Assalamualaikum… post saya kali ini bersifat lebih santai, menceritakan tentang kisah yang berlaku di hadapan mata saya sendiri… Namun, disebabkan peristiwa ini berlaku dalam masa yang agak singkat dan di tempat yang agak sesak, saya tak berkesempatan untuk menegur (secara baik, insya Allah) di tempat kejadian. Oleh yang demikian, daripada dibiarkan sahaja peristiwa tersebut berlalu tanpa sebarang iktibar untuk dikongsikan, ada baiknya jika dikongsikan di sini…
Kisahnya begini… semasa waktu Isya’ tadi, dengan izin Allah saya telah pergi ke surau untuk menunaikan solat secara berjemaah. Saya tiba agak lewat sedikit kerana ada ‘menunaikan hajat’ terlebih dahulu. Setibanya di sana, saya melalui tempat berwuduk yang terletak bersebelahan dengan pintu masuk. Di sinilah peristiwa yang saya maksudkan itu terjadi… Ada seorang ni, si A baru tiba di pintu masuk surau. Ketika itu orang berpusu-pusu masuk kerana iqamah sudah dilaungkan. Tiba-tiba, ada seorang ni pula, si B perasan akan kehadiran si A. (Si A merupakan seorang yang jarang datang ke surau, si B pula pengunjung setia). Dengan pandangan yang sinis, si B pun menggunakan body language yang mengisyaratkan tegur-sapa.
“Lama tak jumpa. Ingatkan tersesat jalan tadi…”
Ada ke patut dibuat sebegitu? Sepatutnya kehadiran si A ni diraikan, setidak-tidaknya janganlah sindir. Apa, hina sangat ke si A ni? Mulia sangat ke si B ni? Memang diakui, si A ni pun silap juga kerana jarang menghadirkan diri untuk solat jemaah di surau/masjid. Namun siapalah kita untuk ‘menghukumnya’? Dibuatnya hati si A tu tertutup kerana asbab sindiran tersebut, apa kita nak jawab di akhirat kelak?
Siapa tahu, mungkin hari tersebut merupakan ‘turning-point’ bagi si A untuk berubah. Bila disindir sedemikian, terbantut pula niatnya yang murni itu…
Pengajaran yang boleh kita kongsikan di sini;
1. Jangan sesekali menyindir orang lain. Jangan ingat semua orang berhati kering, bermuka tebal macam kita ni. Ada orang yang begitu sensitif.
2. Sindiran bukanlah suatu perbuatan yang bermanfaat, jauh sekali mendapat pahala. Bahkan boleh dapat dosa lagi ada lah.
3. Jangan ingat diri kita ni baik sangat, semata-mata kerana kita ni “orang surau”. Hidayah terletak di tangan Allah, bila-bila masa saja Dia boleh tarik balik.
4. Jangan bersikap eksklusif dan beranggapan bahawa kelompok kita sahaja lah yang terbaik, mamat-mamat dan minah-minah kat luar tu semuanya jahat, buat maksiat etc. Selalu juga saya dengar frasa berikut disebutkan dalam majlis-majlis ilmu / pengisian di surau; “Alhamdulillah, bersyukur kerana dalam ramai-ramai orang Allah telah pilih untuk letakkan kita dalam majlis yang mulia ini. Tidak seperti saudara-saudara kita di luar sana…”
Jika dilihat dari satu sudut, memang ada perkara positif di sana kerana kita menyampaikan kepentingan dan kelebihan menghadiri majlis ilmu. Namun di sudut yang lainnya pula, seolah-olah kita sahajalah yang baik. Orang yang tak datang majlis ni semuanya lalai, semuanya buat perkara lagha dan sia-sia. Siapa tahu, entah-entah mereka yang tidak berada dalam majlis ni turut menganjurkan majlis lain yang jauh lebih bermanfaat dan ilmiah berbanding majlis kita? Takkanlah kita “orang Islam terakhir” di dunia ni kot?
P/s: Saya tak menujukan kepada mana-mana pihak secara spesifik, sekadar menyampaikan secara umum. Kecuali kepada si B yang buruk perangainya tu… Mungkin dia bergurau senda, namun biarlah bertempat. Insya Allah sekiranya berkesempatan saya akan menegur dia seadanya…
Semoga Allah mengampuni kita semua, Amin…
Wassalam…