutamaannya).

Sebagai persoalan yang terangkum dalam wilayah syariah, maka meninggalkan kewajipan ini akan dikategorikan sebagai perbuatan berdosa. Sungguhpun demikian, perlanggaran tersebut tidaklah membawa kepada tergelincirnya keimanan atau status keIslaman seseorang. Perlanggaran sebegini samalah seperti halnya memakan riba’, membunuh, mencuri, atau berzina. Sememangnya perbuatan tersebut termasuk dalam kategori dosa besar. Namun, perlanggaran tersebut tidaklah mengeluarkan seseorang itu daripada agamanya. Pelakunya juga tidak sewajarnya digelar sebagai seorang murtad kerana perbuatan tersebut.

Jatuhnya kafir ataupun murtad terjadi hanya apabila seseorang itu mengingkari (ataupun menafikan) hukum-hukum-Nya. Apabila ia mengingkari wajibnya berhukum dengan syariah, maka penafian tersebut boleh menyebabkannya terkeluar daripada Islam atau dalam ertikata lain, menjadi kafir. Status kafir atau murtad itu jatuh ke atas seseorang bukan disebabkan oleh tindakannya tidak berhukum dengan hukum Allah (syariah), sebaliknya disebabkan oleh penafiannya terhadap suatu ketetapan yang telah dinukilkan dalam al-Quran dan as-Sunnah secara qatie. Sekiranya sudah sampai kepada tahap pengingkaran, isunya bukan lagi meliputi wilayah syariah, bahkan sudah memasuki perlanggaran dalam wilayah aqidah. Sedangkan perkara aqidah ini merupakan pembeza antara orang-orang Mukmin dengan orang kafir.

Oleh kerana kewajipan menerapkan syariah itu disandarkan kepada dalil-dalil yang qatie (baik qatie al-tsubut mahupun qatie al-dalalah), maka sekiranya seseorang itu mengingkari kewajipan tersebut bererti ia telah mengingkari ayat-ayat tersebut. Penafian terhadap sebahagian daripada ayat-ayat al-Quran sudah cukup mengeluarkan seseorang daripada keimanan. Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ يَكْفُرُونَ بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَيُرِيدُونَ أَنْ يُفَرِّقُوا بَيْنَ اللَّهِ وَرُسُلِهِ وَيَقُولُونَ

نُؤْمِنُ بِبَعْضٍ وَنَكْفُرُ بِبَعْضٍ وَيُرِيدُونَ أَنْ يَتَّخِذُوا بَيْنَ ذَلِكَ سَبِيلًا . أُولَئِكَ هُمُ

الْكَافِرُونَ حَقًّا وَأَعْتَدْنَا لِلْكَافِرِينَ عَذَابًا مُهِينًا

“Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada Allah dan rasul-rasul-Nya, dan bermaksud memperbezakan antara (keimanan kepada) Allah dan rasul-rasul-Nya, dengan mengatakan: “Kami beriman kepada yang sebahagian dan kami kafir terhadap sebahagian (yang lain)”, serta bermaksud (dengan perkataan itu) mengambil jalan (tengah) di antara yang demikian (iman atau kafir), merekalah orang-orang yang kafir sebenar-benarnya. Kami telah menyediakan untuk orang-orang yang kafir itu siksaan yang menghinakan.” (TMQ al-Nisa’ [4]: 150-151)

Allah SWT juga berfirman:

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا

خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ

بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

“Apakah kamu beriman kepada sebahagian al-Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian dari padamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat.” (TMQ al-Baqarah [2]: 85).

Demikianlah pendapat para ulama’ ketika menjelaskan makna ayat tersebut. Ibnu Abbas menyatakan:

. وَمَنْ أَقَرَّ بَهَ وَلَمْ يَحْكُمْ، فَهُوَ ظَالِمٌ فَاسِقٌ . مَنْ جَحَدَ مَا أَنْزَلَ اللهُ فَقَدْ كَفَرَ

“Barangsiapa yang mengingkari apa yang diturunkan Allah, sungguh dia telah kafir. Dan barangsiapa yang mengakuinya namun tidak berhukum dengannya, maka dia adalah zalim-fasik”.

Ikrimah juga bersependapat dengan pendirian tersebut. Beliau menyatakan:

“Firman Allah {وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ الله}itu mencakup mereka yang mengingkari di hatinya dan mendustakan dengan lisannya. Adapun orang yang mengakui di hatinya keberadaannya sebagai hukum Allah, serta membenarkan dengan lisannya keberadaannya sebagai hukum Allah, namun dia meninggalkannya, maka dia tidak termasuk dalam cakupan ayat ini”.

Pendapat Ikrimah ini juga dinyatakan oleh Fakhruddin al-Razi sebagai jawapan yang sahih. Syeikh Taqiuddin an-Nabhani dan Abdul Qadim Zallum dalam Nizam al-Hukm fi al-Islam menukilkan:

“Dan sungguh Allah telah memerintahkan sultan dan penguasa untuk berhukum dengan apa yang Allah SWT turunkan kepada Rasul-Nya; dan menjadikan orang yang tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan sebagai orang kafir seandainya dia meyakininya (i.e. meyakini hukum selain hukum Allah), atau meyakini bahawa apa yang Allah turunkan itu tidak layak untuk diterapkan; dan Allah menjadikannya sebagai orang yang berbuat kemaksiatan, fasik, dan zalim, jika berhukum dengan (selain dari apa yang Allah turunkan) dan tidak meyakininya (hukum selain hukum Allah itu)”.

