apo nak dikato

Menegur tanda kasih (bukannya membenci)

Posted on: Jun 2, 2008

Manusia tidak pernah lari daripada berbuat kesilapan. Tiada manusia yang sempurna. Ada kalanya terleka, ada kalanya terpesona, ada kalanya terpedaya. Tidak kurang juga yang hanyut dibuai kesenangan hidup di dunia. Ada juga yang terpengaruh dek anasir-anasir yang membinasakan.

Dan para pejuang Islam yang ikhlas berjuang di jalan-Nya juga tidak terkecuali daripada hakikat ini… Atas dasar inilah, proses saling memuhasabah sewajarnya dimekarkan di kalangan pejuang Islam itu sendiri khasnya dan dalam masyarakat amnya. Di samping itu, seharusnya para pejuang Islam itu tidak merasakan bahawa dirinya beserta kelompoknya itu bersifat eksklusif dan ‘pantang dicabar’. Sikap sebegini bukan sahaja merugikan dan membantutkan proses pembinaan, bahkan bisa merosakkan serta mendatangkan fitnah kepada gerakan Islam itu sendiri.

Terkadang, proses muhasabah ini acapkali disalah erti sebagai satu usaha menjatuhkan dan memburuk-burukkan individu dan juga jemaahnya. Sedangkan saling menasihati itu merupakan sebahagian daripada tuntutan Islam. Dan berikanlah peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu baik bagi orang-orang mukmin…

Dalam al-Quran mahupun hadis tidak pernah ditemui sebarang pengecualian kepada mana-mana individu Muslim, dari sebaik-baik mukmin sehinggalah kepada sang Muslim yang hanya beramal secara ‘suam-suam kuku’ saja dalam memberi dan menerima peringatan. Janganlah kerana kita merasakan bahawa diri kita ini berperanan sebagai sang daie (pendakwah), kita telah terlepas daripada menjadi seorang mad’u (orang yang didakwah). Jangan kerana terlalu izzah dan sayangnya kita terhadap jemaah kita, maka sesiapa saja yang cuba mengkritik (walaupun ia ikhlas dan bersifat membina), terus kita memarahinya dan bersikap dingin terhadap teguran yang disampaikan.

Jangan pula kerana terlalu memandang tinggi kepada ketokohan dan peribadi pemimpin kita, langsung kita tak mengkaji sejauh mana kebenaran sebarang perkara yang disampaikan oleh pemimpin tersebut. Namun, dalam mengkaji dan mengkritiknya, perlulah ada adabnya, jangan sampai kita memperlekehkan dan bersikap kurang ajar pula. Mungkin bangsa Melayu khususnya, dan orang Islam di rantau ini tidak biasa dengan budaya mengkritik. Bahkan ada segelintir yang menganggap kritikan terhadap pemimpin itu merupakan suatu yang bersifat taboo dan terlarang. Sedangkan kritikan itu ada kalanya perlu bagi menjamin keberlangsungan perjuangan yang didokong, serta mengelakkan kita daripada dipergunakan oleh orang-orang yang berkepentingan peribadi. Apatah lagi jika gerakan itu mendokong aspirasi perjuangan Islam. Bukan ketokohan itu yang menjadi ukuran, sebaliknya nilailah kebenaran yang dibawanya.

Sewajarnya kita membuang jauh-jauh sikap taksub kepada kelompok kita sendiri sehinggakan kita terlepas pandang akan kesilapan yang terjadi dan juga kelemahan yang berlaku. Di samping itu, keterbukaan dalam bermuzakarah juga merupakan sikap yang terpuji demi mengelakkan pertelingkahan yang sia-sia. Yang menegur tak semestinya lebih pandai daripada yang ditegur. Yang ditegur pula tak bermakna lebih hina ataupun bodoh berbanding yang menegur. Boleh jadi juga yang menegur itu sebenarnya yang tersilap. Sekiranya ini yang terjadi, maka sudah menjadi kewajipan bagi orang yang ditegur itu memperbetul kesilapan yang ada pada si penegur.

Janganlah kita menilai sesuatu dengan hanya berbekalkan emosi ataupun semangat sahaja tanpa disatukan dengan fikrah yang terlahir daripada akidah Islam. Penyatuan antara fikrah dan ruhiyah Islam itu merupakan suatu yang penting bagi memastikan bahawa setiap tindak-tanduk kita ini benar-benar berlandaskan bimbingan wahyu, dan bukannya lahir daripada sumber-sumber yang lari daripada panduan Ilahi. Ingatlah bahawa syaitan itu sentiasa mencari ruang bagi memecahbelah dan menyesatkan manusia. Sesungguhnya syaitan itu musuh kita yang nyata…

Jangan sesekali kita melabelkan seseorang sebagai musuh ataupun ‘proksi kepada musuh’ dengan begitu mudah; hanya kerana pandangan mereka tidak sama dengan pendapat yang kita pegang selama ini. Boleh jadi pendapat mereka itu ada benarnya, dan pandangan kita pula terdapat kekurangan.

Ada sesetengah pihak pula mengambil pendekatan yang berbeza. Mereka berpegang kepada sikap ‘berlapang dada’ atas perkara yang tidak disepakati lalu langsung mengelak daripada membincangkannya. Sudahnya, sebarang kesilapan dan juga kekurangan yang cuba ditegur itu tidak sampai kepada pihak yang ingin ditegurnya. Ini bukan sikap ‘berlapang dada’ yang sebenarnya. Berlapang dada tak bermakna kita mengabaikan apa saja pandangan yang berbeza dengan pegangan kita. Berlapang dada ini sepatutnya terjadi setelah kita memahami pendapat yang berbeza itu, lalu kita menerimanya sekiranya ia benar, dan menegur sekiranya pendapat tersebut tidak tepat. Namun dalam masa yang sama, kita tidak memaksa pihak tersebut menerima pendapat kita. Inilah yang dimaksudkan sebagai berlapang dada pada hemah saya yang serba kekurangan ini. Betulkan saya sekiranya saya tersilap…

Tuntasnya, proses muhasabah sewajarnya dihidupkan di kalangan masyarakat terutamanya sesama umat Islam, termasuklah di kalangan pemimpin yang diamanahkan untuk menguruskan negara. Jangan pula disekat teguran-teguran yang diberikan dengan hukuman-hukuman dan denda. Jika dibiarkan berterusan begini, maka pemimpin tersebut merupakan pemimpin yang ‘syok sendiri’.

Jadi, bilamana sistem hidup yang diterapkan itu tidak menepati syariat Islam, maka wajib bagi setiap individu Muslim untuk menjalankan muhasabah supaya diubah menjadi selari dengan panduan wahyu mengikut kapasiti masing-masing.

Di kalangan jemaah-jemaah pula, hendaklah diwujudkan kerjasama yang utuh bagi mencapai matlamat kita yang sama, iaitu mardhatillah… Dalam menjalin kerjasama ini, bukan sahaja titik pertemuan sahaja yang dicari, bahkan segala perbezaan itu hendaklah dimuzakarahkan secara berhemah demi mencapai kesepakatan dalam kebenaran. Mudah-mudahan melalui usaha sebegini, ikatan yang lebih utuh akan terjalin lalu memudahkan lagi gerak kerja ke arah mencapai kemuliaan Islam.

Sesungguhnya, tiada ikatan yang lebih tinggi berbanding ikatan ukhwah Islamiyah. Jangan pula disebabkan ‘baiah’ ataupun ‘qasam’ kita kepada pimpinan menjadi punca perpecahan di kalangan kita. Kewujudan berbilang jemaah ini bukanlah bertujuan untuk memecah-belahkan umat Islam.

Dan sesungguhnya penyatuan yang hakiki itu bukanlah sekadar ikatan persaudaraan dan ruhiyah semata-mata. Sebaliknya ia termasuklah penyatuan secara politik di bawah satu kepimpinan iaitu khilafah yang memayungi seluruh umat Islam.

P/s:Menegur itu tanda kasih sesama Muslim…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Calendar

Jun 2008
F S S M T W T
« May   Jul »
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
27282930  

Archive

Sudahkah anda membaca al-Quran pada hari ini?

Bilakah kali terakhir kita membaca al-Quran?

Truth About Democracy – Click to Read the Article

Democracy is not compatible with Islam

Truth About Democracy

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 12 other followers

Sikap Kita Terhadap Sesama Daie

Sikap Hizbut Tahrir sendiri terhadap gerakan-gerakan Islam lainnya setidaknya tercermin dari pernyataan Amin Nayaf , salah seorang tokoh Hizbut Tahrir –ketika beliau memberikan jawaban atas tuduhan terhadap beliau yang telah menyebarkan pemikiran Mu’tazilah: “Janganlah kalian mencoba untuk mencari permusuhan atau mengarah pada permusuhan terhadap gerakan-gerakan Islam lainnya. Kita harus waspada terhadap pihak-pihak yang mencoba untuk memecah-belah gerakan-gerakan Islam. Kepada merekalah seharusnya serangan itu dilancarkan.

Persoalan tentang Baiah al-Inah

Blog Stats

  • 107,715 visits

Top Rated

Reminder to All Muslims around the World

“Say: If it be that your fathers, your sons, your brothers, your mates, or your kindred; the wealth that ye have gained; the commerce in which ye fear a decline: or the dwellings in which ye delight – are dearer to you than Allah, or His Messenger, or the striving in His cause;- then wait until Allah brings about His decision (ie. Torment): and Allah guides not the rebellious.” [TMQ Surah At-Tawbah: 24]
%d bloggers like this: