apo nak dikato

yang dikejar, yang dikendong…

Arkib bagi Hari 19 Jun 2008

Perigi mencari timba??!

DIkirim oleh muhammadghazi di Jun 19, 2008

Mungkin sudah ramai yang mengalami peristiwa sebegini. Tapi bagi saya, ia merupakan suatu perkara yang benar-benar mengejutkan… Dalam keadaan yang serba tak bersedia ni, tiba-tiba datang wakil merisik. Terkejut ada, takut pun ada. Maklumlah, rasa diri ni macam masih budak-budak lagi, tiba-tiba ada orang datang merisik. Namun, saya tekad dalam hati, saya ingin bersedia betul-betul sebelum membuat sebarang komitmen dalam berumah tangga. Setidak-tidaknya saya kena dapatkan kehidupan yang stabil terlebih dahulu. Bagaimana nak memimpin rumah tangga kalau diri sendiri pun tak terurus?

Teringat saya kepada junjungan mulia Nabi Muhammad saw. Baginda saw pun dirisik oleh Saidatina Khadijah. Jadi, kalau ada sesiapa yang berpandangan serong terhadap kes ‘perigi mencari timba’ ni, lebih baik dia berfikir dua kali.

Setahu saya, dalam Islam tiada salahnya kalau pihak wanita yang merisik. Tak tahulah kalau-kalau ada ijtihad atau fatwa mana-mana ulama’ yang melarangnya. Setakat ni saya tak jumpa, dan saya yakin bahawa tindakan sebegini tiada salahnya di sisi syarak. Jadi, saya menolak bukan kerana ia bertentangan dengan syarak. Juga bukan kerana saya ni memilih (sebab saya tak tahu pun siapa yang merisik tu. Yang merisik tu tak nyatakan namanya). Harap tak disalahfaham…

Saya menolak kerana saya percaya perkahwinan ni bukannya soal main-main. Hari ni kahwin, esok bercerai-berai. Lusa rujuk balik, kemudian cerai lagi. Talak tiga. Tulat cari ‘cina buta’ (perbuatan ini dilihat sebagai memutarbelit hukum Islam. Jadi jangan buat ye). Keluar masuk mahkamah syariah.

Saya tak mahu jadi begitu. Kalau boleh (saya berdoa kepada Allah taala) supaya mengurniakan saya keluarga yang bahagia sehinggalah ke akhirnya… Saya berdoa supaya melalui ikatan ini, saya dikurniakan zuriat yang soleh dan ikhlas mencari redha-Nya. Saya berdoa supaya zuriat saya akan menjadi para mujahid yang tegas memperjuang deen Allah ini. Juga menjadi ilmuan yang berjaya dalam hidupnya. Semoga Allah memperkenankan doa saya ni. Amin.

Apapun, saya tetap bersyukur ke hadrat Allah atas ujian sebegini… Peristiwa ini benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam terhadap hidup saya. Peristiwa ini menyedarkan saya bahawa masih banyak lagi yang perlu saya perbaik dalam hidup saya ini.

Wallahu’alam… Sesiapa yang ada pengalaman sebegini silalah kongsikan ye kalau berkelapangan…

Dikirim dalam santai | Tagged: , , , , | 9 Komen »