Nikmat sakit…
DIkirim oleh muhammadghazi di Jun 2, 2008
Tatkala saya menulis (menaip) post ini, saya berada dalam keadaan yang kurang sihat. Demam selsema, batuk-batuk, lemah badan. Betapa nikmatnya ketika kita sihat, dan betapa nikmatnya bila kita dapat tidur dan rehat. Kalau anda perasan, malam ini saja, sudah beberapa post yang saya taip. Sungguhpun keletihan dan tak sedap badan, namun saya tak dapat nak melelapkan mata. Jadi, daripada berterusan bergolek-golek di atas katil, saya mengambil perluang ini untuk menyampaikan serba sedikit ilmu yang telah saya pelajari selama ini. Disebabkan saya menaip dalam keadaan sebegini, kebarangkalian untuk melakukan kesilapan (baik dari segi kerangka, pengisian mahupun typo error i.e. aspek teknikal) itu agak tinggi berbanding dalam keadaan sihat. Sekiranya ada, maka sudi-sudilah menegur.
Betapa bersyukurnya saya ke hadrat Allah swt kerana mengurniakan saya kesakitan ini. Dengan merasa sakit, kita akan menyedari betapa nikmatnya mempunyai tubuh badan yang sihat dan bertenaga.
Namun ini tak bermakna saya langsung tak mensyukuri sebarang nikmat ketika sihat. Cumanya, dengan sakit dan demam ini, jiwa saya menyedari betapa lemah dan kerdilnya manusia ini.
Manusia ini kerdil, dan mudah lupa. Dengan asbab sakit ini, Allah swt telah mengingatkan saya supaya sentiasa mensyukuri nikmat yang diberikan-Nya selama ini. Alhamdulillah. Mudah-mudahan kita semua mendapat manfaat daripada perkongsian saya yang tak seberapa ini… Amin…
Rasa macam tak larat nak ke kelas pagi nanti. Walau bagaimanapun, saya akan cuba gagahkan diri untuk menghadirinya. Semoga Allah kurniakan kekuatan kepada saya dalam melaksanakan kefarduan yang tertaklif ke atas setiap individu Muslim; iaitu menuntut ilmu. Menuntut ilmu itu kefarduan ke atas setiap Muslim (lelaki dan perempuan). mafhum hadis.
Dan kalau dah tak larat sangat, mungkin saya akan minta bantuan rakan untuk membawa saya ke ACC (rawatan harian) ataupun ke Klinik Kesihatan untuk mendapatkan rawatan. Insya Allah… Kita hanya berusaha, hasilnya Allah yang tentukan… Selebihnya saya berserah sepenuhnya kepada Allah. Sesungguhnya pasti ada hikmah di sebalik kesakitan ini. Allah tidak pernah berlaku zalim kepada hamba-Nya. Maha suci Allah daripada sifat sedemikian.