apo nak dikato

Adakah HT membenci PAS dan gerakan Islam lain?

Posted on: Oktober 16, 2008

Assalamualaikum, saya terpanggil untuk memberikan respon buat kesekian kalinya terhadap artikel yang dikeluarkan oleh pengarang blog Bendahara Tun Perak. Walaupun masih belum berkesempatan untuk berkenalan secara lebih dekat, namun ada beberapa andaian (assumptions) yang boleh saya buat mengenai peribadi beliau. Berkemungkinan namanya Kamarul , barangkali berusia 31 tahun, mempunyai latarbelakang pendidikan di sebuah universiti tempatan (barangkali USM), dan kini telah menceburi bidang perguruan (selaku seorang pendidik), serta berkemungkinan sedang menetap di Selangor. Sejauh mana kebenarannya, wallahu’alam… Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, ia hanyalah andaian semata-mata. Mungkin yang empunya diri boleh membuat pengesahan… Ohya, terlupa pula nak bercerita tentang aspek yang tidak kurang pentingnya. Beliau merupakan seorang yang aktif mengikuti perkembangan politik semasa, dan semestinya penyokong PAS yang setia.

Kali ini, beliau muncul lagi dengan sebuah artikel yang menyentuh tentang Hizbut Tahrir dan juga “perselisihan”nya dengan jamaah Islam yang bergerak di Malaysia (you-know-who). Sila rujuk link ini bagi membaca artikel penuhnya.

http://marul77.blogspot.com/2008/10/hizbut-tahrir-parasit-pengacau-kepada.html

[Perenggan yang di-‘quote’ merupakan perenggan yang diambil daripada artikel bendahara tun perak. Sila rujuk link yang telah diberikan untuk membaca artikel penuh].

HT, Khilafah, Politik, dan Demokrasi

Hizbul Tahrir (HT) berbangga kononnya merekalah pelopor kepada sistem khalifah sedangkan mereka ditubuhkan puluhan tahun selepas kejatuhan sistem khalifah lebih lewat berbanding gerakan Islam yang lain seperti Ikhwanul Muslimin dan PAS sendiri (Hizbul Muslimin sebelum ini). PAS ditubuh pada 1947 tetapi hanya didaftar secara rasmi pada 1956. Ihkwanul Muslimin ditubuh pada 1928.

Sepengetahuan saya, tiada seorang pun syabab (anggota HT) yang mengakui bahawa HT merupakan pelopor kepada sistem khilafah. Bahkan HT tidak pernah menafikan mana-mana gerakan Islam lain yang turut memperjuangkan aspirasi Khilafah. Yang menjadi persoalannya ialah, sistem khilafah yang bagaimana? Method-nya pula yang bagaimana?

Bahkan secara peribadi, saya benar-benar bersyukur kerana semakin ramai di kalangan umat Islam yang menyedari kepentingan khilafah dan juga kewajipan menegakkan daulah khilafah Islam. Sekiranya Ikhwanul Muslimun, ataupun PAS sendiri berjaya menegakkan khilafah, Alhamdulillah.Baguslah. Sistem khilafah bukanlah hak milik mana-mana gerakan Islam, sebaliknya ia merupakan hak milik dan kewajipan umat Islam keseluruhannya.

HT diasaskan oleh Syeikh Taqiyudin al-Nabhani dari Palestin pada tahun 1953 .Ia merupakan sebuah parti politik yang tidak terlibat dengan pilihanraya (pelik tapi benar). HT menganggap sesiapa yang terlibat dengan sistem demokrasi, mewujudkan pilihanraya maka mereka berdosa dan juga bersubahat dengan sistem kufur serta sesat.

Apa yang peliknya jika sebuah parti politik tidak terlibat dengan pilihanraya demokrasi? Janganlah menyempitkan skop politik kepada pilihanraya demokrasi semata-mata. Sewajarnya kita mendalami maksud sebenar “siyasah” itu menurut pandangan syarak. Perbincangannya agak panjang, namun buat masa ini cukuplah jika saya membawakan hadis berikut buat renungan bersama…

“Dahulu urusan politik (siasah) Bani Israel diurus oleh para nabi. Bila wafat seorang  nabi diganti dengan nabi yang lain, sesungguhnya tidak ada lagi nabi sesudahku, akan tetapi akan ada para Khalifah dan jumlahnya banyak.” Para sahabat bertanya,’Apa yang engkau perintahkan kepada kami? Rasulullah menjawab,’Penuhilah bai’at yang pertama dan yang pertama itu saja. Penuhilah hak-hak mereka. Allah akan meminta pertanggungjawaban terhadap apa yang menjadi kewajiban mereka.” [HR. Muslim].

Mereka amat mengecam PAS dan mana-mana pihak yang ingin memperjuangkan Islam melalui saluran demokrasi.Perjuangan yang paling utama umat Islam bagi HT adalah untuk mengembalikan sistem Khilafah yang merupakan sistem Islam ciptaan Tuhan. Hanya dengan sistem khilafah sahajalah umat Islam akan dapat mengembalikan kehidupan Islam yang sebenarnya yang diredhai oleh Allah SWT.

Kenapa membenci gerakan Islam yang lain?.Jika sistem khalifah yang ingin ditegakkan, maka begitu juga gerakan Islam yang lain. Mengapa mesti membenci dan menimbulkan kebencian pada gerakan Islam yang lain.Di Malaysia, PAS dianggap sesat dan berdosa olah HT bila memilih demokrasi melalui pilihanraya. HT menusuk masuk kepada ahli PAS yang kurang ilmu agama dan memberi hujah keji memfitnah, mencaci dan merendahkan perjuangan PAS secara halus dan adakalanya kasar.

Pertama, sehingga ke saat post ini ditulis, anda masih gagal membuktikan bahawa HT menghina perjuangan PAS. Sebaliknya semua itu hanyalah berdasarkan andaian anda semata-mata. Kedua, adakah HT membenci gerakan Islam yang lain? Pernahkah kalian menemui mana-mana artikel yang dikeluarkan HT yang berniat menimbulkan kebencian dan juga berusaha menjauhkan umat Islam daripada gerakan tersebut? Tidak pernah pula saya jumpa artikel tulisan syabab HT yang menyeru mana-mana gerakan Islam untuk “Pulanglah ke Palestin”, ataupun “Jamaah X : Jalan Menuju Kebodohan” atau “Jamaah Y: Parasit”. Siapa sebenarnya yang membenci gerakan Islam yang lain? Siapa sebenarnya yang berniat buruk dan berhasrat nak menjauhkan umat Islam daripada jemaah selain daripada jemaahnya sendiri?

Berkenaan isu demokrasi, hujah yang dibawa adalah hujah syarak yang disokong oleh dalil-dalil syarak, bukannya berteraskan emosi semata-mata. Bahkan seruan HT ialah “Demokrasi adalah sistem kufur, haram untuk terlibat, menerapkannya, atau menyeru ke arahnya”. Bukannya “Mana-mana gerakan Islam yang berjuang melalui demokrasi mestilah dikecam”.

Apabila HT berhujah bahawa demokrasi merupakan sistem kufur, bukan gerakan Islam yang bergelut di dalamnya sahaja yang dimuhasabah. Parti pemerintah dan juga puak-puak sekular yang beragama Islam turut dimuhasabah sama. Cuba rujuk sendiri laman web rasmi HT Malaysia, baca satu persatu, dan buat penilaian sendiri, adakah hanya PAS sahaja yang dimuhasabah? Rasanya BN (khususnya UMNO) yang lebih teruk dimuhasabah.

HT Membenci PAS dan Gerakan Islam Lain?

Kenapa di saat sokongan PAS sedang memuncak di Malaysia, HT mula mencucuk jarum menarik ahli PAS untuk menarik diri dari perjuangan yang dianggap berdosa dari menarik ahli UMNO dan golongan kafir agar menerima Khilafah Islam. Agak pelik bukan?

Rasanya anta ni yang syok sendiri dan perasan agaknya… (maaf, sekadar bergurau. Jangan ambil hati naa). Mana ada HT memfokus untuk hanya menarik ahli PAS. Sepengetahuan saya, tiada pula dibincangkan “Strategi Menarik Ahli PAS Menyertai HT” ataupun “Pelan Tindakan Khas Bagi Merosakkan PAS dan Harakah Islam Lain”. HT tidak memilih dalam menentukan siapa mad’u yang ingin didekati. Bahkan kalau boleh, dengan sesiapa pun HT akan bertemu dan menyampaikan tsaqafah Islam.

Kenapa mesti begitu? dalam setiap perkara yang ada khilaf, usahlah menuduh antara satu sama lain, asalkan Daulah Islamiyah ditegakkan berbanding UMNO yang memang tidak berminat dengan negara Islam. Dalam menegakkan khilafah tanpa demokrasi melalui pilihanraya. Apakah cara anda? Selain dari mencari publisiti melalui kutipan tandatangan terhadap sesuatu isu, menganjurkan program dan sebagainya, bagaimana nak mengambilalih negara untuk ditegakkan Sistem Khalifah.

Dalam perjuangan, kita tidak boleh bertindak semberono semata-mata. Seharusnya kita mengkaji terlebih dahulu khazanah keilmuan Islam sebelum mengambil sebarang tindakan. Adakah Islam tidak menyediakan garispanduan dalam hal-hal sebegini? Sedangkan dalam soal beristinjak sekalipun Nabi Muhammad saw telah menunjukkan kaedahnya, inikan pula dalam berusaha menegakkan deen Allah dalam aspek politik dan kenegaraan. Seorang Muslim yang cerah pemikirannya dan ikhlas perjuangannya, pasti akan merujuk terlebih dahulu menurut perspektif syarak sebelum mengambil sebarang langkah. Bukan sebaliknya, buat dahulu, kemudian sekonyong-konyongnya mencari hujah syarak bagi menjustifikasikan tindakan yang diambil. Sikap sebegini merupakan sikap yang pragmatik, melihat maslahah sebagai sumber mewajarkan perbuatan, jauh mengatasi sumber-sumber syarak seperti al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ Sahabat, dan Qiyas.

Adakah kerana kebetulan demokrasi mempunyai beberapa ciri yang menyerupai Islam, maka ia harus diterima dan dipertahankan? Insya Allah sekiranya ada permintaan, saya akan bawakan perbincangan mengenai demokrasi ini dalam post yang akan datang… Berkenaan method HT, silalah rujuk kepada laman web rasminya ataupun bertemu sendiri dengan anggotanya. Saya bukanlah lidah rasmi HT.

HT “Anai-anai”?

Inilah sebenarnya anai-anai dalam gerakkan Islam di Malaysia. Betulkan pandangan saya dengan bersatu berdakwah kepada masyarakat di Malaysia dari bergaduh pada sesuatu yang bakal melingkupkan Islam di bumi Malaysia. Islam itu Indah, apa salahnya kita bermuafakat membuktikan keindahan Islam itu sendiri. Kalau tidak mahu, lebih baik anda pulang ke bumi Palestin untuk syahid di sana. Usah memporak porandakan silaturrahim dan perasaan mawaddah mahhabbah yang telah lama berkembang antara pejuang Islam di Malaysia kini.

Pelik juga rasanya, anda mengeluarkan kenyataan seolah-olah HT yang menganjurkan perpecahan di kalangan umat Islam. Sedangkan hakikatnya anda sendiri yang menghasilkan (atau copy-paste) artikel yang memburuk-burukkan jamaah lain selain daripada jamaah anda. Apa salahnya jika terdapat berbilang jamaah? Haramkah jika terdapat berbilang jamaah? Apa yang penting, antara jamaah tersebut tidak sepatutnya wujud rasa iri hati ataupun tercabar dengan kehadiran jamaah lain. Juga tidak sewajarnya kita berbangga dan membesar diri merasakan hanya kelompok kita sahaja-lah yang benar, yang lain semuanya patut bergabung dengan kami.

Nasihat ikhlas daripada saya selaku saudara seagama anda, janganlah terancam dengan kehadiran HT di Malaysia. Kami melihat jamaah lain sebagai gerakan sahabat, dan bukannya musuh yang patut dijatuhkan. Janganlah takut dengan bayang-bayang sendiri. Mungkin saudara sudah selalu dimomokkan dengan bermacam-macam maklumat buruk mengenai HT, sehingga anda merasakan bahawa kehadiran HT ini akan mengancam survival PAS. Kita buang jauh-jauh rasa prejudis terhadap gerakan Islam selain daripada gerakan yang kita sertai.

Kepentingan Melakukan Tabayyun (Clarification)

Memandangkan sudah terlalu banyak artikel di internet mahupun di dunia realiti tersebar yang berniat buruk serta mengandungi unsur fitnah serta manipulasi fakta, ada baiknya jika setiap umat Islam pada hari ini agar kembali mengamalkan tabayyun / clarification, iaitu dengan merujuk kepada sumber pertama (sumber primer) sebelum membuat sebarang tanggapan. Firman Allah swt (mafhumnya);

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”. Al-Hujurat: 6

“Hai orang-orang yang beriman janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain (karena) boleh jadi mereka (yang diolok-olok) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olok) dan jangan pula wanita-wanita (mengolok-olok) wanita-wanita lain (karena) boleh jadi wanita-wanita (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari wanita (yang mengolok-olok) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barang siapa yang tidak bertobat, maka mereka itulah orang-orang yang dzalim”. Al-Hujurat: 11

“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu menggunjing sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima tobat lagi Maha Penyayang”. Al-Hujurat: 12

Kesimpulan

Hentikanlah semua penyebaran maklumat palsu dan memburuk-burukkan gerakan Islam lain. Tiada gunanya kita berbuat sedemikian, bahkan tindakan ini akan hanya merugikan dan mensia-siakan tenaga, masa, dan pemikiran umat semata-mata. Kita menyeru kepada Islam, bukannya menyeru kepada jamaah semata-mata. Dan Islam tidak mungkin akan berjaya ditegakkan meruntuhkan “bangunan” orang lain. Apatah lagi dengan menyebar berita-berita palsu, memanipulasi kenyataan, dan juga memburuk-burukkan jamaah lain.

Rasanya cukuplah setakat ini dahulu buat masa ini. Saya terbuka kepada sebarang teguran mahupun kritikan. Niat saya menulis post ini bukanlah untuk memburukkan keadaan. Jauh sekali hendak mengapi-apikan perseteruan. Sekadar menegur dengan ikhlas supaya para daie yang bergerak dalam mana-mana gerakan Islam (termasuklah pengarang blog bendahara tun perak) tidak lari daripada fokus perjuangan, iaitu untuk menegakkan deen Allah di mukabumi.

Wallahu’alam… mohon maaf sekiranya menyinggung perasaan mana-mana pihak…

24 Respons to "Adakah HT membenci PAS dan gerakan Islam lain?"

ntahlah kenapa mereka tergamak memfitnah sesama islam sampai begini sekali. sedih sungguh.

Terima kasih kepada wuzara kerana sudi berkunjung ke blog ini.

Inilah yang menyedihkan saya. Namun saya percaya bukan semua di kalangan ahli dan penyokong PAS yang bersikap sedemikian. Saya juga optimis bahawa sinergi antara kedua-dua gerakan ini dan juga gerakan-gerakan Islam lain akan terlaksana jua…

Kita bersaudara…

Ohya, akhi wuzara. Sekiranya ada jawapan saya yang tidak menepati fikrah Islam yang ditabanni HT, mohon diperbetul…

Saya dahulukan dengan ucapan terima kasih…

sebagai org yang menyokong perjuangan pas saya tak nafikan kekadang berkecil hati dgn skap sahabat HTM…..pun begitu saya tetap menganggap mereka adalah saudara saya dijalan dakwah ini….

bayangkanlah HT membawa hasrat ‘muhasabah’ kepada pas….dan usaha yang dilakukan ialah mengorek, mempamer dan mengecam apa saja tindakan yang dilakukan oleh pas yang mereka rasakan tidak menepati fikrah dan kefahaman mereka….bahkan usaha itu semakin giat dan ketara dilakukan semenjak pas semakin mula diterima ramai dan memegang pemerintahan beberapa negeri……hasilnya, pas yang sebelum ini cuma berhadapan dengan UMNO yang jelas memperjuangkan taghut itu…tetiba ditikam dan dicucuk pedih dari saudara yang juga mengaku memperjuangkan Islam yang luhur ini. Alangkah letihnya sebuah usaha yg sekian lama untuk menarik org ramai kepada mendaulatkan islam di Malaysia ini tiba-tiba di kelirukan oleh pandangan lain bahawa usaha yg didokong atau dipegang selama ini adalah batil kerana ianya datang dari kufur.

sungguh sulit memahami dakwah yang maha luas ini….biarpun pelbagai jawapan diberikan….membawa dalil syarak….mengambilkira pandangan ulama2….melihat kepada maslahatan umat masakini….ia tetap ditentang habis-habisan dan diusahakan pula mencari dalil balas utk saling melemahkan hujah

Jemaah islam akan saling keletihan menyerang di antara satu sama lain dan akan lagi-lagi keletihan menggali hujah untuk membenarkan jemaah masing2 dan melemahkan hujah jemaah lawan….tentulah saya tidak mahu utk keletihan sekadar itu…

Jadi saya rasa itulah keperluan kita saling menghormati pandangan….bayangkanlah, utk menentukan samada sesuatu perkara itu adalah khilaf ataupun tidak , kita juga boleh berbantahan…..dashatnya rupa umat Islam…

Saya rasa…apa lagi HT mahukan dalam usaha mereka memberi faham pada org ramai tentang penyelewengan pas dlm kerja dakwah mereka selama ini, selain dari mengharapkan org akan tinggalkan pas dan memegang fikrah HT…maka dengan itulah tidak mustahil org pas merasa amat panas hati…..tanpa disedari anda telah mengganggu tarbiyyah kami….anda telah mendatangkan kekeliruan kepada ahli-ahli kami….anda katakan anda saudara kami tetapi anda mencari pelbagai jalan dan alasan utk menampakkan kelemahan kami…..kami tentu tidak perlukan persaudaraan seumpama ini…..jesteru itu, jika ada yang mengatakan HT pulanglah ke Palestine……janganlah anda terlebih-lebih pula berkecil hati….

bagi saya…..HT tetap saudara saya yg sangat-sangat saya kasihi……

Masalah akan timbul apabila kita menilai isu ini dari kerangka “jemaahku vs. jemaahmu” dan bukan lagi berlandaskan prinsip saling menasihati sesama Muslim. Saya tak maksudkan ummu hanah sebagai orang yang bersikap sedemikian, sekadar menyatakan secara umum…

Perkara yang khilaf, tak perlu diperbesarkan. Tetapi dalam masa yang sama, kita perlulah menilai kekuatan hujah dan dalil yang dibawa tanpa menyelitkan sentimen kepartian/hizbiyyan dalam perbincangan… Kita ikhlaskan diri, nilai secara ilmiah dan neutral. Tidak bias kepada pendapat pihak yang kita sokong semata-mata.

Kalau dalam soal ibadah, kita boleh saja memilih pendapat yang paling rajih untuk diamalkan. Kenapa dalam perkara yang dimuhasabah ini tidak pula? Sedangkan kedua-duanya tetap hukum syarak.

Bagi saya, tindakan memuhasabah ini tidak akan mengganggu pentarbiyahan PAS, sebaliknya akan lebih banyak membantu. Analoginya, apabila orang LAN datang melakukan akreditasi, maka ini akan mendorong pihak admin sesebuah institusi yang diakreditasi untuk meningkatkan lagi kualiti dan kecekapan warganya.

Bukanlah nak katakan HT selaku lembaga akreditasi terhadap PAS. Sebaliknya nak menyatakan bahawa jika ada golongan yang memuhasabah, insya Allah secara tak langsung ini akan meningkatkan lagi kualiti pentarbiyahan. Anak usrah akan bertanya, naqib pula akan menyelidik dan menjawab. Sekaligus akan mencambah pemikiran. Mereka yang selama ini hanya menjadi tukang angguk dalam usrah, akan menjadi seorang yang berpemikiran kritikal dan ingin mendapatkan kebenaran.

Isu ini juga tidak akan selesai sekiranya soal emosi turut diselitkan bersama… Kenapa perlu berkecil hati, kalau yang ditegur itu untuk kebaikan bersama? Lainlah kalau dalam hati ini tersimpan paranoia bahawa “semua orang luar yang mengkritik PAS itu ingin menjatuhkan PAS”…

Sekali ingin saya ingatkan, saya nyatakan ini secara umum dan tidak ditujukan kepada sesiapa secara spesifik…

Wallahu’alam…

ntah siapa yang memperbesar-besarkan perkara khilaf….jujurlah anda menilai diri sendiri…dalam hal kecenderungan terhadap mana-mana pendapat/pandangan serta dalil-dalil yang dikemukakan utk menyokong sesuatu pandangan itu….berapa banyak HT menunjukkan rasa hormat dan toleransinya terhadap pandangan orang lain ? sepanjang pengalaman saya dlm ziarah saya di laman2 forum….bila bertembung pandangan antara ahli HT dan pas…ketara HT mempertahankan pandangan mereka dan langsung tidak menerima pandangan org lain….

paling sedih….kebelakangan ini ada ahli HT yg sudah tergamak merendahkan kredibility pemimpin parti pas….memperkecilkan ulama masakini seperti Qardhawi….bahkan mereka menuduh ahli pas menganggap TGNA sebagai maksum sehingga semua prilaku beliau dianggap benar…..tidakkah tuduhan ini sungguh jelek sekali yg tiada nilai muhasabah sedikit pun kecuali sengaja menyalakan sentimen orang pas utk panas hati……atau dalam masa yang sama HT lupa yg merekalah terlebih ta’sub dgn pandangan T.Nabhani.

semua org bila menegur akan kata…apa salahnya utk kebaikan bersama……saya pula menilai konflik antara pegangan pas dan HT semakin besar jurangnya….jadi apa kebaikan yang hendak dibina kalau dalam masa yang sama jarak antara kita ahli gerakan Islam ini semakin jauh.

fikir-fikirkanlah…….

Ingat tak menjelang pilihanraya PAS membawa idea Negara Kebajikan. Ia ditegur oleh SN. Saya sempat bertanya, kenapa SN kritik tersebut, nanti PAS marah.

Jawapan yang saya dapat. Kalau tidak diperbetulkan dari awal, kalau dah mengakar sudah nak diperbetulkan.

Sesiapa yang study political science pasti berjumpa idea welfare state, ia jelas idea kufur yang berbeza dengan Islam. Tapi bagaimana ulama’ boleh menerimanya. alhamdulillah idea kufur tersebut dah tak diperjuangkan.

Saya sampai sekarang masih belum dapat jawapan untuk menghalalkan wang pertaruhan pilihanraya. Suatu soalan yang ahli PAS sendiri sukar untuk jawab, kecuali jawapan maslahah dan siyasah syari’yyah.

Saya masih tidak faham kenapa dulu PAS hentam pemimpin UMNO yang menghadiri perayaan hari ngawai, depavali, CNY, krismas dsbnya. Tetapi apabila Mursyidul Am pergi deepavali, mujur ada pandangan Qardhawy untuk dijadikan perisai.

Sebenarnya, banyak perkara yang dulu PAS kata haram, sekarang mereka sendiri dah halalkan. Antaranya, ahli parlimen wanita, ahli bukan Islam, sambutan perayaan kufur, kerjasama dengan parti kufur.

saya masih ingat bagaimana bersemangatnya dulu Haji Hadi kata gerakan Islam, syarat pertama ahlinya wajib Islam.

Cuba kak cik fikir sendiri, kalau ulama’ tak boleh ditegur, apa nak jadi. nescaya ramai la yang keliru.

myhoney, kita tak boleh memukul rata hanya dengan melihat sikap segelintir pihak semata-mata. Apatah lagi hendak menjadikannya sebagai alasan untuk menyalahkan jemaah yang diikuti oleh individu tersebut (baik selaku ahli mahupun penyokong).

wuzara, mungkin kenyataan yang kita keluarkan dalam memuhasabah itu terlalu ‘direct’, tegas, dan barangkali dilihat sebagai kasar sehingga ada yang terasa hati. Masyarakat Melayu ni berbeza dengan bangsa Arab. Kalau orang Arab, budaya menegur mereka memang ‘straight forward’, misalnya ketika Umar radhiallahu ‘anhu menetapkan mahar lalu ditegur oleh seorang Muslimah.

Tapi,kan, Terfikir juga, Umar radhiallahu ‘anhu – seorang sahabat Nabi yang paling akrab dengan baginda saw – begitu terbuka dengan teguran sedemikian. Mengapa kita begitu ‘pantang’ mendengar tokoh yang kita sanjungi pada hari ini ditegur?

Mengenai persoalan khilaf pula, mungkin perlu dikaji semula apakah yang maksud di sebalik konsep berlapang dada… Paling penting, saya merayu buat kesekian kalinya, cubalah keluarkan diri daripada mentaliti ‘jemaahku vs. jemaahmu’ kerana ia bukan sahaja tidak berkesudahan, bahkan boleh membawa kepada perpecahan…

Wallahu’alam.

saudara/i ku marilah bersatu dengan Hizbut Tahrir, gerakan Islam sedunia tanpa apa-apa batasan.

kalau saudara berjuang dalam PAS atau UMNO atau PKR atau PDRM atau ATM atau Kerabat Di Raja, atau pemerintah dan juga agen-agen pemerintah, atau apa-apa saja kelompok dan golongan-asalkan saudara beraqidahkan Islam- tinggalkanlah status dan perjuangan itu dan sertailah kami memperjuangkan Islam dalam jalan menegakkan Khilafah. Jangan tertipu dengan gagasan idealisme demokrasi dan negara bangsa berdaulat yang sempit tu. Ingat! Allah akan siksa saudara/i diakhirat nanti jika mati dalam keadaan masih beridealisme seperti itu. Tinggalkan kecintaan saudara/i kepada tanah air Malaysia dan gantikannya kepada kecintaan saudara/i pada Daulah Khilafah. Buang bendera jalur2 banyak warna dan tukarkan kecintaan kita pada bendera hitam dan putih. Dunia sedang menuju ke arah Khilafah. Ketamadunan barat yang saudara gunakan dalam wadah perjuangan dan kehidupan saudara itu (demokrasi) telah banyak cacat celanya dan semakin ditinggalkan. Takkan dikala umat Islam sedunia sedang hangat berbicara tentang penyatuan di bawah Khilafah dan pemansuhan sempadan negara-negara sekarang ini, kita masih lagi nak bincang isu tempatan semata.
Saudara, berjuang bersama dengan Hizbut Tahrir dgn jalan dakwah ini memang sukar. tetapi inilah jalan yang dirintis oleh nabi kita dan para sahabatnya. Marilah saudara/i. tinggalkan kebiasaan dalam hidup dan carilah satu kelainan. Sesungguhnya Hizbut Tahrir pasti menawarkan kelainan yang saudara/i cari dalam kehidupan ini…..

Terima kasih abu_M atas saranan dan seruan yang diberikan… Marilah kita bersama-sama menghayatinya… Marilah kita menyahut seruan penyatuan yang hakiki. Bangkitlah daripada kelalaian kita selama ini, menuju kepada kebangkitan yang hakiki… Marilah bersama mengembalikan kehidupan Islam…

Kepada yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Hizbut Tahrir dan juga prinsip perjuangan mereka, silalah berkunjung ke laman web rasmi Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) iaitu http://www.mykhilafah.com.

Ataupun kalian boleh menghadiri mana-mana program anjuran mereka. Sekiranya ingin mengadakan pertemuan secara bersemuka, maka hubungilah mana-mana syabab HTM. Insya Allah, mereka sememangnya menanti-nantikan kalian. Ataupun kalian boleh maklumkan sahaja di sini, insya Allah saya akan cuba hubungi mana-mana syabab berhampiran dengan kawasan anda.

Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan…

Wallahu’alam…

Tak payah la nak berlagak…baca sejarah…masa khilafah jatuh pada 1928..yang mula ditubuhkan ialah gerakan Ikhwanul Muslimin pimpinan Hassan Al_banna….Ikhwan berjuang untuk menegakkan semuala khilafah Islam yaang jatuh dan membela nasib umat islam…

Taqiyuddin Nabhani sendiri asalnya adalah ahli gerakan Ikhwanul Muslimin…tapi dia ‘belot’ pada jemaah Islam apabila keluar daripada ikhwan sebab tak setuju Ikhwanul muslimin berperang dengan Israel dan tubuhkan Hizbut Tahrir konon nak berjuang dengan cara aman….

jelas bahwa Hizbut Tahrir pengkhianat jemaah islam dan parasit kepada perjuang islam…..

PAS, PKS, FIS, Hamas, AKP…semua adalah subdivision ikhwanul muslimin kerana ikhwanul muslimin yg tubuhkan PAS pada 1952 untuk memperjuangkan Islam di Malaysia…..menentang PAS bermakna menentang jemaah pejuang Islam….

HT pengkhianat!!!!!

Kepada ‘bekas syabab HT’, mengapa nak banding-bandingkan antara gerakan Islam ni? Nak melaga-lagakan ke? Tak cukupkah dengan segala macam polemik selama ini?

Anda nak claim PAS sebagai subdivision Ikhwan, terpulanglah. Saya tak nafikan dan tidak pula saya mengiyakan. Sudah banyak versi yang saya dengar, dan sudah banyak gerakan yang “berebut-rebut” nak claim bahawa mereka-lah wakil Ikhwanul Muslimun di Malaysia.

Tetapi apa hak dan hujah anda nak dakwa HT sebagai pengkhianat? Selain daripada PAS, semuanya parasit, semuanya pengkhianat? Selain PAS, semuanya sesat, semuanya batil? Anda boleh jamin ke gerakan lain semuanya menentang perjuangan Islam semata-mata kerana tak sehaluan dengan PAS? Apa sebenarnya yang diperjuangkan? Islam atau jamaah?

Ada yang menuduh HT sebagai pengkhianat perjuangan Islam, sedangkan mereka sendiri duk menyebarkan dakyah yang bukan-bukan terhadap HT yang hakikatnya turut sama perjuangkan Islam. Tanpa disedari, orang-orang sebeginilah yang mengkhianati perjuangan Islam. Kerja dakwah semakin terabai, hidupnya pula disibukkan dengan perbuatan memburuk-burukkan gerakan Islam selain daripada jemaah yang disertainya. Semoga Allah menjauhkan kita semua daripada termasuk dalam golongan sebegini… Amin…

Nasihat ikhlas daripada saudara se-Islam mu… Wallahu’alam…

Wassalam.

Ohye, seperkara lagi, tiada siapa yang berlagak di sini… Perjuangan khilafah bukan hak milik mana-mana gerakan Islam. Khilafah adalah milik umat, dan kewajipan menegakkannya tertanggung di bahu setiap individu Muslim yang mukallaf.

Cumanya ada sedikit pembetulan, khilafah dibubarkan secara rasminya oleh si pengkhianat Kemal Atarturk pada 3 Mac 1924 dan bukannya pada 1928 seperti yang anda nyatakan.

Wallahu’alam…

Salam,

Kepada ‘bekas syabab HT’, kita nak tanya la…betul ke awak tu pernah jadi syabab HT?

Bukan apa cara awak menulis tu tak menunjukkan awak tu pernah jadi syabab… jadi ‘daris’ pun rasanya idak eh!

Ada ke Syeikh Taqiyuddin Rahimahullah keluar ikhwan sebab tak setuju ikhwan perang gan Israel?…nak tergelak pun ada baca tuduhan melulu camtu!

Siapa musyrif awak? Halaqah awak dah sampai kitab apa? Siapa ahli halaqah awak? Kat mana tu?

Jujurlah dalam memberi kesaksian…awk pun tahu kan yang memberi kesaksian palsu tu merupakan satu dosa.

Wasalam.

Hehehe…lupa lak…cerita Syeikh Taqiyuddin Rahimahullah keluar ikhwan sebab tak setuju berperang Israel tu awak jumpa kat tong sampah mana ya?

Setahu saya beliau pernah berjuang bersama-sama Syiekh Izzaddin alQasam Rahimahullah menentang Israel di awal penubuhan negara haram tersebut.

Terima kasih FM kerana membangkitkan persoalan tersebut. Saya terlupa nak sentuh mengenai aspek nick yang digunapakai. Daripada pengalaman saya sendiripun pernah terjadi. Ada si fulan yang mengakui pernah bersama HT kemudian bila diteliti rupa-rupanya hanya mengikuti open circle. Tetapi habis dia jaja cerita bahawa dia pernah bersama HT dan tahu selok-belok HT ni.

Kes Salleh Sariya dulu pun macam tu juga rasanya. Kalau tak silap dia dikaitkan dengan HT, tetapi sebenarnya dia bukannya syabab. Cuma pernah hadiri circle HT sahaja.

Cuma sedikit pembetulan mengenai Syeikh Izzuddin al-Qassam, beliau terkorban pada tahun 1935 di Ya’bad – sebelum entiti haram Israel wujud. Tetapi memang benar, beliau menentang penjajahan Perancis, Inggeris dan juga pendudukan haram warga Yahudi (yang sememangnya telah berlangsung lama sebelum Israel ditubuhkan). Syeikh Taqiuddin memang pernah bersama dengan perjuangan tersebut…

Wallahu’alam…

Salam,

Terima kasih atas pencerahan sejarah Syiekh Izzaddin al Qasam rahimahullah tu. :)

Wasalam.

Itulah HT sebenarnya. Tengok cara menulis sahaja dah tahu siapa orang yang menulis dan apa fikrahnya. Inilah apa yang ada dalam HT. Kita diikat dengan tsaqafah yang sama dari timur ke barat dari jepun ke andalusia…

Hehe…Saya budak baru belajar, jadi tak begitu peka sebagaimana syabab-syabab senior sekalian… Alhamdulillah, HT konsisten dalam tariqah perjuangannya tanpa sebarang kompromi dalam soal prinsip. Salah satu ciri yang menyebabkan saya tertarik untuk kekal bersamanya.

=)

agak-agak siapakah calon khaliah yang paling sesuai sekarang ?

Terima kasih. Mungkin sdr iqbal maksudkan calon khalifah? Hm, sistemnya pun belum wujud lagi, bagaimana hendak memilih calonnya… =)

Insya Allah sesudah tertegak khilafah kelak akan ada mekanisme pemilihan pemimpin dan juga baiah ke atasnya… Yang penting ialah usaha ke arah mengembalikannya semula… – ghazi

Salam,

Berkenaan dengan calun Khalifah sebenarnya ramai, siapa sahaja dikalangan muslim yang menepati syarat-syarat iniqad (perlantikan) sebagaimana yang digariskan oleh para ulama’ fiqh layak untuk menjadi calun khalifah.

Persoalannya, bersediakah saudara untuk membaitnya dan berusaha untuk menwujudkan keadaan dimana proses pembaitannya itu boleh berlaku?

Wasalam.

amir in d hse is here! =P
opps…salam
nak singgah kat sini semata2 nak cakap…
mula2 entri ni menarik, then bila baca komentar2 neh, lawak la pulak….
pesanan khas kpd komentar yg seterusnya:

“moh la muhasabah diri…kita ni pro-Islam ke, pro-gerakan Islam? nak ber`jemaah’ ke nak ber`gerakan’ semata2? Dah dapat jwpn, baru timbang2 dulu hujah anda. Kalau kompius, kaji balik makna jemaah ya.
dan paling penting;
berlapang dada lah dlm menerima ilmu….
Ulamak pun ilmu ada yg kurang…ini kan pula hamba yg biasa. *^^*

finale;
***MUSUH ISLAM = KAFIR TAK TUNGGU ANDA DARI GERAKAN MANA, YG PENTING ANDA ORG ISLAM, PERJUANGKAN ISLAM = ZASSSSSSSSSSSSSSSSSSSS
PANCUNG SAJA

belajar la dari sejarah ya…
dan berhentilah mengaku anak cicit ikhwan muslimin…walhal method perjuangan tak sama pun, pemikiran jauh sekali (dgn alasan `pembaharuan’…banyakla hang punya baru…)”

isk isk isk…sedih sungguh…

p/s: moderator = sori la ya kalau berbaur emosi sket. hehe. Hidup mesti tenang + bersahaja, tp TANGKAS! zap! =D

Nasihat yang baik daripada sdr amir, disampaikan dengan caranya yang tersendiri.hehe… Apapun sama-samalah kita merenungkannya… Namun jika sdr membaca komen-komen tersebut dengan teliti, maka kita akan dapat melihat suatu yang positif daripadanya dan bukanlah sekadar individu-individu daripada jemaah berlainan yang saling bercakaran… Wallahu’alam… – ghazi

p/s: maaf sebab lambat meluluskannya, serta lambat dalam memberikan respon terhadapnya. Saya sedang mengusahakan sebuah entri baru, yang menuntut sedikit pembacaan bagi mengukuhkan isinya. Dalam masa yang sama, saya berdepan dengan sedikit urusan peribadi. Terima kasih kerana sudi menunggu…

assalamualaikum..
blog not found la..saya nak baca blog tun perak tu..

dulu saya pernah belajar (masa kuliah lepas maghrib,surau atap zink aje)
“kita kena ikut firkah yang terdahulu ditubuhkan.jika firkah itu salah,hendak lah kita masuk dan membetulkannya dari dalam.”

saya quote ayat ustaz yang mengajar masa tu (ustaz apandi)..apa pandangan HT tentang quote tu?

bertanya untuk menambah ilmu.maklum la..saya budak baru belajar.tapi insyaAllah,sudah mukallaf..

Assalamualaikum cucu tok ayah… terima kasih kerana sudi berikan komen di sini. Pertamanya maaf kerana lambat approve komen sdr. Saya terikat dengan urusan penting sehingga mengekang saya daripada aktif di blog ini.

Barangkali tuan punya blog sudah delete post tersebut, ataupun mungkin sudah menutup blognya dan bertukar kepada laman baru.

Persoalan sdr ni sebenarnya berkaitan dengan hukum berbilang jamaah (taadud jamaah) juga. Mengikut pendapat yang saya pegang, tiada salahnya kalau wujud jamaah/gerakan yang banyak, selagimana perjuangannya berteraskan syariat Islam serta memenuhi tujuan yang digariskan dalam ayat 104 surah ali Imran.

Tak semestinya perlu masuk dalam firqah terdahulu untuk mengubahnya. Muhasabah boleh sahaja berlangsung daripada luar…

Dalam sejarah PAS, misalnya, bukannya tak pernah ada usaha “ubah dari dalam”… Maaf, rasanya tak sesuai kalau dibincangkan di sini…

Wallahua’lam… mudah-mudahan respon saya ini dapat memberikan pencerahan… Maklumbalas sdr amatlah dialu-alukan…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Calendar

Oktober 2008
F S S M T W T
« Sep   Nov »
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
31  

Archive

Sudahkah anda membaca al-Quran pada hari ini?

Bilakah kali terakhir kita membaca al-Quran?

Truth About Democracy – Click to Read the Article

Democracy is not compatible with Islam

Truth About Democracy

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 12 other followers

Sikap Kita Terhadap Sesama Daie

Sikap Hizbut Tahrir sendiri terhadap gerakan-gerakan Islam lainnya setidaknya tercermin dari pernyataan Amin Nayaf , salah seorang tokoh Hizbut Tahrir –ketika beliau memberikan jawaban atas tuduhan terhadap beliau yang telah menyebarkan pemikiran Mu’tazilah: “Janganlah kalian mencoba untuk mencari permusuhan atau mengarah pada permusuhan terhadap gerakan-gerakan Islam lainnya. Kita harus waspada terhadap pihak-pihak yang mencoba untuk memecah-belah gerakan-gerakan Islam. Kepada merekalah seharusnya serangan itu dilancarkan.

Persoalan tentang Baiah al-Inah

Blog Stats

  • 107,623 visits

Top Rated

Reminder to All Muslims around the World

“Say: If it be that your fathers, your sons, your brothers, your mates, or your kindred; the wealth that ye have gained; the commerce in which ye fear a decline: or the dwellings in which ye delight – are dearer to you than Allah, or His Messenger, or the striving in His cause;- then wait until Allah brings about His decision (ie. Torment): and Allah guides not the rebellious.” [TMQ Surah At-Tawbah: 24]
%d bloggers like this: