apo nak dikato

Islam takkan tertegak dengan meruntuhkan usaha orang lain…

Posted on: April 12, 2009

Assalamualaikum, pertamanya ingin saya tegaskan bahawa post ini merupakan pandangan peribadi saya, dan bukanlah kenyataan rasmi mana-mana gerakan Islam. Saya tergerak untuk memberikan respon setelah terbaca sebuah artikel dalam sebuah blog berkenaan Hizbut Tahrir, sebuah gerakan yang didakwa sebagai “ajaran bertopengkan khilafah Islamiyah” yang “menipu anda dengan nama slogan Khilafah ‘ala Manhaj Nubuwwah”, serta “bertopengkan politik demi merealisasikan fahaman songsang mereka”. Lebih menyedihkan, pihak tersebut tergamak mengheret Jabatan Agama Islam Selangor dalam hal ini sedangkan dakwaan yang dibawa itu bukanlah dakwaan yang berasas. Bahkan tiada bukti yang kukuh ditampilkan bersama dakwaan-dakwaan kosong tersebut.

Untuk membaca artikel asal, sila klik di SINI. Alhamdulillah, saya telah menghantar komen kepada artikel tersebut, dan setakat penulisan post ini, komen saya masih lagi menunggu pengesahan daripada pemilik blog tersebut.

Di samping dakwaan dalam artikel tersebut, turut dipaparkan sama gambar yang menampilkan artikel-artikel dalam Majalah Al-Kulliyyah yang diterbitkan oleh Badan Dakwah JAIS. Saya tidak pasti siapakah insan yang terbabit dalam penulisan majalah tersebut, namun artikel yang terdapat dalam blog itu dipetik daripada sumber abusyafiq.blogspot. Mungkin ramai yang sudah sedia maklum mengenai si fulan yang dirujuk itu, tetapi mungkin masih ramai lagi yang tidak mengenali sosok tersebut. Bukanlah niat saya untuk menghukum di sini, jadi saya biarkan pembaca sendiri membuat penilaian terhadapnya. Selebihnya saya serahkan kepada Allah swt Rabbul Jalil. Semoga Allah mengampunkan kita semua serta memimpin kita ke jalan kebenaran. Amin…

Kepada pemilik blog tersebut, saya memohon jasa baik anda supaya lebih amanah dalam memetik mana-mana artikel. Jangan sampai kita menjadi medium kepada penyebaran dakyah palsu sehingga menimbulkan keraguan yang tak berasas di kalangan masyarakat terhadap gerakan Islam yang memperjuangkan Islam. Jika benarlah dakwaan-dakwaan tersebut, maka hadirkanlah sama bukti daripada sumber primer tanpa sebarang pengolahan mahupun tafsiran. Juga diharapkan agar tidak dicampurkan dengan konotasi negatif yang membuatkan kenyataan tersebut kelihatan buruk serta berniat jahat.

Dakwaan-dakwaan yang terdapat dalam artikel di blog tersebut

Pertama: Ketahuilah bahawa ajaran Hizbut Tahrir lebih radikal dari selainnya. Mereka sanggup membuat kacau di majlis-majlis ilmu agama tanpa adab dan akhlak.

Persoalannya, adakah majlis tersebut benar-benar ilmiah? Ataupun tidak lebih daripada sekadar sesi melempar tuduhan tanpa didokong oleh hujah yang kukuh? Yang mana sesudahnya tidak dibuka sesi soal-jawab, bahkan hadirin tidak diberi kesempatan untuk memberi pandangan mahupun menjawab dakwaan yang dilemparkan? Jika demikianlah kisahnya, maka sesungguhnya majlis tersebut tidak lebih daripada sekadar provokasi dan perangkap. Sekiranya tindakbalas diberikan agak agresif, maka mulalah diwar-warkan seolah-olah mereka tidak menjaga adab dan akhlak.

Kedua: Hizbut Tahrir cepat memfitnah umat Islam dengan pelbagai gelaran seperti Jabariyyah, Ahlisunah Wal Jamaah adalah kumpulan terhina dan lain-lain.

Gelaran Jabariyyah, Ahli Sunnah wal Jamaah dsb itu sudah lama dibahaskan, bahkan sebelum HT ditubuhkan lagi. Yang dibincangkan ialah pendapat yang dibawa, bukannya memfitnah mana-mana pihak sebagai Jabariyyah, Muktazilah dsb. Bahkan hal sebaliknya yang terjadi.  HT yang dituduh sebagai mu’tazilah, khawarij, gerakan a la Freemason dsb oleh pihak lain. 

‘Ahlisunnah wal Jamaah adalah kumpulan terhina’ ? Wallahi, tidak pernah saya membaca dalam mana-mana penulisan HT mahupun mendengar dari mulut para syabab kenyataan tersebut. Mungkin orang yang menuduh boleh hadirkan buktinya..? Manalah tahu, saya terlepas pandang selama ini…

Ketiga: Hizbut Tahrir menghukum negara Malaysia dan Indonesia sebagai Negara Kafir bak halal untuk membuat apa sahaja ke atasnya.

Kenyataan ini sengaja disusun dengan konotasi negatif, kemudian ditambah rencahnya supaya kelihatan buruk dan berniat jahat. Sedangkan perbincangan asalnya hanya menyentuh mengenai pembahasan Darul Islam – Darul Kufur. Pembahasan ini sudah sekian lama berlangsung, bahkan termaktub dalam hadis Rasulullah saw. Sila rujuk Sahih Muslim no. 4294. 

Dalam kita membincangkan sesuatu konsep dalam Islam, maka semestinya kita akan kembali merujuk kepada definisi syarak. Definisi syarak mengenai darul Islam ialah kawasan yang memenuhi ciri-ciri berikut; 1) ditadbir dengan hukum-hakam Islam 2) keamanannya terletak di tangan Islam – tanpa mengira sama ada penduduknya itu majoriti Muslim ataupun tidak. [Dar al-Islam is defined as the land which is governed by the laws of Islam and whose security (Aman) is maintained by the security of Islam, i.e. by the authority and protection of Muslims inside and outside the land, even if the majority of its inhabitants are non-Muslims].

Dengan merujuk kepada definisi ini, adakah Malaysia dan Indonesia memenuhi kedua-dua ciri-ciri tersebut? Seorang Muslim yang ikhlas dan amanah terhadap ilmunya tentu akan mengatakan tidak.

Nanti dikatakan timbul isu mengkafirkan orang pula. Benarkah begitu? Tidak. Apabila kita menyatakan bahawa sesebuah kawasan atau negara itu Darul Kufur, tidak bermakna warganegaranya turut jatuh kafir. Menyatakan sesebuah sistem itu sebagai kufur berbeza dengan mengkafirkan orang lain. Sebagai analogi, apabila seorang itu menyatakan bahawa BBA itu tidak Islami, adakah pengamal BBA jatuh kafir? Demikian juga apabila sebuah sistem kenegaraan yang diamalkan itu merupakan sistem kufur, adakah umat Islam yang menghuni negara tersebut kesemuanya jatuh kafir? Tidak, tidak, tidak…

Kalaupun isu tersebut sudah selesai, timbul pula respon, “Kalau macam tu, hangpa sama je lah macam DAP. DAP suka bila hangpa kata Malaysia ni negara kufur. Ada orang yang sama pendapat dengan depa”. Benarkah begitu? Tidak juga. Perbezaan yang paling ketara ialah; DAP menafikan Malaysia sebagai Negara Islam, dan mereka MENENTANG sebarang usaha menjadikan Malaysia sebagai Darul Islam. Sedangkan para pejuang Islam, tanpa mengira latar belakang gerakan masing-masing, BERJUANG untuk MENJADIKAN MALAYSIA dan negara-negara kaum Muslimin lain sebagai DARUL ISLAM.

Berkenaan dengan frasa “halal untuk berbuat apa sahaja ke atasnya” pula sengaja diletakkan bagi memberikan persepsi bahawa HT bersifat militan dan ekstrimis yang berpegang kepada prinsip ‘matlamat menghalalkan cara’. Benarkah? Tidak. Sepanjang saya belajar dengan HT, mereka telah menjelaskan bahawa dasar perjuangan mereka adalah berteraskan tariqah dakwah Rasulullah saw dan juga para sahabat radhiallahu ‘anhum. Sebelum tertegaknya daulah Islam di Madinah, Rasulullah saw menegah sebarang tindakan ketenteraan ataupun militan, sebaliknya mengehadkan kepada aktiviti yang bersifat intelektual, menyampaikan risalah secara sembunyi kemudian secara terbuka setelah turun perintah dari Allah untuk berbuat demikian.

Telah banyak pihak yang cuba mengaitkan HT dengan tindakan keganasan, namun ternyata mereka langsung tidak mempunyai sebarang bukti. Kesemuanya hanyalah dakwaan kosong yang cuba menyekat perkembangan dakwah Islam yang diusahakan oleh HT. Dakwaan yang paling kuat pun hanyalah dengan menuduh HT sebagai ‘conveyor belt’ to terrorism. Itupun tidak mempunyai asas yang kukuh.

Keempat: Hizbut Tahrir juga menghukum seluruh umat Islam tanpa terkecuali semenjak ratusan tahun yang lalu sebagai mati dalam dosa besar bak kekufuran orang jahiliyyah kononnya atas dasar tidak mendirikan khilafah mengikut cara Hizbut Tahrir.

Ratusan tahun? Khilafah runtuh tak sampaipun seratus tahun yang lalu, syeikh. Ternyata dakwaan ini dibuat dalam keadaan tergesa-gesa dan tidak ilmiah. Kemudian sengaja diolah supaya kelihatan jahat, sedangkan hakikatnya “mati jahiliyyah” itu merujuk kepada sebuah hadis.

Abdullah bin Umar meriwayatkan, “Aku mendengar Rasulullah mengatakan, ‘Barangsiapa melepaskan tangannya dari ketaatan kepada Allah, niscaya dia akan menemui Allah di Hari Kiamat dengan tanpa hujah. Dan barangsiapa mati sedangkan di lehernya tiada baiah (kepada khalifah) maka dia mati dalam keadaan mati jahiliyah.” [HR Muslim].

Ini merupakan hadis, bukannya rekaan HT. Hadis ini disertakan celaan daripada Rasulullah saw terhadap mereka yang mati tanpa baiah. Bermakna hukum membaiah seorang khalifah itu merupakan suatu kewajipan. Dan kewajipan ini tidak akan dapat dilaksanakan sekiranya sistem khilafah itu sendiri tidak wujud. Oleh yang demikian, berdasarkan kaedah usul, “sesuatu kewajipan yang tidak sempurna kecuali dengan suatu perbuatan, maka perbuatan itu adalah wajib”, maka semestinya kita wajib berusaha bagi menegakkan semula khilafah yang telah diruntuhkan oleh Kemal Atarturk La’natullah ‘alaih. Itulah hujahnya yang sebenar. Masalahnya, isu “mati jahiliyyah” ini diputar-belit untuk mengelirukan umat Islam. Sepatutnya apabila ita menyedari hakikat ini, kita akan lebih terdorong untuk turut serta berusaha menegakkan semula khilafah dan bukan sebaliknya. Bagi ibu bapa atau nenek moyang kita yang telah meninggal dunia itu, kita perbanyakkanlah doa supaya Allah mengampunkan dosa mereka. Tidak timbul soal sama ada masuk syurga ataupun neraka, kerana itu merupakan hak mutlak Allah dalam menentukannya.

Kelima: Hizbut Tahrir menghina aqidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah dan mencela ASWJ. Hizbut Tahrir mengkafirkan ulama Islam Al-Asy’irah dengan gelaran Al-Jabariyyah yang kafir.

Kedua-dua dakwaan ini diletakkan tanpa sebarang footnote ataupun rujukan. Dari mana kenyataan-kenyataan tersebut diambil? Ataupun sekadar bermain di kepala orang yang mendakwa semata-mata..?

Benarkah HT ataupun mana-mana kelompok begitu mudah mengkafirkan pihak lain? Bukankah Rasulullah saw sudah menegah kita daripada mengkafirkan saudara seIslam kita? Sekiranya tuduhan tersebut tidak benar, maka tuduhan tersebut akan kembali kepada pihak yang menuduh semula.

Penulis artikel tersebut sengaja membuat gambaran seolah-olah HT begitu asyik mengkafirkan orang lain, kerana isu kafir-mengkafir ini memang mudah dimanipulasikan. Masyarakat kita kebanyakannya memang sensitif terhadap isu ini. Jadi apabila ada pihak yang dituduh membuat amalan sedemikian, maka isu ini mudah mendapat perhatian dalam masyarakat. Lihat sahaja bagaimana Amanat Haji Hadi dimanipulasikan sehingga kelihatan seolah-olah beliau mengkafirkan ahli UMNO. Ramai yang termakan dengan fitnah tersebut. Sedangkan hakikatnya tidak benar sama sekali. Ternyata penulis artikel tersebut juga cuba bermain dengan isu ini bagi menarik perhatian masyarakat. Semoga Allah mengampunkan kita semua… Amin.

Keenam: mengakui Khilafah Uthmaniyyah rebah dan jatuh dek perbuatan golongan yang dinamakan sebagai Salafiyyah Wahhabiyyah”.

Benar, ia merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada kelemahan Khilafah Uthmaniyyah di samping faktor-faktor lain.  Ingin saya bangkitkan persoalan, apakah sebenarnya niat penulis artikel tersebut mengeluarkan kenyataan tersebut? Adakah kerana hendak melaga-lagakan antara HT dan pendokong salafi? Jika itulah niatnya, semoga Allah mengampunkannya. Seperkara lagi, para pendokong salafi, terutamanya di Nusantara ini tak mempunyai sebarang sebab untuk melenting kerana bukan mereka yang bangkit menentang Uthmaniyyah. Saya percaya, kita semua belumpun dilahirkan sewaktu peristiwa tersebut terjadi. Peristiwa ini langsung tiada sangkut paut dengan kita. Kita langsung tak terlibat dalam plot menentang Khilafah Uthmaniyyah. Mengapa mereka yang tidak memakan cili pula yang merasa pedasnya?

Ada yang cuba membela dengan mengatakan bahawa wilayah Najd tidak termasuk dalam wilayah kekuasaan Uthmaniyyah. Saya tak berhasrat untuk membincangkannya secara panjang lebar di sini, tetapi ada dua persoalan yang ingin saya bangkitkan. Insya Allah pembahasan lanjut akan dibincangkan sekiranya perlu

1. Kewajipan bagi umat Islam untuk berada di bawah satu pemerintahan. Bukankah ini merupakan suatu kewajipan? Ada yang berhujah bahawa disebabkan oleh teknologi komunikasi dan pengangkutan yang terhad, maka dibenarkan pelantikan amir yang mempunyai kuasa autonomi di kawasan yang berjauhan. Persoalannya, bukankah sudah ada wali di Makkah yang mewakili pemerintahan Uthmaniyah? Seperkara lagi, ibnu Saud bukan sekadar menjalankan pemerintahan autonomi, bahkan beliau mengangkat senjata menentang Uthmaniyyah. Beliau juga tidak mengiktiraf kekuasaan Uthmaniyyah yang memayungi umat Islam, apatah lagi hendak membaiah Khalifah yang memerintah dari Istanbul. Justeru, hal ini bukanlah disebabkan oleh faktor komunikasi dan pengangkutan.

2. Jika mereka berhujah bahawa Najd tidak termasuk dalam wilayah kekuasaan Uthmaniyyah, dan sebab itu Ibn Saud tidak dikira sebagai bughah terhadap Khalifah, maka apakah pula penjelasan yang ingin diberikan apabila mereka menyerang kota Makkah pada tahun 1803M/1208H ? Cuba lihat peta Uthmaniyyah berikut:

ottoman

Ternyata, Makkah dan Madinah terletak di dalam wilayah kekuasaan Khilafah Uthmaniyyah. Mungkin ada yang meragui kesahihan fakta sejarah ini, saya syorkan supaya kalian rujuk sendiri buku-buku sejarah. Cukuplah jika saya nyatakan bahawa peristiwa penyerangan Makkah ini diakui sendiri oleh sumber Saudi. Sila klik di SINI. Ada juga yang cuba menjustifikasikan tindakan tersebut dengan alasan bahawa khilafah Uthmaniyyah sudah tidak menerapkan Islam secara benar, dan banyak anasir luar telah menyerap masuk ke Istanbul. Namun hakikatnya alasan itu tidak boleh diterima bagi mewajarkan tindakan tersebut. Sepatutnya kalau berlaku salahguna atau penyelewengan, maka kita wajib memuhasabah, bukannya bangkit menentang i.e. bughah.

Demikianlah serba-sedikit reaksi saya terhadap dakwaan-dakwaan yang terdapat dalam artikel di blog tersebut. Insya Allah, sekiranya tiada aral, saya akan meneliti dakwaan dalam majalah Kulliyyah pula. Maaf kerana saya tidak dapat memberikan respon terhadapnya sekarang disebabkan sambungan internet yang perlahan (tidak dapat muat turun gambar yang menunjukkan majalah tersebut buat masa ini).

Sememangnya pihak HT terbuka untuk melakukan muzakarah dengan sesiapa juga yang benar-benar ikhlas dalam menyebarkan risalah Islam. Namun, syaratnya: adab dalam bermuzakarah hendaklah dijaga, dan pihak yang terbabit dalam muzakarah tersebut hendaklah amanah dengan ilmunya, membawa bukti dalam setiap dakwaan, serta tidak memutar-belit kenyataan lalu memberikannya konotasi negatif.

Saya menulis ini bukanlah atas kapasiti mewakili HT, sebaliknya sekadar pandangan peribadi berdasarkan pengalaman dan ilmu yang saya peroleh sepanjang bersama mereka. Oleh yang demikian, setiap kenyataan yang dikeluarkan adalah di bawah pertanggungjawaban saya sendiri melainkan jika dinyatakan sebaliknya (unless stated otherwise).

Bagi mereka yang masih kabur mengenai HT, maka saya syorkan supaya kalian merujuk sendiri kepada sumber primer. Rujuklah laman rasmi HT, hadirkan diri ke program-program anjuran mereka, ataupun pergi bertemu sendiri dengan syabab (aktivis) HT sendiri.  Kepada mereka yang begitu asyik berusaha menyebarkan dakyah terhadap gerakan-gerakan Islam selain daripada jamaahnya, ketahuilah bahawa Islam takkan tertegak dengan meruntuhkan usaha orang lain… Jangan pula nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran pula…

Wallahu’alam…

8 Respons to "Islam takkan tertegak dengan meruntuhkan usaha orang lain…"

Salam muhammadghazi..

Benar kata anta..mereka iaitu kelompok ahbash benar-benar gigh dan bekerja keras berkempen menyerang HT..

Mudah-mudahan mereka akan sedar, apakah standard hukum yang mereka gunakan sewaktu berkempen..hee

Nice entry..=)

Salam, terima kasih WM kerana sudi membaca entri saya. Sekiranya ada yang tak kena, mohon ditegur & diperbetul. Saya dahulukan dengan sekalung penghargaan… Saya telah ulang beberapa kali bahawa entri ini merupakan pandangan peribadi saya, sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan daripada post saya ini dimanipulasi oleh pihak yang tak bertanggungjawab, lalu disabitkan dengan HT pula.

Semenjak kebelakangan ni mereka memang giat melakukan kempen menyerang HT. Jika dahulu hanya “wahhabi” yang menjadi sasaran, kini mereka melebarkan sayap dan menebar fitnah terhadap HT pula. Andainya blog ana mempunyai shoutbox juga, tak mustahil iklan tersebut akan turut ‘hinggap’ di sini… hehe

Wallahu’alam…

asssalam’alaikum.
bro.. afwan isu seperti ini disumatra mah udh lama hilang karena seruan penegakan syariah lebih massif dr penghalangnya alhamdulillah. smoga persoalanya cept clear. oya ada masukan dr ‘apakah mati jahiliyah bagi yg tidak ada baiah’? selain jwbn diatas dan juga bagi orng yg telah wafat tidak dihukumi karena ketidaktahuannya..
itu ja.. afwn jika salah

Assalamualaikum, 3rd silver. Terima kasih atas komentar yang diberikan dan terima kasih juga atas input mengenai isu “mati jahiliyyah” tersebut. Ya, memang benar sekali kenyataan anda itu.

Alhamdulillah… Moga-moga segala usaha dan sumbangan kita semua diberkati Allah serta dikurniakan kejayaan. Amin…

salam ya akhi entri abu syafiq yang lepas jelas2 memfitnah HT.inilah bahaya anarkisme dalam berdakwah

Mula-mula saya dengar ttg mrk dulu saya agak konpius nak sebut nama gerakan tu. Apakah ia adalah al-habsyi, ahbasyi, bahasyi atau pun balaci…saya cenderung melihat perbuatan sifulan bin sifulan tersebut sbg perbuatan atau sikap seorang balaci yang tak efektif lansung bagi pihak berkuasa dan pihak-pihak tertentu yang tidak punyai hujah yang cukup untuk menentang hujah Hizib.
Pada hemat saya, selain dari perbuatan mereka ini dianggap/dipandang orang sebagai perbuatan terancang oleh pihak yang lebih berotoritas. Mungkin mereka agaknya memang berniat untuk mempopularkan dakwah Hizib dikalangan masyarakat di sini kot…hhehehehe.

Memang difahami ada usaha tertentu oleh pihak berwajib (ahli politik di balik tabir) yang sedang berusaha untuk mengekang idea Daulah khilafah dan penyatuan ummah ini dari benar-benar tersebar di kalangan masyarakat. Ini kerana akibat dari kemodenan masyarakat dan keterbukaan mereka kepada ilmu, idea ini mudah diterima kerana kebenaran dan mustanirnya penyelesaian yang diberikan walaupun agak slow perkembangan penerimaannya di peringkat awal. Namun, dalam sejarah HT di arena dakwah sebelum ini, seringkali kita temui kesan terbalik dari apa yang musuh-musuh Islam ini usahakan terhadap pendokong-pendokong gerakan ini. Makin dikekang makin bercambah, makin difitnah makin kuat, makin dikejar makin ramai pendokongnya. Senario spt ini jesteru sering menjadi pelajaran kepada pihak-pihak berkenaan supaya menjadi lebih barhati-hati dalam menangani soal HT ini di mata publik.
Bagi pendokong gerakan ini pula, hendaklah kita menjadikan Islam dan dakwah sebagai satu-satunya qiyadah fikiriyah dan titik central kehidupan ini. Biarlah apa pun yang kita tempuhi, berputus asa dan dan mengalah jangan sekali. Ingat janji Rasulullah kepada kita pejuang Islam akhir zaman, janji itu adalah benar… bermujahadahlah…

Salam, samurouh dan abu_M. Terima kasih atas input yang diberikan. Tidak dinafikan memang ada pihak yang kepanasan apabila dakwah yang dibawa HT berkembang dalam masyarakat. Orang-orang sebeginilah yang menyalahgunakan amanah yang diberikan terhadap mereka (i.e. jawatan dalam Jabatan Agama) untuk menyebarkan dakyah terhadap gerakan-gerakan Islam yang ikhlas berjuang di jalan Allah. Mereka sanggup memperkudakan institusi keagamaan untuk kepentingan peribadi. Tidak kurang juga yang gemar menyesatkan orang yang tidak sealiran dengannya. Menurut cikgu saya, lafaz mengkafirkan orang lebih banyak keluar daripada mulut mereka berbanding mengucapkan salam kepada saudara seakidah mereka.

Mengenai ahbasy ini pula, memang secara umumnya mereka tidak diterima di kebanyakan tempat dalam dunia Islam. Antara puncanya ialah kerana sikap mereka yang cenderung menyesatkan dan mengkafirkan umat Islam yang lain walaupun selalunya tidak didokong oleh sebarang hujah yang sahih. Diharapkan agar kita semua tidak terperangkap dengan polemik dan provokasi yang cuba mereka cetuskan. Cukuplah sekadar menjawab secara ilmiah. Jika kita ‘melenting’, maka percayalah, mereka pasti akan menggunakan reaksi tersebut sebagai hujah untuk memburuk-burukkan lagi kita semua.

Wallahu’alam…

Assalammualaikum… Terima kasih kerna majlis ilmiah yg sgt berguna ini. Sy yg melayar dlm intenet mulanya mmbaca isu HT sesat.. memg sy x pernah dgr,x tahu dan ingin ambil tahu coz isu akidah segerombolan(bnyak tu..) Alhamdulillah ruangan komentar ilmiahnya lebih memahami.. Terima kasih atas ilmiah ini.

1malaysia= aku tafsir ISLAM 4 ALL.. dimana2 aku boleh jumpa slogan ni.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Calendar

April 2009
F S S M T W T
« Mar   May »
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930

Archive

Sudahkah anda membaca al-Quran pada hari ini?

Bilakah kali terakhir kita membaca al-Quran?

Truth About Democracy – Click to Read the Article

Democracy is not compatible with Islam

Truth About Democracy

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 12 other followers

Sikap Kita Terhadap Sesama Daie

Sikap Hizbut Tahrir sendiri terhadap gerakan-gerakan Islam lainnya setidaknya tercermin dari pernyataan Amin Nayaf , salah seorang tokoh Hizbut Tahrir –ketika beliau memberikan jawaban atas tuduhan terhadap beliau yang telah menyebarkan pemikiran Mu’tazilah: “Janganlah kalian mencoba untuk mencari permusuhan atau mengarah pada permusuhan terhadap gerakan-gerakan Islam lainnya. Kita harus waspada terhadap pihak-pihak yang mencoba untuk memecah-belah gerakan-gerakan Islam. Kepada merekalah seharusnya serangan itu dilancarkan.

Persoalan tentang Baiah al-Inah

Blog Stats

  • 107,623 visits

Top Rated

Reminder to All Muslims around the World

“Say: If it be that your fathers, your sons, your brothers, your mates, or your kindred; the wealth that ye have gained; the commerce in which ye fear a decline: or the dwellings in which ye delight – are dearer to you than Allah, or His Messenger, or the striving in His cause;- then wait until Allah brings about His decision (ie. Torment): and Allah guides not the rebellious.” [TMQ Surah At-Tawbah: 24]
%d bloggers like this: