apo nak dikato

yang dikejar, yang dikendong…

Arkib bagi Hari 2 Jun 2008

Nikmat sakit…

DIkirim oleh muhammadghazi di Jun 2, 2008

Tatkala saya menulis (menaip) post ini, saya berada dalam keadaan yang kurang sihat. Demam selsema, batuk-batuk, lemah badan. Betapa nikmatnya ketika kita sihat, dan betapa nikmatnya bila kita dapat tidur dan rehat. Kalau anda perasan, malam ini saja, sudah beberapa post yang saya taip. Sungguhpun keletihan dan tak sedap badan, namun saya tak dapat nak melelapkan mata. Jadi, daripada berterusan bergolek-golek di atas katil, saya mengambil perluang ini untuk menyampaikan serba sedikit ilmu yang telah saya pelajari selama ini. Disebabkan saya menaip dalam keadaan sebegini, kebarangkalian untuk melakukan kesilapan (baik dari segi kerangka, pengisian mahupun typo error i.e. aspek teknikal) itu agak tinggi berbanding dalam keadaan sihat. Sekiranya ada, maka sudi-sudilah menegur.

Betapa bersyukurnya saya ke hadrat Allah swt kerana mengurniakan saya kesakitan ini. Dengan merasa sakit, kita akan menyedari betapa nikmatnya mempunyai tubuh badan yang sihat dan bertenaga.

Namun ini tak bermakna saya langsung tak mensyukuri sebarang nikmat ketika sihat. Cumanya, dengan sakit dan demam ini, jiwa saya menyedari betapa lemah dan kerdilnya manusia ini.

Manusia ini kerdil, dan mudah lupa. Dengan asbab sakit ini, Allah swt telah mengingatkan saya supaya sentiasa mensyukuri nikmat yang diberikan-Nya selama ini. Alhamdulillah. Mudah-mudahan kita semua mendapat manfaat daripada perkongsian saya yang tak seberapa ini… Amin…

Rasa macam tak larat nak ke kelas pagi nanti. Walau bagaimanapun, saya akan cuba gagahkan diri untuk menghadirinya. Semoga Allah kurniakan kekuatan kepada saya dalam melaksanakan kefarduan yang tertaklif ke atas setiap individu Muslim; iaitu menuntut ilmu. Menuntut ilmu itu kefarduan ke atas setiap Muslim (lelaki dan perempuan). mafhum hadis.

Dan kalau dah tak larat sangat, mungkin saya akan minta bantuan rakan untuk membawa saya ke ACC (rawatan harian) ataupun ke Klinik Kesihatan untuk mendapatkan rawatan. Insya Allah… Kita hanya berusaha, hasilnya Allah yang tentukan… Selebihnya saya berserah sepenuhnya kepada Allah. Sesungguhnya pasti ada hikmah di sebalik kesakitan ini. Allah tidak pernah berlaku zalim kepada hamba-Nya. Maha suci Allah daripada sifat sedemikian.

Dikirim dalam santai | Tagged: , , | Leave a Comment »

Mencampur Air dan Minyak…

DIkirim oleh muhammadghazi di Jun 2, 2008

Berjuang demi agama, negara, dan bangsa… Slogan yang kerap diketengahkan oleh sesetengah pihak bagi menunjukkan kesungguhan dan prinsip perjuangan mereka. Mungkin ramai yang tak sedar, bahawa slogan ini hakikatnya mencampurkan antara yang hak dan yang batil. Justeru, hendaklah kita meninggalkan perjuangan sebegini dan kembali kepada perjuangan yang sebenar, iaitu dalam menegakkan deen Allah di dalam diri kita dan juga di muka bumi ini.

Agama, Bangsa, dan Negara

Memperjuangkan agama merupakan suatu yang mulia dan dituntut. Sebagai seorang Muslim, sewajarnya kita berusaha bersungguh-sungguh memperjuangkan agama kita, Islam, tanpa sebarang kompromi dan bermuka-muka. Namun ini tak bermakna kita menindas dan meminggirkan kelompok non-Muslim. Mereka juga mempunyai hak yang mesti dipenuhi. Mereka bukanlah kelompok kelas kedua, bahkan mereka sewajarnya dihormati, didekati dan diberikan penerangan sebaik mungkin tentang Islam. Semoga mudah-mudahan terbuka hati mereka untuk menerima hidayah Allah. Sesungguhnya Islam adalah rahmat ke seluruh alam, bukan hanya untuk umat Islam sahaja. Sekiranya mereka enggan menerima Islam, mereka tetap diberikan hak yang sewajarnya. Sejarah telah membuktikan bahawa Islam memelihara hak orang kafir dzimmi di dalam daulah.

Memperjuangkan bangsa pula merupakan suatu yang ternyata bertentangan dengan Islam. Bahkan Rasulullah saw begitu tegas melarang semangat asabiyah di kalangan umat Islam. Malang sekali, ada segelintir pihak yang mencampur-adukkan antara bangsa dan agama, lalu menyatakan bahawa perjuangan membela nasib bangsa adalah tuntutan Islam tanpa mengambilkira pandangan syarak berkenaan perbuatan keji mereka ini. Di mana silapnya? Silapnya ialah ketika perlembagaan Malaysia memasukkan syarat Islam sebagai sebahagian daripada definisi bagi seorang Melayu. Di samping itu, silap faham yang timbul di kalangan non-Muslim juga menyebabkan keadaan ini menjadi lebih buruk. Terdapat sebilangan non-Muslim yang beranggapan bahawa masuk Islam itu sama dengan masuk Melayu. Mereka wajib meninggalkan keseluruhan budaya mereka, dan mengambil kebudayaan Melayu. Salah faham ini diperkukuhkan lagi dengan sikap sebilangan orang Melayu Muslim yang menganggap bahawa seseorang mualaf yang non-Malay itu tidak sempurna Islamnya selagi tidak mematuhi adat dan budaya Melayu. Ada satu peristiwa di mana seorang mualaf itu berkahwin dengan seorang wanita Muslim. Malang sekali apabila keluarga si perempuan itu memarahi pemuda mualaf (yang bukan Melayu) itu semata-mata kerana beliau memakai kot dan bukannya baju Melayu untuk majlis persandingan mereka. (ini merupakan kisah benar yang diceritakan kepada saya oleh seorang pendakwah yang asalnya beragama Hindu kemudian menerima hidayah untuk memeluk Islam)

Mengaitkan Islam dengan sesebuah kaum merupakan suatu yang menyimpang daripada ajaran Islam itu sendiri. Apatah lagi jika Islam di’peralat’kan untuk kepentingan pihak tertentu, serta dipergunakan untuk menindas kaum lain.
Bagaimana pula dengan perjuangan demi negara? Apa pandangan Islam berkenaan hal ini? Adakah haram? Ataupun wajib hukumnya? Dalam membahaskan hal ini, seharusnya penekanan diberikan kepada perkataan ‘negara’ itu sendiri. Apakah ia negara sekular, ataupun negara Islam? Apakah ia negara kapitalis, ataupun daulah khilafah? Apakah ia negara berasaskan nasionalisme (berasaskan bangsa) ataupun berasaskan deen Allah?

Mereka yang melaungkan slogan sebegini sebenarnya mencampur-adukkan antara yang hak dan yang batil. Sedangkan yang hak dan yang batil ini ibarat air dan minyak, tidak boleh bercampur.

Sedarlah umat!

Dikirim dalam issues | Tagged: , , , | Leave a Comment »

Menegur tanda kasih (bukannya membenci)

DIkirim oleh muhammadghazi di Jun 2, 2008

Manusia tidak pernah lari daripada berbuat kesilapan. Tiada manusia yang sempurna. Ada kalanya terleka, ada kalanya terpesona, ada kalanya terpedaya. Tidak kurang juga yang hanyut dibuai kesenangan hidup di dunia. Ada juga yang terpengaruh dek anasir-anasir yang membinasakan.

Dan para pejuang Islam yang ikhlas berjuang di jalan-Nya juga tidak terkecuali daripada hakikat ini… Atas dasar inilah, proses saling memuhasabah sewajarnya dimekarkan di kalangan pejuang Islam itu sendiri khasnya dan dalam masyarakat amnya. Di samping itu, seharusnya para pejuang Islam itu tidak merasakan bahawa dirinya beserta kelompoknya itu bersifat eksklusif dan ‘pantang dicabar’. Sikap sebegini bukan sahaja merugikan dan membantutkan proses pembinaan, bahkan bisa merosakkan serta mendatangkan fitnah kepada gerakan Islam itu sendiri.

Terkadang, proses muhasabah ini acapkali disalah erti sebagai satu usaha menjatuhkan dan memburuk-burukkan individu dan juga jemaahnya. Sedangkan saling menasihati itu merupakan sebahagian daripada tuntutan Islam. Dan berikanlah peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu baik bagi orang-orang mukmin…

Dalam al-Quran mahupun hadis tidak pernah ditemui sebarang pengecualian kepada mana-mana individu Muslim, dari sebaik-baik mukmin sehinggalah kepada sang Muslim yang hanya beramal secara ’suam-suam kuku’ saja dalam memberi dan menerima peringatan. Janganlah kerana kita merasakan bahawa diri kita ini berperanan sebagai sang daie (pendakwah), kita telah terlepas daripada menjadi seorang mad’u (orang yang didakwah). Jangan kerana terlalu izzah dan sayangnya kita terhadap jemaah kita, maka sesiapa saja yang cuba mengkritik (walaupun ia ikhlas dan bersifat membina), terus kita memarahinya dan bersikap dingin terhadap teguran yang disampaikan.

Jangan pula kerana terlalu memandang tinggi kepada ketokohan dan peribadi pemimpin kita, langsung kita tak mengkaji sejauh mana kebenaran sebarang perkara yang disampaikan oleh pemimpin tersebut. Namun, dalam mengkaji dan mengkritiknya, perlulah ada adabnya, jangan sampai kita memperlekehkan dan bersikap kurang ajar pula. Mungkin bangsa Melayu khususnya, dan orang Islam di rantau ini tidak biasa dengan budaya mengkritik. Bahkan ada segelintir yang menganggap kritikan terhadap pemimpin itu merupakan suatu yang bersifat taboo dan terlarang. Sedangkan kritikan itu ada kalanya perlu bagi menjamin keberlangsungan perjuangan yang didokong, serta mengelakkan kita daripada dipergunakan oleh orang-orang yang berkepentingan peribadi. Apatah lagi jika gerakan itu mendokong aspirasi perjuangan Islam. Bukan ketokohan itu yang menjadi ukuran, sebaliknya nilailah kebenaran yang dibawanya.

Sewajarnya kita membuang jauh-jauh sikap taksub kepada kelompok kita sendiri sehinggakan kita terlepas pandang akan kesilapan yang terjadi dan juga kelemahan yang berlaku. Di samping itu, keterbukaan dalam bermuzakarah juga merupakan sikap yang terpuji demi mengelakkan pertelingkahan yang sia-sia. Yang menegur tak semestinya lebih pandai daripada yang ditegur. Yang ditegur pula tak bermakna lebih hina ataupun bodoh berbanding yang menegur. Boleh jadi juga yang menegur itu sebenarnya yang tersilap. Sekiranya ini yang terjadi, maka sudah menjadi kewajipan bagi orang yang ditegur itu memperbetul kesilapan yang ada pada si penegur.

Janganlah kita menilai sesuatu dengan hanya berbekalkan emosi ataupun semangat sahaja tanpa disatukan dengan fikrah yang terlahir daripada akidah Islam. Penyatuan antara fikrah dan ruhiyah Islam itu merupakan suatu yang penting bagi memastikan bahawa setiap tindak-tanduk kita ini benar-benar berlandaskan bimbingan wahyu, dan bukannya lahir daripada sumber-sumber yang lari daripada panduan Ilahi. Ingatlah bahawa syaitan itu sentiasa mencari ruang bagi memecahbelah dan menyesatkan manusia. Sesungguhnya syaitan itu musuh kita yang nyata…

Jangan sesekali kita melabelkan seseorang sebagai musuh ataupun ‘proksi kepada musuh’ dengan begitu mudah; hanya kerana pandangan mereka tidak sama dengan pendapat yang kita pegang selama ini. Boleh jadi pendapat mereka itu ada benarnya, dan pandangan kita pula terdapat kekurangan.

Ada sesetengah pihak pula mengambil pendekatan yang berbeza. Mereka berpegang kepada sikap ‘berlapang dada’ atas perkara yang tidak disepakati lalu langsung mengelak daripada membincangkannya. Sudahnya, sebarang kesilapan dan juga kekurangan yang cuba ditegur itu tidak sampai kepada pihak yang ingin ditegurnya. Ini bukan sikap ‘berlapang dada’ yang sebenarnya. Berlapang dada tak bermakna kita mengabaikan apa saja pandangan yang berbeza dengan pegangan kita. Berlapang dada ini sepatutnya terjadi setelah kita memahami pendapat yang berbeza itu, lalu kita menerimanya sekiranya ia benar, dan menegur sekiranya pendapat tersebut tidak tepat. Namun dalam masa yang sama, kita tidak memaksa pihak tersebut menerima pendapat kita. Inilah yang dimaksudkan sebagai berlapang dada pada hemah saya yang serba kekurangan ini. Betulkan saya sekiranya saya tersilap…

Tuntasnya, proses muhasabah sewajarnya dihidupkan di kalangan masyarakat terutamanya sesama umat Islam, termasuklah di kalangan pemimpin yang diamanahkan untuk menguruskan negara. Jangan pula disekat teguran-teguran yang diberikan dengan hukuman-hukuman dan denda. Jika dibiarkan berterusan begini, maka pemimpin tersebut merupakan pemimpin yang ’syok sendiri’.

Jadi, bilamana sistem hidup yang diterapkan itu tidak menepati syariat Islam, maka wajib bagi setiap individu Muslim untuk menjalankan muhasabah supaya diubah menjadi selari dengan panduan wahyu mengikut kapasiti masing-masing.

Di kalangan jemaah-jemaah pula, hendaklah diwujudkan kerjasama yang utuh bagi mencapai matlamat kita yang sama, iaitu mardhatillah… Dalam menjalin kerjasama ini, bukan sahaja titik pertemuan sahaja yang dicari, bahkan segala perbezaan itu hendaklah dimuzakarahkan secara berhemah demi mencapai kesepakatan dalam kebenaran. Mudah-mudahan melalui usaha sebegini, ikatan yang lebih utuh akan terjalin lalu memudahkan lagi gerak kerja ke arah mencapai kemuliaan Islam.

Sesungguhnya, tiada ikatan yang lebih tinggi berbanding ikatan ukhwah Islamiyah. Jangan pula disebabkan ‘baiah’ ataupun ‘qasam’ kita kepada pimpinan menjadi punca perpecahan di kalangan kita. Kewujudan berbilang jemaah ini bukanlah bertujuan untuk memecah-belahkan umat Islam.

Dan sesungguhnya penyatuan yang hakiki itu bukanlah sekadar ikatan persaudaraan dan ruhiyah semata-mata. Sebaliknya ia termasuklah penyatuan secara politik di bawah satu kepimpinan iaitu khilafah yang memayungi seluruh umat Islam.

P/s:Menegur itu tanda kasih sesama Muslim…

Dikirim dalam issues | Tagged: , , | Leave a Comment »