Posted by: muhammadghazi on: Ogos 4, 2011
Assalamualaikum,
Sewaktu saya menulis entry ini, umat Islam sudahpun menunaikan ibadah puasa pada hari keempat. Meskipun agak terlewat, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan “Ramadhan Kareem~!” , selamat menyambut Ramadhan pada tahun ini… Mudah-mudahan kita beroleh keberkatan dan istiqamah dalam beramal demi mencapai keredhaan-Nya. Ameen…
Marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mengejar keberkatan yang terdapat pada Ramadhan, serta berusaha untuk mengekalkan momentum tersebut sehingga ke bulan-bulan selanjutnya. Rebutlah peluang yang hanya tiba sekali sahaja pada setiap tahun ini untuk meningkatkan lagi ketaqwaan kita kepada Allah swt. Insya Allah.
Dalam pada itu, jangan pula kita lupakan kewajipan kita yang lain. Dakwah tetap wajib dijalankan, jangan pula kita menjadi seorang yang mementingkan diri – hanya menyibukkan diri dengan ibadah mahdhah sehingga terlupa pada kewajipan kita yang lainnya. Ada yang istiqamah menunaikan solat tarawih, tetapi anak-anaknya ditinggalkan di rumah dan alpa dalam menunaikan solat fardu. Ada yang istiqamah mengejar khatam al-Quran, tetapi cuai dari sudut tajwid dan makhraj bacaan. Ada yang asyik bersedekah di masjid-masjid, tetapi lupa pada penderitaan umat Islam di segenap pelusuk dunia. Ada yang ghairah mengejar iktikaf di masjid, tetapi leka dengan kewajipan berusaha menyeru kepada penerapan syariat Islam serta mengembalikan khilafah. Jangan, jangalah kita leka dengan ibadah sunat sehingga mengabaikan kefardhuan yang sewajarnya dipikul di bahu kita…
Akhir kata, mudah-mudahan Ramadhan kali ini menjadi titik tolak kepada perubahan yang mendasar pada diri kita serta pada umat keseluruhannya. Mudah-mudahan melalui kesedaran yang timbul di bulan yang mulia ini, umat akan menyedari peri pentingnya untuk kembali mengamalkan Islam secara syumul, meliputi aspek peribadi, masyarakat serta bernegara. Moga-moga Ramadhan kali ini menjadi Ramadhan yang terakhir sebelum kembalinya khilafah kali kedua yang berdiri di atas manhaj kenabian… Ameen ya Rabbal ‘Alamin…
Wassalam…