Pesanan Ringkas Sempena Ramadhan Ini…
DIkirim oleh muhammadghazi di September 6, 2008
Daripada Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Puasa ialah benteng dan janganlah berkata perkara keji dan jangan bertekak seperti orang bodoh”.
Alhamdulillah, sudah masuk hari kelima Ramadhan ketika post ini ditulis. Ketika berbuka puasa malam tadi, ada seorang fulan ni yang begitu lancang mulutnya memperkatakan perkara-perkara yang tak sepatutnya keluar daripada mulut seorang Muslim. Di samping itu, dia juga begitu asyik memainkan peranannya sebagai ‘penglipur lara’, membuka aib dan menceritakan keburukan orang lain. Sambil-sambil mulutnya kencang mengunyah nikmat makanan kurniaan Allah swt, sempat juga mulutnya mengeluarkan perkataan-perkataan yang kurang sopan dan juga berbentuk cercaan (curse). Perkataan yang sudah semestinya akan di-censor sekiranya muncul dalam drama di TV mahupun di pawagam. Boleh dikatakan, hampir setiap ayat yang keluar daripada mulutnya itu pasti tidak akan sunyi daripada kata-kata kesat. Astaghfirullah al-Azim…
Saya sendiri yang berada berhampiran turut menerima ’tusukan-tusukan’ yang teramatlah mencabar kesabaran saya…
Semoga Allah memberikan hidayah dan keinsafan kepadanya dan juga kepada diri saya. Amin… Mudah-mudahan kita semua tidak bersikap seperti si fulan yang saya ceritakan itu… Jangan sampai pahala amal puasa kita menjadi sia-sia di sisi Allah… Wa iyazubillah…
Sabda Rasulullah saw bermaksud: “Ramai yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa selain lapar dan dahaga.”
Daripada Anas meriwayatkan bahawa Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: “Lima perkara menghapus pahala puasa ialah berdusta, mengumpat, mengadu, membuat sumpah palsu dan melihat wanita bukan muhrim dengan nafsu syahwat.”
Sedarlah insan… Demikianlah sedikit peringatan dan pengalaman peribadi yang dapat saya kongsikan… Mudah-mudahan dapat dijadikan pengajaran terutamanya kepada diri yang menaip ini sendiri…