Pandangan sedemikian, menurut Wahbah al-Zuhaili merupakan pandangan jumhur Ahlu Sunnah.

Sejajar dengan huraian yang telah diberikan, jelaslah bahawa status kafir jatuh kepada orang yang mengingkari kebenaran, kelayakan, dan kewajipan berhukum dengan hukum Allah SWT. Namun jika masih meyakini kebenaran, kelayakan, dan kewajipan berhukum dengan hukum Allah, statusnya jatuh kepada zalim dan fasik.

Perbuatan tidak berhukum dengan hukum Allah akan hanya menyebabkan pelakunya beroleh kerugian dan kesengsaraan, Hal ini kerana hanya ada tiga kedudukan bagi golongan tersebut, iaitu kafir, zalim, atau fasik (lihat TMQ al-Maidah [5]: 44, 45, 47). Semestinya status kafir menjadi suatu yang paling dikhuatiri, kerana ia akan menyebabkan seluruh amal perbuatan manusia terhapus dan sia-sia di sisi-Nya. Firman Allah SWT:

يَعْمَلُونَ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآَيَاتِنَا وَلِقَاءِ الْآَخِرَةِ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ هَلْ يُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كَانُوا

“Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan mendustakan akan menemui akhirat, sia-sialah perbuatan mereka. Mereka tidak diberi balasan selain dari apa yang telah mereka kerjakan”. (TMQ al-A’raf [7]: 147)

Betapa besarnya ancaman tersebut, maka siapakah lagi yang masih berani menafikan syariah-Nya? Wallahu’alam bi al-sawab. (Rokhmat S. Labib, M.E.E; Ketua Lajnah Tsaqafiyyah DPP HTI)

Rujukan.

al-Razi, al-Tafsîr al-Kabîr, vol. 12, 6; al-Syaukani, Fath al-Qadîr, vol. 2, 53; al-Qinuji, Fath al-Bayân, vol. 3, 428

al-Qinuji, Fath al-Bayân, vol. 3, 428; al-Khazin, Lubâb al-Ta’wîl, vol. 2, 48

al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân, vol. 10, 593; al-Wahidi al-Naysaburi, al-Wasîth fî Tafsîr al-Qur’ân al-Majîd, vol. 2 (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994), 191

al-Razi, al-Tafsîr al-Kabîr, vol. 12, 6; Ibnu ‘Athiyyah, al-Muharrar al-Wajîz, vol.2, 196; Dengan ungkapan yang sedikit berbeda, alasan ini juga dikemukakan Abu Hayyan al-Andalusi, Tafsîr al-Bahr al-Muhîth, vol. 3, 55; al-Qinuji, Fath al-Bayân, vol. 3, 427; al-Samarqandi, Bahr al-‘Ulûm, vol. 1 (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1993), 439; Mahmud Hijazi, al-Tafsîr al-Wadhîh, vol. 1 (Kairo: Dar al-Tafsir, 1992), 519

al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân, vol. 10; al-Wahidi, al-Wasîth fî Tafsîr al-Qur’ân al-Majîd, vol. 2, 191; Ibnu Katsir, Tafsîr al-Qur’ân al’Azhîm, vol. 2 , 80; al-Syaukani, Fath al-Qadîr, vol. 2, 56; al-Samarqandi, Bahr al-‘Ulûm, vol. 1, 439

al-Razi, al-Tafsîr al-Kabîr, vol. 12, 6; al-Zuhayli, Tafsîr al-Munîr, vol. 5, 208

al-Razi, al-Tafsîr al-Kabîr, vol. 12, 6

Taqiyuddin al-Nabhani dan Abdul Qadim al-Zallum, Nidzâm al-Hukm fî al-i\Islâm (Beirut: Dar al-Ummah, 2002), 20

al-Zuhayli, Tafsîr al-Munîr, vol. 5, 206

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Calendar

September 2009
F S S M T W T
« Aug   Oct »
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
252627282930  

Archive

Sudahkah anda membaca al-Quran pada hari ini?

Bilakah kali terakhir kita membaca al-Quran?

Truth About Democracy – Click to Read the Article

Democracy is not compatible with Islam

Truth About Democracy

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 12 other followers

Sikap Kita Terhadap Sesama Daie

Sikap Hizbut Tahrir sendiri terhadap gerakan-gerakan Islam lainnya setidaknya tercermin dari pernyataan Amin Nayaf , salah seorang tokoh Hizbut Tahrir –ketika beliau memberikan jawaban atas tuduhan terhadap beliau yang telah menyebarkan pemikiran Mu’tazilah: “Janganlah kalian mencoba untuk mencari permusuhan atau mengarah pada permusuhan terhadap gerakan-gerakan Islam lainnya. Kita harus waspada terhadap pihak-pihak yang mencoba untuk memecah-belah gerakan-gerakan Islam. Kepada merekalah seharusnya serangan itu dilancarkan.

Persoalan tentang Baiah al-Inah

Blog Stats

  • 107,689 visits

Top Rated

Reminder to All Muslims around the World

“Say: If it be that your fathers, your sons, your brothers, your mates, or your kindred; the wealth that ye have gained; the commerce in which ye fear a decline: or the dwellings in which ye delight – are dearer to you than Allah, or His Messenger, or the striving in His cause;- then wait until Allah brings about His decision (ie. Torment): and Allah guides not the rebellious.” [TMQ Surah At-Tawbah: 24]
%d bloggers like this: