Assalamualaikum, penulisan entri pada kali ini ditujukan khas bagi adik-adik junior yang baru beberapa hari menjejakkan kaki ke alam kampus, mudah-mudahan sedikit-sebanyak dapat dijadikan panduan kepada kalian dalam menempuh hari-hari mendatang dan menyesuaikan diri dengan suasana baru yang berbeza dengan zaman sekolah kita dahulu. Insya Allah. Penulisan kali ini diolah berdasarkan pengalaman peribadi saya sendiri dan juga kisah-kisah serta pengajaran yang telah saya peroleh daripada senior-senior terdahulu. Saya bukanlah seorang pakar mahupun kaunselor bertauliah, justeru setiap perkongsian saya ini adalah bersifat amatur dan boleh disanggah seadanya. Memandangkan perkongsian kali ini adalah berdasarkan pengalaman saya, maka sudah semestinya tidak semua isinya applicable bagi kesemua freshies. Barangkali apa yang saya kongsikan itu hanya sesuai bagi pelajar perubatan semata-mata dan tidak terdapat pada kursus-kursus lain… Wallahu’alam.
Saya tidak berhasrat untuk bercerita mengenai aspek-aspek teknikal seperti pemilihan kursus, pendaftaran kelab/persatuan, pembayaran yuran, dan sebagainya, kerana perkara-perkara tersebut sudah semestinya akan disentuh secara mendalam oleh pihak universiti dan juga pihak kolej khususnya sepanjang minggu orientasi ini. Oleh itu, cukuplah jika saya nasihatkan supaya junior sekalian agar tidak teragak-agak untuk bertanya sekiranya terdapat sebarang kekeliruan mahupun pertanyaan.
Cuma ada satu perkara yang ingin saya tekankan kerana kita semua seringkali terlepas pandang mengenainya, iaitu tentang pengambilan biasiswa. Ketahuilah bahawa pinjaman PTPTN itu adalah haram di sisi syarak kerana mengandungi unsur-unsur riba’. Hanya sanya, riba’ tersebut telah dicantikkan dan cuba disembunyikan di sebalik istilah ‘caj perkhidmatan’. Untuk membaca lebih lanjut mengenai hakikat PTPTN di sisi Islam, sila klik link berikut: Caj Perkhidmatan PTPTN – Halal atau haram? . Sebagai seorang Muslim, sewajarnya kita menjadikan hukum syarak sebagai garis panduan dalam setiap perbuatan kita. Janganlah kita berdolak-dalih dengan menggunakan hujah pragmatik semata-mata kerana hendak mewajarkan sesuatu yang telah haram di sisi Islam. Misalnya dengan berhujah, “Ala, JAKIM dan Majlis Fatwa dah kata OK, OK lah” tanpa menilai dengan teliti hujah balas di pihak yang berpegang kepada hukum haram. Ataupun berkata, “Kalau macam tu, macam mana orang-orang kampung yang susah tu nak sambung belajar? Kau budak medic boleh lah cakap camtu, sebab kau dapat biasiswa JPA,” tanpa menyedari bahawa yang mengurniakan rezeki itu bukanlah PTPTN tetapi Allah SWT. Saya mengenali secara peribadi, seorang sahabat yang sanggup mengikat perut, bertungkus-lumus mengumpul wang untuk membiayai perbelanjaan adiknya semata-mata untuk mengelakkan riba’ serta mencari keredhaan Allah. Jika beliau boleh berkorban sedemikian, mengapa pula kita tidak boleh? Takutlah kepada azab Allah yang menanti mereka yang engkar terhadap hukum Allah, sedangkan mereka mengetahuinya.