apo nak dikato

Pelik tapi Benar dalam Solat… mengapa diharamkan?

Posted on: Ogos 18, 2008

Saya masih lagi tidak tahu apakah punca sebenar-benarnya yang menyebabkan buku “Pelik tapi Benar dalam Solat” (PTBDS) itu diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri sehinggalah ke saat post ini dihasilkan. Saya pernah membelek-belek buku tersebut beberapa kali sebelum ini; pertama kali saya menemuinya ialah sewaktu saya mencari buku untuk dijadikan hadiah kepada seorang teman beberapa bulan dahulu. Walaupun terdapat banyak perkara “pelik” yang tidak pernah saya lihat sebelum ini, namun pada hemat saya, tidaklah sampai “boleh menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan umat Islam serta dikhuatiri memudaratkan masyarakat” (seperti kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak KDN).

Laporan berita dipetik daripada Harakahdaily.

Harakahdaily
Thu | Aug 14, 08 | 3:00:31 pm MYT
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Hrkh) – Kementerian Dalam Negeri mengharamkan dua buah buku kerana mengandungi fakta yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenarnya.

Bernama melaporkan, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Abdul Razak Abdul Latif berkata buku yang diharamkan itu bertajuk, “Pelik Tapi Benar Dalam Solat” karya Ustaz Abdul Rahman Mohamed terbitan Telaga Biru Sdn Bhd, Jalan Raja Abdullah, Kuala Lumpur dan dicetak oleh FDZ Design & Communications, beralamat Taman Bukit Cheras, Kuala Lumpur.

Sebuah lagi buku yang turut diharamkan bertajuk, “Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism” oleh Norani Othman, terbitan Sisters in Islam, Petaling Jaya dan dicetak oleh Vinlin Press Bandar Baru Seri Petaling.

“Kedua-dua buku ini dikenakan perintah larangan mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan mana-mana individu yang didapati menghasilkan semula, mencetak, mengeluar atau memiliki bahan larangan tersebut boleh dikenakan penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM 20,000 atau kedua-duanya,”kata Abdul Razak dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata sekiranya penerbitan berkenaan dibiarkan, ia boleh menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan umat Islam serta dikhuatiri memudaratkan masyarakat. – mks.

Wallahu’alam, mungkin bagi saya perkara ini tidak akan terjadi, namun kepada orang-orang lain perkara tersebut boleh tercetus.(Berkenaan buku kedua yang turut diharamkan sama itu pula, saya tak boleh berikan komen kerana saya belum membacanya lagi. Jadi, post ini akan hanya berkisar mengenai buku PTBDS sahaja.) Kenapa tiada penjelasan lebih terperinci? Teringin juga nak tahu, apa yang bahaya sangat sehingga diharamkan? Apa yang memudaratkan masyarakat?

Walau bagaimanapun, apa yang saya pasti, pengarang buku PTBDS tidak menghasilkan buku tersebut sewenang-wenangnya tanpa mengkaji dalil-dalil terlebih dahulu. Sebab dalam buku tersebut turut ditampilkan dalil-dalilnya. Kalau begitu, mengapa pula diharamkan? Saya dapat rasakan bahawa tindakan yang diambil oleh pihak KDN agak drastik. Wallahu’alam, namun saya percaya mereka ada panel yang mengkaji buku tersebut dan saya percaya mereka tahu apa yang mereka lakukan.

‘Kekeliruan’, ‘Kegelisahan’, dan ‘Memudaratkan’

Saya tidak menafikan bahawa kekeliruan pasti akan timbul di kalangan masyarakat khususnya di Malaysia, kerana kebanyakan isi kandungan yang terdapat dalam buku tersebut bertentangan dengan kebiasaan dalam beribadah di sini. Terutamanya apabila kebanyakan pergerakan-pergerakan tersebut melebihi “limit pergerakan tiga kali” dalam solat yang dipegang oleh masyarakat umum. Dalam masa yang sama, kegelisahan juga pasti akan timbul, memandangkan perkara tersebut disebarkan secara terbuka, i.e. melalui penulisan buku. Secara tidak langsung, ini boleh menimbulkan kegelisahan terutamanya apabila si pembaca tidak merujuk kepada mereka yang arif dalam bidang fiqh ibadah (ustaz/ah) selepas membacanya.

Kemudaratan hanya akan timbul sekiranya umat Islam tidak berfikiran terbuka dalam menilai sesuatu yang datang daripada ‘luar’ lingkaran kebiasaan kita. Sikap sebegini sewajarnya dibuang jauh-jauh kerana ia akan hanya merugikan sahaja. Dalam keadaan umat Islam di Malaysia seperti hari ini, saya berpandangan bahawa sedikit-sebanyak ada wajarnya tindakan yang diambil oleh pihak KDN itu. Namun dalam masa yang sama, kenalah berusaha meningkatkan taraf berfikir dan keterbukaan masyarakat juga. Ayuh, marilah kita melaksanakan tugasan ini. Janganlah tunggu orang lain buatkan untuk kita. Janganlah harapkan KDN sahaja. Bila KDN buat tindakan sedemikian, kita melenting & cakap yang bukan-bukan terhadap mereka.

Sikap Kita terhadap Pembaharuan

Masyarakat Islam di Malaysia khususnya masih belum begitu terbuka terhadap pembaharuan yang cuba diketengahkan oleh pelbagai pihak. Justeru, janganlah kita tergesa-gesa untuk ‘memaksakan’ pembaharuan tersebut ke dalam ‘tubuh’ masyarakat. Pendekatan berhikmah teramatlah diperlukan. Jangan pula kita berkasar dalam menyampaikannya, biarpun kita di pihak yang benar. Misalnya, apabila kita berdepan dengan sekumpulan warga emas yang dah berpuluh-puluh tahun mengamalkan bacaan surah Yasin berjemaah setiap malam Jumaat, janganlah kita (khususnya yang muda-muda ni) pergi ‘sound’ ‘direct’, “Ini BIDAAH ni… Nabi saw tak buat!”

Kalau demikianlah pendekatan yang diambil, tak mustahil kita akan ‘di-backfire’… Sudahnya akan mendatangkan fitnah pula kepada gerakan tajdid yang cuba dibawa. Ada yang melabel gerakan tersebut sebagai gerakan Wahabi, tidak kurang juga yang menggelar mereka sebagai tukang bidaah orang. Inilah yang menyedihkan saya. Sekiranya perkara yang dibawa itu benar, mengapa harus ditolak pula? Apa yang penting sekarang ialah bagaimana sikap kita dalam mendepani pembaharuan/tajdid yang cuba dibawa itu.

Kemudian kepada pihak yang memperjuangkan tajdid pula, janganlah terlalu rigid dan ‘memaksa’ semua orang mengetahui setiap satu dalil bagi setiap ibadah. Kita perlu jelas, bukan semua orang dikurniakan akal yang cerdas dan cerdik seperti kalian yang berpendidikan tinggi. Kemudian, bukan semua orang berkesempatan untuk mempelajari secara mendalam bidang-bidang seperti fiqh, usul fiqh, mustolah hadis, dsb. Jadi, cukuplah jika perkara tersebut dibahaskan dengan para ulama’ dan ilmuan (asatizah). Seterusnya, mereka inilah yang akan menyampaikannya kepada khalayak mengikut tahap kefahaman mereka.

Kita perlu jelas, bahawa dalam hal-hal syariah dan ibadah, kita diizinkan untuk bertaqlid sepenuhnya. Dalam ertikata lain, menjadi muqallid ‘ammi. Justeru, sekiranya seseorang itu nekad menyatakan, “Aku akan hanya berpegang dengan Mazhab Syafie sahaja”. Maka, itu tidak menjadi kesalahan. Cuma kita katakan kepadanya, “Baguslah kalau begitu, tapi kenalah pastikan bahawa apa yang kau ikut tu betul-betul daripada mazhab Syafie,”

Dan sekiranya ada yang mengamalkan talfiq pula, maka kenalah pastikan bahawa mereka benar-benar memahami apa yang dilakukannya. Seperkara lagi, jangan pula bertalfiq mengikut hawa nafsu. Itu haram. Untuk maklumat lanjut, saya syorkan agar kalian merujuk buku berkenaan Talfiq yang ditulis oleh Ustaz Maszlee Malik. Kalau keliru, maka bergurulah dengan asatizah yang diyakini ilmunya…

Lain pula halnya dalam perkara-perkara akidah. Kita ditegah daripada bertaqlid dalam hal-hal akidah. Akidah sewajarnya dicapai sendiri oleh setiap individu yang mengucapkan lafaz kalimah toiyibah dan menjadi Muslim. Akidah tidak boleh diwarisi, sebagaimana yang ditegaskan dalam ayat 104 surah al-Maidah berikut (sila rujuk tafsir untuk maklumat lanjut);

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (Al-Quran), dan kepada RasulNya (yang menyampaikannya)”, mereka menjawab: “Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya”. Adakah (mereka akan menurut juga) sekalipun datuk nenek mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayah petunjuk?

Wallahu’alam…

P/s: Kepada sahabat-sahabat dari manhaj Salafi, sudi-sudilah kongsikan buah fikiran anda berkenaan isu ini. Sekiranya berkelapangan, saya ingin mengundang anda untuk bermuzakarah bersama-sama bagi mencari tindakan bagi meningkatkan taraf berfikir umat serta keterbukaan mereka, supaya usaha membawa pembaharuan (tajdid) dapat tersebar meluas dalam masyarakat kita khususnya. Bukan sekadar dalam hal-ehwal ibadah khususiyah semata-mata, sebaliknya termasuklah semua aspek yang dirangkumi oleh Islam. Saya dahulukan dengan ucapan terima kasih, semoga Allah memberkati usaha kita di jalan-Nya…

Amin…

22 Respons to "Pelik tapi Benar dalam Solat… mengapa diharamkan?"

Assalamualaikum….
entri yang menarik…sebenarnya dalam masalah ini kita berhadapan dengan masalah sikap orang…masalah orang yang tak nak berfikir di luar kotak pemikiran biasa dan tak nak keluar dari zon keselesaan hidup… terima kasih atas perkongsian sebab saya tidak tahu sebenarnya tentang pengharaman buku PTBDS malah saya tidak tahu sama sekali ttg kewujudan buku tersebut… banyak faktor yang mendorong ke arah pengharaman buku tersebut antaranya kerana dek takutkan berlakunya kekeliruan yang lebih mendalam terhadap masyarakat kita amnya yang amat sinonim sebenarnya dengan budaya kemalasan berfikir dan takut dengan persoalan-persoalan yang bakal timbul…amat sedih sekali andai budaya pengharaman sana-sini terus berterusan, tidak kira la pengharaman dlm media cetak spt haramnay PTBDS @ media elektronik, kerana perkara ini akhirnya akan menidakkan peluang untuk kita membuat keputusan dan berfikir…. dan akhirnya sampai bila2 pun budaya kemalasan berfikir dan spoon fixed tidak akan terhakis dalam masyarakat kita….belajar tanpa berfikir adalah sia-sia, berfikir tanpa belajar adalah merbahaya!dan budaya belajar di sini amat takut untuk mengaitkan pembelajaran agama dengan akal fikiran…“Agama tidak tertegak dengan logik akal”, tegasnya.“Agama juga tidak tertegak dengan membunuh akal”, itu jawabnya.
Lalu agama dibentangkan secara yang sungguh tidak masuk akal, demi memenangkan teks yang tidak diprosesnya melalui disiplin fikir.
Muktazilah yang meletakkan akal mengatasi naqal (nas periwayatan), telah diuruskan nasib mereka oleh sejarah. Tetapi membuang Muktazilah, tidak harus sampai membuang akal. Proses berfikir harus diteruskan, kerana tanpa berfikir, taqlid jadi parah, perjuangan membunuh taqlid juga menghasilkan taqlid yang kedua.
Terimalah teguran-teguran Allah, kepada manusia yang enggan berfikir. Hakikatnya kemalasan berfikir adalah suatu dosa. Selain buat para pendakwah, dalam kita menyampaikan mesej dakwah harus kita teliti sensitiviti masyarakat….tidak ke terkejut pak cik, mak cik kat kampung jika datang ustaz ustazah yang menjenguk mereka bagi pengisiaan sebulan sekali jika kita memperbetulakan soal ibadah mereka sebagai contoh qunut solat subuh itu tidak wajib… pasti akan bertambah keliru bagi mereka….lainlah pada yang telah dibiasakan dengan mencari kesahihan sesuatu hadis yang dikemukakan dan menghabiskan sehari suntuk membelek kita fiqh As-sunnah…. persoalan furuk seperti bagaimana bersolat dengan cara yang paling betul, qunut atau tidak qunut kita ingin panjangkan dan kita ingin gaduh2… sedangkan banyak perkara yang berkait rapat dengan persoalan aqidah dan lebih urgensi untuk kita selesaikan, kita kesampingkan… fikir2kan la…
wassalam

Terima kasih aku atas respon yang diberikan…

“Agama juga tidak tertegak dengan membunuh akal”… Saya tertarik dengan kenyataan tersebut. Memang benar, saya setuju dengan saudari bahawa terdapat segelintir pihak yang cenderung meletakkan label ‘muktazilah zaman moden’ kepada sesiapa yang menggunakan akalnya (i.e. berfikir) untuk memahami agama. Sikap sebegini teramatlah dikesali… Sewajarnya ruang untuk berfikir secara kritis ini dibuka seluas-luasnya agar tahap pemikiran umat tidak lagi berada di takuk lama. Namun dalam masa yang sama, usaha sebegini perlu disertakan dengan input ilmiah dan bimbingan bagi mengelakkan timbulnya salah tafsir atau tafsiran mengikut hawa nafsu. (contoh terbaik; Jaringan Islam Liberal dan SIS).

Seperkara lagi, isu-isu cabang ini, pada hemat saya, tidak sewajarnya diperbesar-besarkan sehingga boleh membawa kepada perselisihan dan persengketaan. Keutamaan seharusnya diletakkan kepada perkara-perkara pokok yang melibatkan soal hidup ataupun mati kita. Dunia hari ini menyaksikan bahawa umat Islam sendiri sudah tidak lagi menerapkan hukum-hukum Allah. Sebaliknya mereka cenderung untuk menceduk perundangan dan juga sistem yang lain daripada ideologi ciptaan akal manusia. Inilah antara cabaran yang seharusnya diberikan penekanan. Demikian juga dengan soal akidah (isu murtad) dan juga kebejatan sosial yang berleluasa saban hari.

Berkenaan soal-soal ibadah pula, tidak dinafikan bahawa setiap satu amal tersebut mestilah dibuktikan kesahihannya melalui dalil-dalil yang diterima syarak. Namun sekiranya terdapat khilaf, maka hendaklah kita mengambil sikap berlapang dada terhadap perbezaan yang ada, selagi mana tidak bercanggahan dengan syarak. Selain itu, kita perlu faham akan perbezaan taraf pendidikan di kalangan ahli masyarakat. Oleh yang demikian, janganlah dipaksakan supaya setiap orang WAJIB mengetahui dalil bagi setiap ibadah yang dilakukannya. Kesian kat pakcik-pakcik, makcik-makcik di kampung yang kerja sebagai petani, nelayan, etc.

Pada hemat saya, ada baiknya usaha mendekatkan masyarakat kepada Islam diberikan penekanan terlebih dahulu. Setelah itu, usaha bagi menggalakkan umat untuk lebih terbuka dan berpemikiran kritis pula dilaksanakan. Saya percaya, masyarakat pada hari ini secara umumnya lebih ramai yang berpendidikan dan terdedah kepada perkembangan dunia luar. Oleh itu, apa yang perlu dilakukan terlebih dahulu ialah untuk menarik mereka supaya cenderung kepada Islam, bukan sekadar dalam aspek ruhiyah, bahkan meliputi seluruh aspek kehidupan mereka.

Dalam masa yang sama, sewajarnya para ilmuan berusaha melengkapkan masyarakat dengan ‘basic tools’ dalam menyediakan mereka kepada perubahan. Misalnya apabila ingin membicarakan tentang soal bidaah, maka hendaklah disampaikan terlebih dahulu ilmu berkenaan ‘sunnah’ ataupun af’al ar-Rasul (perbuatan Rasul). Sekadar memberikan contoh… Janganlah terus mengatakan “itu tak betul, ini tak betul…”

Dan sudah semestinya usaha ini tidak sepatutnya ditanggung oleh pihak berwajib semata-mata. Sebaliknya ia memerlukan kerjasama erat antara semua pihak, khususnya para daie di luar sana. Ayuh, inilah peluang bagi kita semua untuk beramal…

Ohye, terlupa pula… Terdapat sesetengah pihak yang melihat amalan taqlid sebagai sesuatu yang teramatlah negatif. Sedangkan sikap ini diizinkan oleh syarak selagimana ia tidak menyentuh bab akidah (kerana dalam akidah kita dilarang untuk bertaklid).

Yang sebenarnya taqlid ini bukanlah seburuk yang disangka, bahkan dalam hal-hal tertentu ia lebih baik daripada sikap sering mempersoalkan setiap sesuatu yang diajarkan kepada kita. Kadang-kadang rimas juga bilamana setiap sesuatu yang kita sampaikan dibalas dengan kata-kata “Apa dalilnya?”

Sungguhpun demikian, tak bermakna saya menyeru supaya kita semua diam dan terima sahaja apa yang disampaikan. Harap tak disalahfaham pula…

Pada pandangan saya, amalan taqlid boleh saja berjalan seiring dengan pemikiran yang kritis (critical thinking). Kerana taqlid tak semestinya taklid buta. Terdapat juga taqlid yang disertakan dengan ilmu. Mereka yang bertaqlid setelah memahami apa yang diikutinya serta proses bagaimana sesuatu ijtihad itu dikeluarkan dikenali sebagai muttabi’ (atau muqallid muttabi’). Sewajarnya setiap daripada kita berusaha untuk mencapai tahap tersebut. Kalau nak jadi mujtahid agak sukar untuk dicapai, apatah lagi orang yang tak ambil jurusan agama seperti saya ni.

Taqlid juga tidak menghalang kemajuan, selagi konsepnya tidak disalahfahami. Apa yang membahayakan ialah apabila seseorang itu mengambil langkah untuk memahami hukum tanpa cenderung kepada pendapat mana-mana ulama’, sedangkan ilmu dalam dirinya masih belum mencukupi. Dikhuatiri akan timbul salahfaham dan kekeliruan yang boleh membawa kepada kesesatan.

Wallahu’alam…

saya bersetuju dengan pendapat saudara….rimas jugak kalau setiap apa yang disampaikan akan dibalas dengan “Apa dalilnya?”, “kitab mana awak rujuk?”….terganggu jugak tumpuan kita dalam proses mencerahkan fikrah. iyelah kita bukan nya orang yang menerima pendidikan langsung dalam ilmu hadith….belajarlah untuk berfikir…Berfikir menggerakkan diri mencari kebenaran, mengenal pasti kebaikan. Justeru berfikir mesti segera bertemu bekal, agar jangan sudahnya bebal.
Banyak sungguh soalan yang mahu ditanya. Tetapi sedikit sekali usaha untuk menjawabnya.
Bersoal jawab adalah proses belajar yang penting. Tetapi tasawwur sukar dibina hanya dengan soal jawab. Bertanya kepada google.com atau Ustaz Haji Google.Com atau ustazah Yahoo, kedua-duanya akan membekalkan kita dengan jawapan, tetapi tidak membantu membina gambaran. Gambaran hasil proses berfikir akan menjadikan kita seseorang yang ada prinsip, bukan sekadar bertaqlid buta. seperti pandangan saudara, bertaqlidlah kita seiring dengan kita mengetahui dalil-dalilnya dan tidak berhenti dari proses pembelajaran.

wassalam

Terima kasih atas pandangan yang diberikan. Mudah-mudahan umat Islam khususnya di Malaysia akan bersikap lebih terbuka pada masa akan datang.

wassalam…

“Saya amat bimbang pendekatan yang dibuat oleh KDN mengharamkan buku-buku yang tidak selaras dengan pandangan panel yang dilantik oleh mereka. Tindakan ini kemungkinan boleh menjuruskan negara kepada sikap anti-akademik, jumud dan tidak terbuka. Itu bukanlah pendekatan dalam membangunkan minda rakyat dan percambahan ilmu.

Tidak wajar sesebuah buku diharamkan melainkan terbukti mengancam keselamatan negara (tafsiran yang betul) atau jelas tanpa syak ia bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah. Kita patut mengizinkan kepelbagaian tafsiran dan pemikiran hidup dalam negara ini secara sihat, selagi ia tidak menghina Allah dan RasulNya. Alasan-alasan pengharaman yang hanya menyebut “boleh mengelirukan orang ramai” lalu sesebuah buku diharamkan amat tidak munasabah. Itu membawa kepada sikap primitif yang tidak layak bagi masyarakat moden.

Contohnya paling terbaru KDN mengharamkan buku “Pelik Tapi Benar Dalam Solat” yang dikeluarkan oleh Telaga Biru. Setelah saya membaca buku tersebut, saya tidak dapati adanya perkara yang bercanggah dengan al-Quran atau al-Sunnah. Bahkan penulisnya mengemukakan alasan-alasan ilmu yang dipegangnya.

Mungkin ada beberapa perbezaan pendapat di kalangan sarjana dalam perkara-perkara yang disebutkan itu, tapi bukan bercanggah dengan prinsip Islam. Jika ada, saya meminta mereka mengemukakan bukti secara ilmiah bertulis bukan ‘main cakap sahaja’.

Tanpa mengira siapapun panel yang telah mereka lantik. Ilmu tidak diukur dengan jawatan tetapi fakta dan angka. Kalau panel berkenaan mahu buku mengikut kehendak mereka, merekalah yang tulis. Hak penulis mengemukakan alasan-alasannya. Dalam Islam, selama mana ia tidak menyanggahi al-Quran dan al-Sunnah, biarlah dunia ilmiah itu bercambah.

Bukanlah tujuan saya untuk membela buku tersebut, tetapi kecenderungan mengharamkan bahan-bahan akademik atau ilmiah tanpa alasan yang konkrit boleh merosakkan percambahan ilmu.

Jika manusia yang hendak dihukum pun dimestikan untuk dikemukakan alasan yang cukup, apakah boleh bahan ilmiah yang menjadi keperluan asas manusia dihukum tanpa alasan yang jelas? Apakah kita ingin negara menuju ke zaman gelepan gereja yang menghukum apa sahaja ilmu yang tidak serasi dengan kelompok tertentu tanpa alasan?

Lebih daripada itu, apakah negara yang ingin maju seperti kita perlu untuk mengharamkan bahan-bahan ilmiah hanya kerana tiada selaras dengan selera KDN? Kalau begitu kita sedang mundur ke belakang, bukan sedang membina modal insan.

Maka, apakah kita patut mengharamkan internet, segala macam buku hanya kerana ada orang yang rasa keliru? Apakah setiap kekeliruan pembaca, dosanya semesti ditanggung oleh buku?. Cara begini nampaknya kita masih mundur.

Saya bersetuju mungkin ada buku yang boleh diharamkan, tetapi kemukakan alasan ilmiah, baru ia diharamkan. Jika jelas buku itu berdusta atas nama Allah dan rasulNya, maka boleh diharamkan. Namun itu memerlukan bukti ilmiah”.

Terima kasih atas komen yang diberikan. Benar, sampai ke hari ini saya masih lagi tak mengetahui apakah punca sebenar mengapa buku tersebut diharamkan. Adakah didasarkan hujah akademik, ataupun sekadar kebimbangan yang tak bertempat?

salaam. saya pon tak faham kenapa buku ni diharamkan sedangkan di dalam buku itu ade tertulis dalil2 yang sah. tempat lahir saya adalah di madina,saudi arabia, dan menjadi satu perkara yang biasa bagi para jemaah perempuan baik di masjidil haram atau pun masjidin nabawi untuk mengendong bayi ketika bersolat. dan perkara2 lain yang ada dalam buku tu pon ade sebab yang sangat munasabah. islam kan agama yang menyenangkan, bukan menyusahkan. kalau duit kite jatuh, lepas tu orang lain sebat, sape nak tanggung. buku ini menghilangkan rase was kite bile nak buat sesuatu dalam solat. oh, and buku ni masih lagi dijual di singapura.

Salam, terima kasih Sumaiyah kerana sudi memberikan komentar. Benar, sepengetahuan saya (yang tak seberapa ini), buku tersebut sememangnya tidak bermasalah. Namun kalau tak silap, pengharaman terhadap buku tersebut sudah ditarik balik. Sudah lama juga saya tak mengikuti perkembangan mengenai buku tersebut…

Terkadang, bukan semua yang “diharamkan” oleh pihak berkuasa itu benar-benar haram di sisi syarak. Yang penting, kita semua membuat penilaian dari kacamata syarak dan bukannya berdasarkan akal yang tidak dibimbing wahyu…

Wallahu’alam… =)

salaam. betul tu pendapat awak. kite perlukan lebih banyak lagi muslim yang berfikiran seperti awak, dan bukan menganggap orang yang membawa pembaharuan sebagai wahabi. semoge islam terus berkembang, insya Allah :)

Salam,

Masalahnya kelompok-kelompok yang kononnya bermanhaj salaf (dan selain mereka semuanya tak mencontohi salaf) ni tak pernah nak tolerate dengan orang lain. Saya akui, bukan semua yang bersikap macam tu, tapi setakat ni hampir kesemua geng salafi yang saya jumpa gemar benar mengkritik kelompok lain, seolah-olah tak ada langsung kebaikan daripada gerakan Islam lain. Itu je masalahnya… Apa hak kita nak mengaku kitalah yang 100% mencontohi salafussoleh? Benda tu kan ijtihad ulama’. Jadi tak patutlah nak claim kitalah sahaja yang benar, yang lain tu sesat atau keliru. Lainlah kalau gerakan tu memang langsung tak mencontohi sunnah Nabi, dan langsung tak merujuk kepada sumber-sumber syarak sebagai rujukan. Ataupun puak-puak yang mentafsir sumber-sumber tersebut mengikut hawa nafsu. Itu lainlah ceritanya…

Kepada tuan punya blog, anda ni promosi geng-geng salafi, tapi dalam masa yang sama mereka “tikam” anda di belakang. Cuba baca di internet, apa pandangan mereka terhadap Hizbut Tahrir… Saya rasa anda ni macam penyokong HT berdasarkan entri-entri anda & juga link yang ada.

Wallahu’alam.

Salam, Muslim. Terima kasih kerana sudi memberikan pandangan. Bagi saya, terpulanglah kepada mereka, yang penting saya tak mahu terlibat sama dalam polemik “siapa yang lebih salaf?” kerana isu ni kalau dibincang memang takkan berkesudahan. Ya, saya setuju bahawa ia merupakan ijtihad ulama’, dan tiada sesiapa yang boleh claim 100% dialah yang salaf kerana ijtihad seseorang ulama’ boleh jadi betul, boleh jadi salah.

Memang tak dinafikan, geram juga bila dituduh dengan bermacam-macam dakwaan, tapi bila fikir balik, tak ada gunanya saya melayan orang-orang macam tu. Kalau diterangkan pun, mereka tetap dengan pendirian asal, sebab mereka ni (bukan semua) dah pun menghukum sebelum menilai. Ada yang baik juga, jadi harap tak memukul rata. Bahkan saya sendiri terlibat dalam sebuah komuniti forum mereka (al-fikrah.net). Walaupun ada yang bersikap tak terbuka, tapi masih ramai lagi yang terbuka & berlapang dada. Biarlah si luncai dengan labu-labunya.

Wallahu’alam…

salam.
agak menghairankan…kalau benar diharam kan… knapa masih dipasaran?
hehe…
baru smalam jalan2, banyak je bertebaran buku2 itu.
cancel `haram’ kot.
opps.
apa2lah…yg penting slaku `ulat buku’ jgn lah main `cedok’ saja…
sudah tanggungjawab kita utk mengkaji ilmu yg dipelajari.
w/bgaimana pun bravo crdt to moderator.
i wonder why la kan… ex: solat di masjidil haram & nabawi mcm2 jenis@style. Tapi org solat je, ikot je imam yg sorg tu. Tak de hal pon.
tapi knape ya, sesetengah hal di Malaysia ni, mcm2… 8)::rolling-ing my eyes::

Amir, betul lah tu… seingat saya pengharaman dah ditarik balik tak lama dulu… Seperkara lagi, demikianlah suasana umat Islam di negara ni. Ternyata kerja kita masih banyak lagi, terutamanya dalam mengubah mentaliti masyarakat… Cumanya kita tak boleh memaksa dengan mendadak sehingga boleh menimbulkan penentangan. Wallahu’alam… =)

– ghazi

p/s: Sekarang sedang membaca Formula Solat Sempurna yang ditulis oleh UZAR… Alhamdulillah huraiannya mudah diikuti dan difahami khususnya bagi ‘orang awam’ / layman macam saya ni…

aik…cam peminat UZAR je… hurm =}

Hehe… selagimana ilmu itu bermanfaat dan tidak bercanggah dengan syariat, pada saya tak kiralah siapa penulisnya. Ada juga beberapa perkara yang saya tak sependapat dengan UZAR, namun tak bererti saya memperlekehkan beliau. Saya tetap menghormati beliau selaku seorang ustaz yang jauh lebih berilmu berbanding saya dalam bidangnya yang tersendiri…

Alhamdulillah, rasanya buku tersebut memang sesuai bagi saya dalam memperbaik mutu ibadah solat saya. – ghazi

saya ingin benar membaca buku ni..ada sesiapa yang mempunyai ebook untuk buku ini??kita sebagai umat islam,ada 4 mazhab yang besar di mana kita boleh ikuti,jika buku ini berdasarkan hadis-hadis sahih,bagus juga kita mengetahui untuk lebih memudahkan kita lagi mengerjakan sholat apabila dalam keadaan sedemikian.

Salam, maaf saya tak mempunyai salinan berbentuk pdf. Tapi rasanya boleh dapatkan dalam bentuk hard copy kerana seingat saya pengharamannya sudah ditarik balik. Sejauhmana kebenarannya, wallahua’lam. Saya tak dapat nak pastikan. Mungkin shar boleh cuba cari di kedai-kedai buku berhampiran.

Terima kasih. Wassalam.

dulu saya pernah membaca dan membelek buku tu, ia mengujakan apatah lagi siap di persembahakan dgn sokongan gambar2……namun saya bersetuju ia ditarik balik dari pasaran bukan kerana ia tidak betol, tetapi kerana terlalu banyak perkara asing yg diketengahkan yg tidak menjadi amalan dalam ibdat solat masyarakat kita….ia boleh mengelirukan org awam dan tidaklah munasabah untuk mengajar/memperkenalkan perkara asing itu kepada orang awam sekadar melalui sebuah buku…

Terima kasih ummuhanah atas komentar… Hm… jadi bagaimana hendak menyampaikan dengan cara yang tidak mendatangkan kekeliruan dalam masyarakat? Mungkin perlu perkenalkan topik ‘memahami prinsip khilaf’ dsb dalam silabus pendidikan kita. Wallahua’lam…

buat kelas kat mesjid pun elok…..walau tak diserap dalam silibus pendidikan….

yang banyak tak faham prinsip khilaf ni syabab HT la rasanya, dlm menentukan perkara-perkara yg boleh atau tak boleh khilaf punkadang HT nak bertegang juga….. :D,

kebanyakan gerakan islam di Malaysia ni dah boleh saling lapang dada dah, dan menjaga keharmonian ukhwah sesama gerakan islam…..yg HT je dok keras situ la… sampai menghentam ‘secara terbuka’ gerakan islam lain, …yo dok?….:D

:)

Salam semua,

Satu blog informasi yg bagus dan pada pendapat saya ia juga satu wadah perkongsian idea yg bagus. Secara peribadi, saya hanyalah orang awam (layman) yg jahil tentang agama.

Akan tetapi sejahil-jahil saya ini dalam bab agama, alhamdulillah..sekurang-kurangnya dapat lagi saya menilai dan membezakan asas yg benar dan salah. Agak terkilan saya pada masa ini yg mana gerakan ‘tajdid’ yg dipelopori oleh ‘Kaum Muda’ semakin berleluasa malah semakin mendapat sokongan pula terutama dikalangan belia-belia Islam.

Salam dgn Imam selepas solat, bacaan Yassin pada malam Jumaat, berzikir ‘jahar’ selepas solat di kategorikan sebagai bid’ah. Ajaran-ajaran Imam-Imam Sufi seperti Imam Abu Hasan Syadzili, Imam Abdul Kadir Jilani (sekadar menyebut beberapa nama) Imam Ja’afar As-Shadiq dengan doa-doa serta Hizib-hizib mereka di wartakan sebagai sesat oleh ‘Kaum Muda’. Sedangkan para ahli suffah ini telah dimuktabarkan sebagai Wali Allah…malah Imam Syafie r.a dikatakan apabila buntu menghadapi sesuatu permasalahan hukum akan merujuk pendapat para Sufi untuk mendapatkan panduan kerana para Sufi ini bebas dari sebarang hajat dan nafsu duniawi (apatah lagi cita-cita nak duduk di Putrajaya….hehe)

Pada pemahaman cetek saya ini, para ‘Kaum Muda’ yg giat ber’tajdid’ atas nama ‘memurnikan Islam’ ini menjadikan ‘pemisahan secara berperingkat aspek kerohanian dalam Islam’ sebagai objektif paling utama dlm perjuangannya.

Sekadar sebagai contoh, bab solat. ‘Kaum Muda’ melihatnya sebagai satu ibadah semata-mata. Solat bagi mereka ialah satu aktiviti yg melibatkan gerakan dan perungkapan lisan sebagaimana yg telah diaturkan dan ia adalah syarat wajib bagi setiap yg mengaku Islam.

Sedangkan para guru-guru agama yg arif (tidak termasuk guru-guru agama ‘Kaum Muda’) melihat lebih dari aspek lahiriah tetapi juga aspek kerohanian dlm solat. Solat itu dikatakan sebagai komunikasi di antara hamba dengan Penciptanya. Masa solat inilah terasa betapa hinanya dan kerdilnya manusia di depan Yang Maha Pencipta, masa solat inilah segala keresahan diluahkan dan keampunan di pinta. Ini sekadar secebis sahaja aspek solat dlm Islam (Islam yg tidak ‘dimurnikan’ oleh Kaum Muda). Jika dilanjutkan perbincangan aspek solat ini, rasanya ini bukanlah gelanggangnya. Rujuklah pada mana-mana guru sekolah agama atau jika ingin menghayati solat sebagaimana Rasulullah dan para sahabat solat maka rujuk sajalah pada yg arif.

Banyak di khabarkan tentang perjuangan ‘memurnikan Islam’ oleh Jamaluddin Al-Afghani dan Muhammad Abduh dlm akhir kurun ke 20 tetapi jarang di maklumkan apa yg dilakukan semasa ‘memurnikan Islam’ ini di jalankan. Jarang kita dengar atau baca tentang apa yg dibuat oleh keluarga ‘as-Saud’ semasa mengambil-alih Mekah dari Syarif Mekah (yg dipegang oleh Bani Hashim).

Seeloknya para pengikut ‘Kaum Muda’ ini memahami asas perjuangan Salafi dan yg paling penting memahami sejarah perjuangan mereka. Kemudian bertanyalah pada diri sendiri..”Tergamakkah aku?”

Ini cuma coretan seorang yg jahil tentang agama Islam, mohon tunjuk ajar dari mereka yg arif (baik Kaum Muda atau ilmuan Islam).

Wassalam.

Irwan

Assalamualaikum, terima kasih sdr irwan atas komen yang diberikan. Maaf kerana lewat mengesahkan komen tersebut, saya agak kesibukan pada minggu ini.

Saya berlepas diri daripada konflik kaum Muda-kaum Tua. Berdasarkan pengalaman saya yang cetek ini, saya dapati:

Ada yang terlalu ghairah sehingga terlupa menjaga akhlak dalam menegur. Tidak berhikmah dalam menegur. Ada yang terlalu teruja sehingga gagal membezakan antara bidaah dan juga khilaf. Ada yang terlalu taksub sehingga segala pendapat yang datang daripada kumpulan lain ditolak “until proven otherwise”.

Ada pula yang terlalu rigid dan pantang ditegur. Apabila ditegur, dikatakan sebagai kurang ajar dan tidak hormat amalan turun temurun. Ada yang begitu ego, enggan menerima teguran kerana yang menegur itu jauh lebih muda berbanding dirinya. Ada juga yang berniat baik dalam mengejar redha Allah, tetapi terlupa bahawa manusia yang paling dekat dengan-Nya adalah Nabi Muhammad SAW. Justeru, dalam mengejar mardhatillah sewajarnya amalan baginda lah yang wajar dicontohi. Malangnya, mereka dapati bahawa apa yang sudah ditunjukkan oleh Baginda SAW itu tidak memadai dan perlu ditambah-tambah.

Wallahua’lam… yang penting, apabila kita berselisih, maka hendaklah kita kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah, sebagaimana yang diseru oleh Allah SWT dalam ayat berikut;

“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah dia kepada Allah (Al-Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya” (Qs. An-Nisa’ 59).

Demikianlah formula yang telah digariskan oleh syarak apabila kita berdepan dengan sebarang perselisihan. Wallahua’lam

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Calendar

Ogos 2008
F S S M T W T
« Jul   Sep »
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
293031  

Archive

Sudahkah anda membaca al-Quran pada hari ini?

Bilakah kali terakhir kita membaca al-Quran?

Truth About Democracy – Click to Read the Article

Democracy is not compatible with Islam

Truth About Democracy

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 12 other followers

Sikap Kita Terhadap Sesama Daie

Sikap Hizbut Tahrir sendiri terhadap gerakan-gerakan Islam lainnya setidaknya tercermin dari pernyataan Amin Nayaf , salah seorang tokoh Hizbut Tahrir –ketika beliau memberikan jawaban atas tuduhan terhadap beliau yang telah menyebarkan pemikiran Mu’tazilah: “Janganlah kalian mencoba untuk mencari permusuhan atau mengarah pada permusuhan terhadap gerakan-gerakan Islam lainnya. Kita harus waspada terhadap pihak-pihak yang mencoba untuk memecah-belah gerakan-gerakan Islam. Kepada merekalah seharusnya serangan itu dilancarkan.

Persoalan tentang Baiah al-Inah

Blog Stats

  • 107,715 visits

Top Rated

Reminder to All Muslims around the World

“Say: If it be that your fathers, your sons, your brothers, your mates, or your kindred; the wealth that ye have gained; the commerce in which ye fear a decline: or the dwellings in which ye delight – are dearer to you than Allah, or His Messenger, or the striving in His cause;- then wait until Allah brings about His decision (ie. Torment): and Allah guides not the rebellious.” [TMQ Surah At-Tawbah: 24]
%d bloggers like this: