apo nak dikato

Mari Menderma Darah

Posted on: Ogos 10, 2009

Assalamualaikum…

1. Penulisan kali ini dibuat berdasarkan pemerhatian dan juga apa yang telah saya pelajari. Sekiranya terdapat sebarang keraguan ataupun jika anda ingin mendapatkan maklumat lanjut, sila rujuk kepada doktor yang bertauliah, ataupun hubungi mana-mana bank darah di hospital-hospital besar ataupun terus merujuk kepada Pusat Darah Negara. [Laman Rasmi PDN.]

Peta ke Pusat Darah Negara (PDN)

Peta ke Pusat Darah Negara (PDN)

2. Saya tergerak untuk menulis kerana sewaktu kunjungan saya yang terakhir, seorang makcik pernah meluahkan rasa kecewanya melihat betapa sedikitnya umat Islam yang menderma darah (pada pemerhatian makcik tersebut). Katanya lagi, sepanjang dia menderma darah, kebanyakan penderma yang beliau lihat merupakan bangsa Cina dan India. Walaupun saya tidak pasti sejauhmana kebenaran pemerhatian makcik tersebut, namun setidak-tidaknya saya berasa memang wajar bagi saya untuk menulis entri kali ini mengenai pendermaan darah. Mudah-mudahan melalui penulisan ini, sedikit-sebanyak akan dapat mendorong supaya umat Islam untuk tampil mendermakan darah. Insya Allah.

bloodonation

3. Pendermaan darah boleh dilakukan di mana-mana hospital besar yang mempunyai kemudahan berkaitan, juga boleh dilakukan di tapak-tapak kempen menderma darah yang dianjurkan sama ada oleh PDN sendiri mahupun mana-mana badan bukan kerajaan (NGO).

4. Sekiranya berminat untuk mendermakan darah, sila pastikan anda mematuhi syarat-syarat asas  seperti berikut:  sihat,  berusia antara 18-60 tahun (PDN meletakkan had minima 17 tahun), berat badan melebihi 45kg, tidur melebihi 5 jam pada malam sebelumnya, tidak mempunyai sebarang masalah perubatan (masalah jantung, kencing manis dsb),  tidak mengambil sebarang ubat antibiotik, telah mengambil sedikit makanan sebelum menderma darah, tidak terlibat dalam kehidupan berisiko tinggi (high risk : homoseks, biseksual, seks rambang, IVDU (intravenous drug users – penagih dadah secara suntikan) ataupun menjadi pasangan kepada golongan-golongan tersebut) dan pendermaan darah terakhir melebih tempoh 3 bulan dahulu.

5. Setibanya di sana, anda dikehendaki mendaftarkan diri (sekiranya menderma untuk kali pertama), mengisi borang penyaringan yang disediakan, kemudian anda akan diberikan sebuah buku rekod derma darah ataupun Sijil / Certificate. Anda dikehendaki membawa buku tersebut pada kunjungan seterusnya.

contoh borang menderma darah (PPUM)

contoh borang menderma darah (PPUM)

6. Seterusnya, darah anda akan diuji bagi menentukan jenis darah anda. Prosedur ini akan dilakukan pada setiap kali kunjungan meskipun anda sudah acapkali menderma darah. Kerana tak mustahil ada pihak yang menderma menggunakan buku rekod orang lain (walaupun saya tak pasti apa tujuannya, barangkali nak mendapatkan keistimewaan yang ditawarkan kepada penderma darah agaknya). Setelah itu, pemeriksaan kesihatan ringkas akan dilakukan oleh seorang doktor untuk memastikan anda sesuai untuk menderma pada hari ini. Berat badan dan tekanan darah anda juga akan dinilai.

7. Setelah semuanya selesai, anda akan dibawa ke ‘kerusi malas’ untuk memulakan proses pendermaan darah. Apabila ditanya oleh jururawat bertugas, sila berikan tangan yang tidak dominan. Sekiranya anda seorang kidal misalnya, sila minta jururawat tersebut mengambil darah daripada tangan kanan. Kerana sesudah tamat proses pendermaan darah, anda dikehendaki untuk mengurangkan aktiviti berat yang melibatkan tangan tersebut. Namun, bergantung kepada keadaan salur darah vena anda juga. Sekiranya vena di tangan yang anda cadangkan itu sukar untuk ditemui, maka kebiasaannya jururawat akan mencari vena yang lebih sesuai. dermadarah

8. Namun jangan khuatir, kerana jururawat-jururawat tersebut merupakan jururawat yang terlatih dalam mengendalikan proses ini. Setakat ini, hanya sekali sahaja proses menderma darah saya mengalami masalah. Itupun ketika menderma platelet (‘darah kuning’), yang memerlukan tempoh yang agak lama serta menggunakan mesin yang menyaring platelet daripada darah saya, kemudian komponen darah selebihnya dimasukkan semula ke dalam badan saya. Pendermaan platelet akan diulas secara ringkas kemudian.

9. Takut jarum? Jangan khuatir, kerana kesakitan hanya dirasai apabila jarum dimasukkan sahaja. Sesudahnya tiada lagi kesakitan dirasakan. Di Pusat Perubatan Universiti Malaya, ubat bius disuntik terlebih dahulu sebelum jarum yang disambung ke beg darah dimasukkan ke salur darah anda. Saya percaya, di tempat lain juga pendekatan yang sama digunapakai. Kesakitannya terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan kepuasan diri setelah melakukan sebahagian daripada amal kebajikan dengan mendermakan darah anda. Bagi yang takut melihat darah, saya syorkan supaya anda tidak melihat ketika jarum dimasukkan, juga tidak melihat darah mengalir keluar daripada tangan anda masuk ke dalam beg darah.

10. Sebanyak 450ml darah akan diambil daripada badan anda. Seorang dewasa mengandungi darah sebanyak lebih kurang 5 liter. Pendermaan darah kurang daripada 10% daripada jumlah darah dalam badan tidak akan mendatangkan bahaya bagi seorang dewasa yang sihat. Namun, langkah berjaga-jaga hendaklah diamalkan. Proses pengambilan darah kebiasaannya berlaku selama lebih kurang 10 minit, namun anda dinasihatkan supaya berehat selama lebih kurang sejam sesudah mendermakan darah. Sesudah itu, kebiasaannya anda akan dijamu dengan sedikit juadah dan air minuman untuk mendapatkan semula tenaga. Anda juga akan dibekalkan dengan pil yang mengandungi zat besi bagi membantu pembentukan sel darah merah anda.

11. Di samping mendermakan darah, anda juga boleh mendermakan platelet sahaja melalui sebuah proses yang dinamakan sebagai plateletphoresis. Terlebih dahulu, anda dikehendaki menderma darah sebanyak dua kali terlebih dahulu sebelum anda dipertimbangkan untuk menjadi penderma platelet (di PPUM). Setelah itu, doktor akan bertanyakan sama ada anda mengalami sebarang masalah ketika menderma darah terlebih dahulu (misalnya mengambil tempoh yang lebih lama, ataupun salur darah yang terlalu kecil dsb).

12. Tidak seperti pendermaan darah biasa yang memerlukan jarak selama lebih kurang 3 bulan, plateletphoresis boleh dilakukan pada setiap dua minggu. Proses plateletphoresis mengambil masa yang agak lama, lebih kurang satu jam. Oleh itu, sila pastikan anda benar-benar berkelapangan. Proses pendermaan platelet ini memerlukan penetapan temujanji bagi memastikan pendermaan dapat memenuhi keperluan platelet bagi sesebuah hospital itu. Proses ini menelan belanja yang agak besar kerana menggunakan tiub dan beg yang berbeza bagi setiap kali proses tersebut. Di samping itu, platelet juga mempunyai jangka hayat yang agak singkat dan akan dihapuskan sekiranya tidak digunakan dalam tempoh tersebut. Namun kebiasaannya platelet habis digunakan.

13. Kawan saya pernah bertanya, mengapa perlu derma platelet je? Mengapa tak derma darah macam biasa? Dah la kos mahal, lama pulak tu proses dia. Sekiranya tidak relevan, saya percaya sudah tentu pihak hospital tidak akan melakukannya. Di samping itu, platelet juga diperlukan bagi merawat pesakit-pesakit yang mempunyai jumlah platelet yang rendah, misalnya dalam pesakit demam denggi. Seperti yang kita semua sedia maklum, kes demam denggi semakin meningkat di beberapa kawasan. Cuma mungkin tidak begitu disedari kerana kita juga sedang menghadapi wabak influenza A H1N1.

14. Rasanya cukuplah sekadar ini sahaja perkongsian saya kali ini. Dengan penuh harapan, saya merayu supaya lebih ramai lagi pihak tampil untuk menjadi penderma darah, khususnya dalam kalangan umat Islam. Sewajarnya kita terdorong untuk melakukannya kerana ia sejajar dengan seruan Islam supaya kita berlumba-lumba melakukan amal kebajikan. Sedekah bukan sekadar terhad kepada duit dan harta-benda semata-mata.

15. Marilah kita menyahut seruan “Fastabiqul khairat” yang dianjurkan oleh al-Quran. Tuan Guru Dr. Haron Din juga  telah menggariskan beberapa hadis Rasulullah SAW berkenaan kebaikan dan fadhilat yang menanti insan-insan yang ikhlas bersedekah. Apatah lagi dengan sedekahnya itu, insya Allah, nyawa pesakit dapat diselamatkan. Sila klik di SINI untuk membaca mengenainya. Selaku seorang Muslim yang berkesedaran, seharusnya inilah yang menjadi pendorong bagi kita untuk menderma darah, dan bukan sekadar kerana mengharapkan kelebihan-kelebihan yang diberikan kepada penderma darah.

Untuk melihat Soalan Lazim atau Frequently Asked Questions (FAQs) mengenai pendermaan darah, sila klik di SINI bagi membacanya di laman rasmi Pusat Darah Negara (PDN).

9 Respons to "Mari Menderma Darah"

Para fuqaha silam sepakat tentang keharaman mengeluarkan darah dari tubuh disebabkan mudharat yang secara pasti dialami.

Dalam keadaan hari ini, menderma darah bukanlah sesuatu yang membawa kemudharatan, malah baik untuk kesihatan. Hukumnya adalah harus.

Oleh itu, sesetengah golongan menyatakan ‘bahawa hukum Islam berubah dengan masa dan tempat’. Jelas mereka beristidlal dengan cara yang bathil.Tetapi seperti mana kata Imam Ghzalie, apabila orang alim dan abid yang mengeluarkan hukum, walaupun bathil maka tetap ramai yang akan mengikutnya.

Salam, terima kasih akhi atas makluman. Pertama kali saya mendapat tahu tentang pendapat fuqaha silam yang mengharamkannya. Ilmu baru bagi saya… Tetapi seperti yang akhi wuzara nyatakan, sememangnya hukum menderma darah ini adalah mubah. Maaf kerana saya pula menyamakan perbuatan menderma darah dengan amal bersedeqah. Sekiranya tidak tepat, maka harap diperbetul. Sekiranya tidak salah, harap dapat maklumkannya juga insya Allah. Segala maklumbalas teramatlah dihargai… =)

Pengajian Kitab bersama Sheikh Muhamad Fuad Kamaluddin
Pengajian Kitab bersama Sheikh Muhamad Fuad Kamaluddin
Hari ini di Surau Kemensah Heights
Muslimin & Muslimat semua dijemput hadir,
Tarikh : 11 Ogos 2009 (SELASA – MALAM INI)
Masa : Lepas Solat Maghrib & Bacaan Ratib Al-Haddad
Tempat : Surau Kemensah Height, belakang Zoo Negara.

http://pondokhabib.wordpress. com

Salam, terima kasih shafifah atas makluman yang diberikan. Cumanya besar harapan saya agar komen yang tak berkaitan dengan post dihantar ke ruangan Buku Tamu. Rasanya dah pernah berlaku sebelum ini. Maafkan saya sekiranya saya tidak meluluskan komen pada masa akan datang sekiranya perkara yang sama masih berlaku… – ghazi

Salam

“seorang makcik pernah meluahkan rasa kecewanya melihat betapa sedikitnya umat Islam yang menderma darah (pada pemerhatian makcik tersebut). Katanya lagi, sepanjang dia menderma darah, kebanyakan penderma yang beliau lihat merupakan bangsa Cina dan India.”

Saya tertanya2, `lihat’ rekod @ suasana menderma darah di PDN (@mana2 lah) sahaja? yang terlihat itu tak smestinya benar…

Sy pun nak jemput sesiapa yg empunya darah `O’ utk trn padang. Jom! Jom! Jom!

Terima kasih amir atas maklumbalas. Itulah, seperti yang telah saya nyatakan dalam post saya tersebut, saya pun tak pasti sejauhmana kebenarannya pernyataan makcik tersebut. Saya hanya menukilkan apa yang dinyatakan olehnya sahaja. Untuk kepastian, bolehlah rujuk kepada database di PDN. Jika benarlah sedemikian, maka mengapa ada seorang jururawat yang bertugas di sana mengatakan bahawa bekalan darah di bank darah berkurangan sewaktu bulan Ramadhan? Sudah tentu peratusan penderma darah dalam kalangan umat Islam juga agak besar sehinggakan boleh menyebabkan perkara sedemikian terjadi.

Namun apa yang penting, sewajarnya lebih ramai lagi pihak tampil untuk menderma darah tanpa mengira latarbelakang bangsa mahupun agama. – ghazi

Ana rasa memang demikian pendapat fuqaha silam tu. sebab, darah yang sengaja dikeluarkan dari tubuh tu nak di salirkan ke mana. sudahnya, kelar tubuh sendiri…hehe. entahlah.

Tapi ana rasa tu dua keadaan yang berbeza. realiti yang berlainan kan memerlukan istinbat yang berlainan.maksudnya, memang realiti kena ikut hukumnya yang tersendiri.hukum tak berubah, fakta yang boleh berubah. wudhu= sunat. wudhu untuk solat= wajib…fakta yang berbeza…betulkan kalau silap…tahkik al-manath tu penting untuk ijtihad…tak gitu

Terima kasih tufail. Benar, tahkik al-manath memang merupakan salah satu elemen yang terpenting dalam proses ijtihad. Pada zaman sekarang, proses pendermaan darah merupakan suatu yang selamat dan insya Allah boleh menyelamatkan nyawa. Cumanya ana agak terburu-buru dalam menyamakan amalan menderma darah dengan perbuatan sedeqah jariah. Sekiranya tidak tepat, maka harap dapat diperbetul. – ghazi

ana darah ‘ O’ positif..
esok nak pergi derma darah..untuk kali yang kedua.
nak derma duit.. duit tak banyak mana..

jadi ikutlah kemampuan masing2.

proses ambil darah sgttt2 menyakitkan kan tuan doctor?
tak blh imagine derma darah macam mana (nak pun, tak cukup syarat), sdgkan bila masuk wad yg ambil darah setiap 2 jam tu pun dah nak pengsan rasanya…ni kan pula bg darah `sukarelawan’….tmbah pulak kalau kena cucuk banyak kali tapi darah tak keluar atau keluar tp sikit.

bg yg tekanan darah rendah mcm mana pula?

and, tp bukan semua kes platlet darh rendah kena didermakan darahkan? mcm denggi….asyik2 kena suruh minum 100plus. hehe

Assalamualaikum, maaf kerana lambat memberikan respon…

Habib, silakan… Insya Allah mudah-mudahan sumbangan kita yang tak seberapa ini dinilai di sisi Allah SWT… =)

Adik, em saya tak boleh kata tak sakit langsung… Tapi sakit tu hanya apabila pegawai sains tu mencucuk hujung jari kita untuk periksa jenis darah… Sakit sedikit sahaja. Kemudian bila nak cucuk jarum “penyedut” darah tu, dia akan inject bius (local anaesthetic) pada kawasan berhampiran terlebih dahulu supaya tidak rasa sakit. Jarum tu besar, kalau tak bius dulu mahu meraung saya dibuatnya… hehe.

Yang tekanan darah rendah tak boleh derma, sebab tak lepas pemeriksaan kesihatan. Yang kurang darah, ataupun yang terlalu ringan pun tak dapat. Dikhuatiri nanti elok-elok niat nak menderma, alih-alih kita pula yang pengsan dan perlu dirawat. “^_^

Yup, bagi kes demam denggi yang lebih penting adalah kandungan air dalam badan. Sebab tu bila masuk wad disebabkan denggi, mesti akan masuk air (IV Drip) berbotol-botol punya…

Wallahua’lam… =)

“Jarum tu besar, kalau tak bius dulu mahu meraung saya dibuatnya… hehe.”

0_o Huh… jarum kecik pon nak meraung dah. ini kan pulak jarum besor! (??!!)

Syabas la habib brani, cukup syarat dan berani…huhu

tapi ubat bius pun tak bleh caya la doc =< Doc pun tak brape buleh caye. ade ke patot tesalah cucuk sampai koyak urat. belum lagi yg terlupa sapu bius. atau sapu siiikiiitttt. heran2. kredibiliti doc semakin mengkonfiuskan. baru doc. blum lagi nurse nya.. oh tidak…..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Calendar

Ogos 2009
F S S M T W T
« Jul   Sep »
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  

Archive

Sudahkah anda membaca al-Quran pada hari ini?

Bilakah kali terakhir kita membaca al-Quran?

Truth About Democracy – Click to Read the Article

Democracy is not compatible with Islam

Truth About Democracy

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 12 other followers

Sikap Kita Terhadap Sesama Daie

Sikap Hizbut Tahrir sendiri terhadap gerakan-gerakan Islam lainnya setidaknya tercermin dari pernyataan Amin Nayaf , salah seorang tokoh Hizbut Tahrir –ketika beliau memberikan jawaban atas tuduhan terhadap beliau yang telah menyebarkan pemikiran Mu’tazilah: “Janganlah kalian mencoba untuk mencari permusuhan atau mengarah pada permusuhan terhadap gerakan-gerakan Islam lainnya. Kita harus waspada terhadap pihak-pihak yang mencoba untuk memecah-belah gerakan-gerakan Islam. Kepada merekalah seharusnya serangan itu dilancarkan.

Persoalan tentang Baiah al-Inah

Blog Stats

  • 107,689 visits

Top Rated

Reminder to All Muslims around the World

“Say: If it be that your fathers, your sons, your brothers, your mates, or your kindred; the wealth that ye have gained; the commerce in which ye fear a decline: or the dwellings in which ye delight – are dearer to you than Allah, or His Messenger, or the striving in His cause;- then wait until Allah brings about His decision (ie. Torment): and Allah guides not the rebellious.” [TMQ Surah At-Tawbah: 24]
%d bloggers like this: