Assalamualaikum, selang beberapa hari yang lalu saya menerima sebuah SMS yang membawa berita yang mendukacitakan. Seorang senior saya telah kembali ke rahmatullah akibat komplikasi penyakit yang dialaminya di HKL pada jam 7.15 petang. Dalam keadaan yang keletihan setelah menjalani hari yang sibuk, diri saya seolah-olah tersentak dan terdiam seribu bahasa. “Innalillahi wa inna ilaihi raaji’uun…”
(yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun” [al-Baqarah (2) : 156]
Saya tidak begitu rapat dengan arwah, tetapi kami saling mengenali dan pernah berbual beberapa kali ketika beliau masih menuntut di universiti terutamanya apabila Balai Islam kolej bersidang (Balai Islam merupakan sebuah jawatankuasa yang menguruskan aktiviti surau kolej dan hal-hal penghuni Muslim). Setelah arwah tamat pengajian, kami tidak lagi berhubungan kerana masing-masing terikat dengan komitmen tersendiri. Beberapa bulan sebelum arwah meninggal dunia, saya telah menerima makluman daripada seorang lagi senior saya, bahawa arwah telah dimasukkan ke hospital kerana mengalami masalah jangkitan pada sistem pernafasannya (atypical pneumonia). Namun setelah beberapa hari, keadaan bertambah buruk dan beliau dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Di HKL, beliau telah disahkan menghidap penyakit tuberkulosis dan telah menerima rawatan baginya. Malangnya badannya tidak dapat menerima kesan ubat tersebut dan beliau telah dikejarkan ke Institut Perubatan Respiratori bagi mendapatkan rawatan selanjutnya. Rawatan asal dihentikan dan digantikan dengan alternatif lain. Keadaan arwah bertambah baik dan beliau dibenarkan pulang. Selama dua bulan keadaan arwah semakin baik dan pulih. Saya tak berkesempatan untuk menziarahi arwah kerana ketika itu saya sedang berada di Banting untuk posting Primary Care Medicine selama sebulan.