apo nak dikato

4 Hari Tanpa Duit…

Posted on: Mac 15, 2009

Semenjak hari Khamis yang lalu, saya boleh dikatakan hidup tanpa wang kerana duit saya dicuri ketika mengikuti sebuah pembedahan di dewan bedah utama sebuah hospital. Habis kesemua wang yang terdapat dalam dompet saya dicuri. Tetapi memang salah saya juga kerana terlalu cuai sehingga terlupa untuk mengeluarkan dompet & membawanya bersama ke dalam dewan bedah. Ketika itu saya agak tergesa-gesa kerana pembedahan telahpun berjalan dan pesakit telahpun selesai dibius. Saya juga telah tertinggal telefon bimbit dan jam tangan di dalam poket seluar. Alhamdulillah kedua-duanya tidak diambil oleh pencuri tersebut. Barangkali dia tak sempat untuk berbuat demikian kerana khuatir perbuatan terkutuknya akan terbongkar.

Ketika dalam dewan bedah, hati saya rasa seperti ada yang tak kena. Bahkan telah terdetik dalam hati saya untuk pergi mengambilnya, tetapi saya tidak berbuat demikian kerana doktor telah meminta saya memasang CBD (continuous bladder drainage) atau dalam bahasa mudahnya beg kencing kepada pesakit. Tetapi saya menolaknya kerana khuatir pesakit akan terdedah kepada jangkitan kuman kerana saya tidak ‘scrub’ (niat di hati sekadar nak memerhatikan sahaja). Kalau nak scrub akan mengambil masa yang agak lama. Ditambah lagi dengan diri saya yang masih belum mahir memasang CBD. Seumur hidup saya, baru sekali dua sahaja saya memasang CBD. Itupun bukan di dalam dewan bedah. Namun selepas itu, saya terus terlupa untuk pergi mengambil dompet & barang-barang lain di dalam poket seluar saya di bilik persalinan.

Pembedahan tersebut berjalan selama lebih daripada 5 jam. Banyak juga yang dapat saya pelajari daripada sesi tersebut kerana pakar bedah tersebut seringkali memberikan tunjuk ajar apabila dirasakan perlu. Pembedahan tersebut dijalankan menggunakan CT-scan sebagai panduan. Saya kagum dengan kemahiran pakar-pakar bedah tersebut dalam memahami rajah yang terpapar pada skrin mesin tersebut. Masakan tidak, pengalaman mereka semestinya sudah banyak ditimba. Sekilas ikan di air, sudah dikenal mana jantan mana betina. Setelah tamat pembedahan, saya pun keluar untuk menyalin pakaian.

Akhirnya saya dapati bahawa kerisauan saya telahpun menjadi kenyataan. Pada mulanya saya tidak perasan, tetapi apabila saya mendapati pakaian saya tidak berada dalam kedudukan asal dan juga dompet yang berada dalam poket yang berlainan, maka saya cepat-cepat memeriksa dompet saya. Memang benar, habis lebih kurang RM90 yang terdapat dalam dompet saya dicuri!  Saya mengetahui jumlahnya kerana saya telah lama menyimpan untuk membeli sesuatu. Kalau diikutkan hati, rasanya dah berkoyan-koyan sumpah seranah meluncur laju dari mulut saya. Tetapi saya tahan kerana perkataan-perkataan tersebut tidak akan dapat mengembalikan semula duit saya. Terus saya istighfar bagi menenangkan diri. Kalau melihat muka saya ketika itu, pasti akan ada yang berandaian, “Dia ni muka macam nak makan orang je…”

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Hendak keluarkan duit dari bank, kad ATM pula rosak. Setibanya di bilik, terus saya selongkar almari bagi mencari duit di celah-celah laci dsb. Alhamdulillah, ada jugalah beberapa ringgit. Kali terakhir saya hidup langsung tak berduit ialah ketika di sekolah menengah kerana saya boros berbelanja pada bulan tersebut.

Biarpun hanya beberapa hari, namun pengalaman ini lebih berharga berbanding menonton rancangan Bersamamu. Kerana saya merasai sendiri keperitannya biarpun tidak seteruk yang dipertontonkan dalam rancangan tersebut.

Daripada pengalaman ini jugalah saya telah menyedari buat kesekian kalinya akan kebesaran Allah swt. Pengalaman ini mengajar bahawa duit bukanlah segala-galanya dan rezeki Allah tetap ada selagi Dia mengkehendakinya. Kita tak seharusnya berasa dunia ini sempit sekiranya tidak mempunyai duit. Sebaliknya kita sepatutnya berasa bahawa bersyukur kerana masih dikurniakan nikmat demi nikmat berbanding mereka yang kurang bernasib baik berbanding diri kita sendiri.

Tiba-tiba saya teringat kepada pesanan sahabat saya yang menyertai Jamaah Tabligh (i.e. karkun) mengenai rezeki dan duit. Katanya duit bukan segala-galanya, kalau Allah nak tarik nikmat-Nya orang kaya pun rasa tak bahagia. Bahkan lebih banyak risaunya kerana khuatir duitnya akan dirompak dsb. Ada orang yang rasa dunia ni sempit sangat kalau tiada duit, sedangkan bukan duit yang berikan rezeki kepada kita. Kebergantungan kepada makhluk masih menebal dalam diri. Lebih kurang begitulah. Insya Allah saya akan cuba kongsikan mengenai pemahaman terhadap konsep rezeki pada masa akan datang sekiranya tiada aral.

Pengajaran yang saya peroleh daripada tragedi ini:

1) Sekiranya rasa tak sedap hati, maka cepat-cepatlah bertindak kerana kebiasaannya perasaan tersebut benar. Ini benar-benar terjadi dalam kes saya ini. Bukanlah nak kata diri saya ni mempunyai ilmu kasyaf, tetapi sekadar mengingatkan diri. Tak mustahil Allah nak berikan petunjuk berdasarkan perasaan tersebut. Dalam bahasa Inggeris, perasaan tersebut dinamakan sebagai ‘hunch’. Namun jangan pula bertindak melulu mengikut rasa hati tanpa menimbang baik-buruknya. Paling penting, setiap perbuatan itu harus dipandu oleh wahyu (i.e. dengan merujuk hukum syarak).

2) Sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang ada. Manfaatkan kesemuanya di jalan yang Allah redhai. Kalau Allah nak tarik balik, sekelip mata yang kaya boleh jadi papa kedana. Kalau Allah nak berikan, sekelip mata yang miskin boleh jadi jutawan. Yang penting kita kenalah berusaha mencari rezeki secara halal, kerana ia merupakan perintah Allah. Rezeki itu ketentuan Allah, tetapi usaha ke arahnya tetap berjalan. Yang bulat takkan datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.

3) Masih ramai lagi penyangak dan pencuri yang mengambil harta orang lain tanpa hak. Dalam kes saya, saya tak boleh nak salahkan pencuri sepenuhnya kerana saya sendiri yang cuai. Tetapi tak bermakna kita boleh mengambil hak orang sekiranya ‘peluang terbuka’ sedemikian. Cumanya hukuman hudud tak boleh dilaksanakan ke atasnya kerana duit tersebut tidak tersimpan di tempat yang selamat, sebaliknya terbiar di dalam bilik persalinan. Namun, hukuman takzir wajar dijalankan sekiranya dia ditangkap.

4) Keadaan ekonomi yang meruncing juga menyebabkan manusia semakin hilang pertimbangan lalu tergamak melakukan perbuatan-perbuatan yang keji. Oleh yang demikian, sesuatu wajar dilakukan bagi menanganinya di peringkat dasar. Penyelesaian symptomatic semata-mata tidak akan dapat merungkai permasalahan ini. Hukuman semata-mata juga tidak akan dapat menyelesaikan masalah ini secara tuntas. Sebaliknya perlu disertakan dengan pendidikan sejak kecil lagi. Malangnya sistem hari ini gagal membentuk syakhsiyah Muslim yang benar dalam umat Islam. Sesuatu harus dilakukan bagi mengubahnya…

5) Dalam kita membenci perbuatan mencuri, jangan pula kita lupa pada jenayah kolar putih yang melibatkan pihak-pihak tertentu di peringkat atasan. Perbuatan sebegini sama sahaja keharamannya dan hina di sisi Allah swt. Rasuah, ketirisan, dan juga penyelewengan sewajarnya diperangi secara telus tanpa memilih bulu.

6) Hatta dalam dewan bedah sekalipun duit kita tidak selamat. Bukanlah saya nak menuduh mana-mana pihak, tetapi siapa lagi yang berkunjung ke bilik persalinan tersebut jika bukan para doktor, jururawat, dan staf sokongan? Saya percaya bukan doktor dan jururawat kerana mereka bukanlah orang-orang yang kesempitan wang sehingga tergamak mencuri. Bahkan saya percaya duit yang berada dalam dompet para doktor berkali-kali ganda lebih banyak berbanding duit saya. Staf sokongan, barangkali? Sudahlah, tiada gunanya jika saya membuat sebarang andaian. Kerana saya tak mempunyai sebarang bukti pun. Yang penting, selepas ini saya akan berusaha untuk tidak mengulangi kecuaian tersebut. Biarlah si pencuri menjawab sendiri di mahkamah Allah kelak.

Wallahu’alam… sekian dahulu perkongsian saya. Mudah-mudahan bermanfaat.

Label: , ,

17 Respons to "4 Hari Tanpa Duit…"

salam,

ciannya akhi oi…. awat x habaq. Ana kan adaa. So, blh lah pinjam dulu…lain kali, hati2 ek. Mg tabah… Duit bknlah segala2nya… ada hikmah lain yg sedang berbicara…

Wassalam…

salam, terima kasih akhi atas tawaran yang diberikan. Tak mengapa, kalau boleh ana nak cuba untuk berdikari. Lagipun, Alhamdulillah makanan pun ada disediakan di kolej. Cuma tak dapatlah nak beli barangan yang dah dirancang semenjak sekian lama… Mujurlah tak begitu penting dari segi keutamaannya.

Maaf sebab tak dapat reply mesej enta. Kredit pula kering pada saat-saat begini… T_T

hehe

small matter akhi. Smg istiqamah di dalam dakwah dan perjuangan islam…

Salam to akhi..

Pengajaran no 1 memang benar sbb ia juga berlaku pada saya..
Bila rasa tak sedap hati tu kuat, maka cepat-cepatlah bertindak..So, lepas ini kesilapan yang sama tak mungkin akan berulang..

Wallahua’lam

Akhi thinker, terima kasih~ Insya Allah, sama-samalah kita berusaha dan berdoa agar istiqamah di jalan yang benar…

Wanita Mustanir, ya begitulah… Insya Allah selepas ini saya tak boleh abaikan hunch yang muncul. Seorang Muslim tidak akan disengat pada tempat yang sama kali keduanya (mafhum hadis)…

=)

Assalamualaikumwbt, sabarlah, ingatlah, wang bulan segala-galanya…manusia boleh hidup berbulan-bulan lamanya, dengan meminum air sahaja….Allah SWT akan menguji manusia, jika dilihat pada kehidupan para wali ul Allah, seperti Sheikh Abdul Qadir Jailany rhm, beliau tidak mempunyai wang, namun diberi rezki oleh Allah SWT, ‘ singa Allah tidak bergantung dengan dunia, singa Allah bergantung semata-mata dengan Allah’………..

http://muhammadzakir.wordpress.com

Selamat datang adik!
Mari duduk di sisi
Kita teruskan diskusi
Bukan diskusi mengejar kerusi
Bukan juga diskusi mengayam mimpi
Tapi diskusi sira’ ul fikri!

Sengseng legan bajumu!
Mari gandeng dengan tanganku
Bukan untuk menghayun tinju
Bukan juga untuk memetik pemicu
Tapi untuk melakar sejarah
supaya umat tidak lagi parah
Melalui kifah di medan syiasah!

Maharani, 3 Mac 2009.

Betul ke puisi ni fikrul mustanir yg bt? Tp tgk gaya bahasa mmg keindonan. Ke Fikrul mustanir jumpa di blog2 syabab indonesia..

Wallahu’alam, ana pun tak pasti. Tapi FM yang post puisi tu dalam ruangan komen di bawah post Ego Seorang Ustaz. Mungkin FM boleh tolong clarify…

Salam,

Naper tak caya ke?

Mungkin terlalu tinggi nilai astetika dan sasteranya itu yang menyebabkan orang tak caya puisi itu idea ori ana…apa-apa pun tak apa la…badul kata…”Tak Ori Tapi OK!”…hehehe!

Tentang ada sikit-sikit kemiripan indonesia, sebab ana guna bahasa baku yang dipopularkan oleh DSAI dulu…Lagipun mungkin musyrif ana dulu asal Indonesia!

Wasalam.

Hehe, bukannya ana tak percaya… Tapi terpesona… :D

Ayat-ayatnya ringkas tanpa perkataan yang bombastik tetapi mesejnya tetap sampai kepada pembaca, insya Allah.

alahai…

kalu perlukan bantuan sila bagitau…

:D

tak pa, alhamdulillah masalah dah selesai… thanks..

Salam,

Ana tak kerap menulis puisi…cuma sekali-sekala bila ilham datang, ana tak akan melepaskan peluang untuk mencatitnya.

Ini satu lagi puisi yang pernah ana postkan di salah satu forum di alam siber 4 tahun yang lalu.

____________________________________________
Nanti : Di Suatu Hari Bersinar Mentari

I

Di sini,
Aku bersama sobat-sobat muda, berdahi dewasa
Dalam bulatan berbicara cinta
Memadu kasih pada si Dia
Menyelam lautan bergaramkan Cahaya
Sebagai penyuluh jalan ke Surga

Minda menghirup suri tauladan sang kekasih
Wajahnya dikilas mimpi
Tidak pernah aku temui dalam realiti
Menurut berita yang terpercaya
Dia dari negeri di tengah benua
Berpadang pasir, populasinya si pemakan kurma
Penternak unta

Di negeri gersang dia dibesarkan
Jiwanya bersih bukan kepalang
Wadah rahmat sekelian alam
Untuk dinikmati anak Adam

II

Di sana,
Aku bersama sobat-sobat muda, berdahi dewasa
Pergi ke tengah kota
Menabur idea

Semua tercengang!
Dalam rangkulan kesedaran
Bergemuruhlah suara pemikiran
Hingga ke seberang lautan
Fondasi gedung putih pun bergoncang
Menggangu istirehat pemuja Heraclius si syaitan
Berambut perang

III

Nanti,
Disuatu hari bersinar mentari

Di sana dan di sini,
Pasti! Bendera hitam, dengan kalimah putih melintang
Kata pembuka Gerbang Surga akan terjulang!
Pasti!

fikrul mustanir
Maharani
Muharam 1426H

Assalammualaikum,
Akak tumpang sedih atas ape yg terjd.
Kalo ikutkan bukan permintaan atau kehendak kita untuk semua tu terjadi. Tapi apekan daya ada hikmahnya. Ujian dan peringatan dari Allah atas kelekaan hambanya sendiri. Tima kasih atas pesanan, sama2 kita jadikan panduan dan pengajaran. Sentiasa ingat setiap yg terjadi ada hikmahnya walaupun perkara yg kita inginkn terjadi mahupun yang tidak kita ingini sama sekali. Jgn bersedih ya. Wang bukan segalanya. Bak kata org tua wang buknnya bleh dibawa mati.InsyaAllah ada rezeki yang menanti.
Salam.

To Fikrul Mustanir: Terima kasih akhi… minta izin untuk paparkan dalam bentuk entry di blog ana ye… Ana minat juga sikit-sikit pasal puisi ni, tapi apakan daya ana ni ‘otak sains’. Jadi bahagian sastera ni kurang sikit… Minat tu memang minat, tapi tak pandai nak berpuisi… hehe

To Aidazainon: Terima kasih kak atas nasihat. Benar, memang banyak pengajaran yang saya dapat daripada peristiwa ni. Alhamdulillah masalah ni dah selesai. Aktiviti di sana macam mana? Dr. Zul OK ke buat program di sana? Dari segi sambutan? Kalau perlu apa-apa, beritahu je lah ye.

Salam,

Untuk akhi Ghazi…kalau anta berminat (tak sangka pula ada yang beminat)untuk letakkan puisi tu pada entry blog anta, ana tiada apa2 masalah. Dapat juga ana menumpang pahala. :)

Ana bukan lah penulis yang produktif…ana hanya seorang amatur…apa2 pun…modifikasi dari kata2 AR Badul,…”Tak PRO, Tapi OK!” Hehehehe!

Wasalam.

Insya Allah, ana dah himpunkan puisi anta dalam satu entri. Kalau ada lagi puisi, sudi-sudilah post dalam entri tu ya…

Ana pun nak cuba juga lah, tapi kena tunggu ilham datang lah… :D

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Calendar

Mac 2009
F S S M T W T
« Feb   Apr »
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Archive

Sudahkah anda membaca al-Quran pada hari ini?

Bilakah kali terakhir kita membaca al-Quran?

Truth About Democracy – Click to Read the Article

Democracy is not compatible with Islam

Truth About Democracy

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 12 other followers

Sikap Kita Terhadap Sesama Daie

Sikap Hizbut Tahrir sendiri terhadap gerakan-gerakan Islam lainnya setidaknya tercermin dari pernyataan Amin Nayaf , salah seorang tokoh Hizbut Tahrir –ketika beliau memberikan jawaban atas tuduhan terhadap beliau yang telah menyebarkan pemikiran Mu’tazilah: “Janganlah kalian mencoba untuk mencari permusuhan atau mengarah pada permusuhan terhadap gerakan-gerakan Islam lainnya. Kita harus waspada terhadap pihak-pihak yang mencoba untuk memecah-belah gerakan-gerakan Islam. Kepada merekalah seharusnya serangan itu dilancarkan.

Persoalan tentang Baiah al-Inah

Blog Stats

  • 107,623 visits

Top Rated

Reminder to All Muslims around the World

“Say: If it be that your fathers, your sons, your brothers, your mates, or your kindred; the wealth that ye have gained; the commerce in which ye fear a decline: or the dwellings in which ye delight – are dearer to you than Allah, or His Messenger, or the striving in His cause;- then wait until Allah brings about His decision (ie. Torment): and Allah guides not the rebellious.” [TMQ Surah At-Tawbah: 24]
%d bloggers like this: